#2696: Non Muslim Masuk ke Masjid Untuk Melihat Tradisi di Malaysia

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum non muslim yang mengikuti solat jumaat dan berada di tengah-tengah sof solat dan tengah masjid, dimana kehadiran mereka adalah untuk melihat adat tradisi kita di Malaysia. Wallahualam.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Masjid

Masjid (مَسْجِد) pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf, masjid ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27)

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.” (Lihat Taj al-‘Arus, 8/174)

Berkenaan isu orang bukan Islam masuk ke masjid, kami telah jawab sebelum ini di dalam artikel berikut:

#811: Non Muslim Memasuki Masjid[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan, dalam hal ini kami lebih cenderung kepada pandangan bahawa non-Muslim adalah diharuskan untuk masuk ke dalam masjid kecuali Masjid al-Haram, dan inilah pandangan majoriti ulama terdahulu dan kontemporari. Kami melihat bahawa pandangan ini lebih menepati dalil-dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, selain ia turut meraikan konteks masyarakat majmuk dan hubungan antara agama di negara kita.

Hal ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang menyebut bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang. [Lihat keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 di bawah tajuk ‘Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid].

Namun demikian, dari sudut berdiri ditengah-tengah saf, kami berpandangan ia tidak dibolehkan disebabkan mengganggu jemaah masjid yang hadir ketika hendak mengerjakan solat Jumaat. Maka, sebaiknya dia hendaklah duduk di kawasan yang tidak mengganggu orang sedang dirikan solat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Wallahu a’lam

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

 

[1] https://maktabahalbakri.com/807-non-muslim-memasuki-masjid/

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *