#2693: Minta Cerai kerana Enggan Dimadukan dengan Bidadari di Syurga

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar ceramah tentang suami yang soleh akan mendapat 72 bidadari di syurga sebagai isteri. Dan nikmat bagi isteri pula mendapat kemewahan. Meskipun isteri yang solehah akan menjadi ketua bidadari, saya berasa tidak adil dan tidak berpuas hati, mengapa tidak diberi pilihan untuk si suami menolak 72 bidadari itu? Tak perlu balasan kemewahan untuk isteri, tetapi cukup suami yang setia di sisi di dunia dan di akhirat. Mengapa si isteri tidak mendapat bidadara di sana nanti, adil sebagaimana suami mendapat bidadari.

Secara tak langsung, membuatkan saya terfikir jika tiada suami, saya tidak akan dimadukan di sana nanti. Saya paling tidak boleh terima bila mana suami curang.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan membawa riwayat hadith yang menyebutkan tentang ganjaran 72 bidadari di syurga. Ia diriwayatkan daripada al-Miqdam R.A berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لِلشَّهِيدِ عِنْدَ اللَّهِ سِتُّ خِصَالٍ: يُغْفَرُ لَهُ فِي أَوَّلِ دَفْعَةٍ، وَيَرَى مَقْعَدَهُ مِنَ الجَنَّةِ، وَيُجَارُ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَيَأْمَنُ مِنَ الفَزَعِ الأَكْبَرِ، وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الوَقَارِ، اليَاقُوتَةُ مِنْهَا خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا، وَيُزَوَّجُ اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ زَوْجَةً مِنَ الحُورِ العِينِ، وَيُشَفَّعُ فِي سَبْعِينَ مِنْ أَقَارِبِهِ

Maksudnya: “Orang yang mati syahid di sisi Allah SWT mempunyai enam keutamaan: diampunkan dosanya ketika darahnya tertumpah untuk pertama kalinya (pertempuran), diperlihatkan tempatnya di dalam Syurga, diselamatkan daripada azab kubur, diberi ketenangan daripada ketakutan ketika dibangkitkan dari kubur, diletakkan di atas kepalanya mahkota daripada permata yang mana permata itu lebih baik daripada dunia dan isinya, dikahwinkan dengan 72 isteri daripada bidadari dan diberi hak untuk memberi syafaat kepada 70 orang daripada ahli keluarganya.”

Riwayat al-Tarmizi (1663), dan hadith ini dinilai sebagai sahih gharib.

Syeikh Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith ini berkata, dikurniakan bagi orang syahid dengan cara perkahwinan seramai 72 bidadari. Bilangan tersebut menunjukkan kepada bilangan yang ditentukan (تحديد) bukannya menunjukkan bilangan yang banyak (تكثير). Ia juga difahami bahawa 72 bidadari adalah pemberian yang paling sedikit dan tidak menjadi masalah jika mereka itu dikurniakan lebih daripada itu iaitu lebih daripada 72 bidadari. Bidadari adalah wanita daripada syurga, dan maksud (الحُورُ) daripada (حَوْرَاءُ) iaitu teramat putih kulitnya dan matanya kehitaman. Manakala al-‘Ain (العَيْنُ) jamaknya adalah (عَيْنَاءُ) yang bermaksud mata yang luas (besar). (Lihat Mirqah al-Mafatih, 6/2483)

Jelas berdasarkan hadith di atas, ganjaran dikahwinkan dengan kira-kira 72 bidadari itu adalah bagi mereka yang mati syahid dan bukanlah bagi lelaki yang soleh semata-mata. Akan tetapi, ini tidak menafikan bahawa bagi setiap lelaki itu ganjaran berupa bidadari syurga di akhirat kelak. 

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلْمُؤْمِنِ فِي الْجَنَّةِ لَخَيْمَةً مِنْ لُؤْلُؤَةٍ وَاحِدَةٍ مُجَوَّفَةٍ طُولُهَا سِتُّونَ مِيلاً لِلْمُؤْمِنِ فِيهَا أَهْلُونَ يَطُوفُ عَلَيْهِمُ الْمُؤْمِنُ فَلاَ يَرَى بَعْضُهُمْ بَعْضًا

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi seorang mu’min di syurga akan diberi khemah yang terbuat dari sebuah mutiara yang berlekuk. Panjangnya 60 batu, di dalamnya ada keluarga-keluarga penghuni syurga, yang mana seorang mu’min mendatangi mereka secara bergilir, padahal mereka tidak pernah saling melihat antara satu sama lain.”

Riwayat al-Bukhari (3243) dan Muslim (2838)

Memang benar tidak disebutkan secara jelas di dalam mana-mana nas al-Quran atau hadith bahawa wanita akan diberikan bidadara di syurga kelak. Akan tetapi, umum nas menyebutkan bahawa di syurga kelak akan diberikan apa sahaja yang dihajati. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ

Maksudnya: “Dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.”

(Surah al-Fussilat: 31)

Dan juga firman Allah SWT:

وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ ۖ

Maksudnya: “Dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta dipandang indah oleh mata.”

(Surah al-Zukhruf: 71)

Berdasarkan nas di atas, kita bebas meminta apa saja yang terbuku dan diingini dalam hati, termasuklah jika seseorang wanita tersebut meminta dikurniakan baginya lelaki di syurga. 

Adapun menuntut perceraian kerana enggan dimadukan dengan bidadari syurga, maka ini merupakan suatu bentuk cemburu yang tidak berasas. Bahkan, sewajarnya suami isteri itu berbahagia jika pasangan mempunyai ciri-ciri mereka yang dijanjikan ganjaran oleh Allah SWT di akhirat kelak. Begitu juga sebaliknya, suami isteri perlu sentiasa menasihati pasangan masing-masing jika mereka melakukan sesuatu larangan Allah SWT yang boleh menyebabkan mereka tergolong dalam kalangan mereka yang diancam dengan azab di akhirat kelak. 

Isteri juga perlu berwaspada daripada membuat keputusan berlandaskan emosi semata-mata, terutamanya dalam urusan penceraian. Rasulullah SAW telah mengancam isteri-isteri yang meminta diceraikan tanpa alasan yang munasabah. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Thauban R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلاَقًا فِي غَيْرِ مَا بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ 

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang meminta suami mereka menceraikannya tanpa sebarang alasan, maka haram ke atasnya bau syurga.”

Riwayat Abu Dawud (2226), al-Tirmizi (1187) dan Ibn Majah (2055)

Benar, penceraian sememangnya dibolehkan dalam Islam sekiranya terdapat alasan dan sebab yang kuat. Akan tetapi, ia bukanlah suatu perkara yang disukai malah dibenci syara‘. Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”

Riwayat Abu Daud (2178) dan al-Hakim (2/197)

Imam al-Khattabi menyatakan, makna benci pada hadith itu ialah pada sebab yang membawa kepada perceraian itu seperti pergaulan yang buruk sesama suami isteri dan bukannya pada perkara talak itu sendiri, kerana Allah telah mengharuskan perbuatan talak itu. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 3/231)

Kesimpulan

Melihat kepada perbahasan yang kami bawakan, syara’ telah menentukan bagi setiap lelaki dan wanita ganjaran yang khusus di akhirat kelak. Akan tetapi, ini tidak menafikan bahawa ahli syurga diberikan kebebasan untuk meminta nikmat lain sesuai dengan kehendak hatinya.

Kami juga menasihatkan agar pasangan suami isteri tidak diselubungi dengan perasaan cemburu yang tidak berasas. Cemburu di dalam rumahtangga yang berasas merupakan tanda kasih sayang yang utuh antara suami isteri, tetapi jika ia tidak dikawal dengan baik boleh menatijahkan keruntuhan kebahagiaan rumahtangga yang dibina.

Suka kami tegaskan di sini bahawa apabila seseorang memasuki syurga Allah SWT maka Allah SWT cabut dari hati dan dada mereka sifat hasad dan dengki sebagaimana firman Allah SWT:

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّ

Maksudnya: “Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka.”

(Surah al-A‘raf: 43)

Justeru, ketika di akhirat kelak, tidak timbul lagi isu hasad dengki tidak puas hati kerana di dalam syurga mereka semua merasa tenang, gembira, bahagia dan sentiasa berkecukupan. DI hujung ayat tersebut ada menyebut:

وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَٰذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ

Maksudnya: “Dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiq-Nya).”

(Surah al-A‘raf: 43)

Kami katakan, tidak seharusnya juga bagi seseorang isteri untuk meminta diceraikan atas nikmat yang dijanjikan Allah SWT kepada suaminya. Bahkan, si isteri terdedah kepada ancaman yang disebutkan oleh Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, kami menasihatkan agar si isteri memperbanyakkan ibadah dan berdoa agar lebih didekatkan dengan Allah SWT, serta dikurniakan tawakkal dan redha terhadap ketentuan Allah SWT, di samping mensyukuri nikmat kurniaan-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a‘lam

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *