#811: Non Muslim Memasuki Masjid

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum non Muslim memasuki masjid?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Masjid (مَسْجِد) merupakan nama tempat yang berasal dari perbuatan sujud, dan kalimah masjid boleh dibaca dengan masjid atau masjad. Tapi sebutan yang lebih masyhur adalah bacaan masjid .

Masjid (مَسْجِد) pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf, masjid ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. Lihat Mu‘jam Lughat al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.” Lihat Taj al-‘Arus, 8/174

Apabila diperhatikan sejarah kewujudan dan kedudukan tanah persekitaran masjid pada masa dahulu berdasarkan definisi masjid dari sudut istilah, di antaranya ada masjid yang hanya berupa tanah lapang yang diberi tanda atau sempadan di sekelilingnya dengan mendirikan tiang-tiang yang dipacakkan tepat pada sempadan berkenaan.

Jika setakat yang ditanda sebagai sempadan itu hanyalah tiang saja yang dijadikan masjid atau disebut masjid oleh orang ramai, atau oleh pewakaf – jika ia masjid wakaf – maka yang berada di luar sempadannya tiada dikira masjid dan tidak berlaku padanya hukum-hakam masjid seperti iktikaf.

Sehubungan dengan ini, kalau ada orang yang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid”, maka jadilah tempat itu sebagai masjid, iaitu setakat mana luas atau besarnya tempat yang dimaksudkannya sebagai masjid itu, manakala kawasan yang di luarnya tidak turut menjadi masjid. Dalam hal ini Imam al-Zarkasyi ada menyebutkan: “Sekiranya seseorang berkata: “Aku jadikan sebidang tanah ini sebagai masjid, maka menurut kitab Al-Wajiz jadilah ia masjid walaupun dia tidak menyebut lafaz wakaf.” Lihat Ahkam al-Sajid, hlm. 396

Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Zarkasyi di atas, sekiranya keseluruhan tanah yang diperuntukkan itu telah diwartakan (digazetkan) atau diniatkan sebagai masjid, maka jadilah kesemua tanah yang diniatkan itu masjid, walaupun bangunan masjid belum didirikan. Tetapi jika yang digazetkan sebagai masjid hanya setakat bangunannya sahaja, maka itulah sahaja yang dianggap sebagai masjid, manakala bakinya adalah sebagai harim masjid atau rizab masjid (tanah simpanan untuk masjid dan lain-lain keperluan masjid).

Masjid adalah tempat yang dikhaskan untuk solat lima waktu yang dilakukan secara berterusan padanya. Masjid juga boleh didefinisikan tempat solat di rumah. Hal ini berdasarkan hadith daripada Aisyah R.anha katanya:

أَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِبِنَاءِ الْمَسَاجِدِ فِي الدُّورِ, وَأَنْ تُنَظَّفَ, وَتُطَيَّبَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya dibina masjid-masjid di rumah dan di kampung, serta dibersihkan dan diwangikan.

Riwayat Abu Daud (455), Tirmizi (594) dan Ibn Majah (758)

Jenis-jenis Masjid

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili melalui kitabnya Mausu’ah Qadaya Islamiyyah Mu’asirah antara lain menyatakan: “Masjid pada asalnya setiap tempat untuk sujud kemudian diitlaqkan tempat binaan khusus untuk ibadat dan menunaikan risalah khusus iaitu tempat solat berjemaah. Masjid mempunyai pelbagai jenis dan nama, antaranya:

Pertama: Masjid Utama yang tiga yang mempunyai hukumnya yang tersendiri, iaitu:

  • Masjid al-Haram di Makkah al-Mukarramah.
  • Masjid al-Nabawi di Madinah al-Munawwarah.
  • Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis.

Kedua: Masjid al-Jamek. Iaitu masjid didirikan solat jemaah, jumaat dan solat-solat seperti khusuf, istisqa’ dan lain-lain. Ia dikenali juga dengan lafaz al-Jamek kerana tempat berhimpun. Kadang-kadang digelar sebagai al-Jamek al-Kabir bagi masjid yang terbesar di satu-satu bandar utama.

Ketiga: Musalla. Ia merangkumi dua jenis:

  • Musalla al-‘Id.Iaitu tempat lapang yang didirikan solat dua hari raya. Biasanya di padang yang boleh memuatkan seramai mungkin penduduk negeri untuk melakukan ibadat solat.
  • Musalla al-Hay. Iaitu masjid yang kecil yang didirikan solat dengan jemaah yang sedikit di sesebuah tempat aau kampong. Ini bertujuan bagi menghidupkan solat berjemaah dengan mudah di samping meninggikan suara azan dan dua kalimah syahadah serta tauhid padanya. Mungkin di tempat kita dikenali sebagai surau.

Realiti di Malaysia pula menunjukkan pembahagian masjid atau tempat ibadat umat Islam dibahagikan kepada beberapa nama. Antaranya

  • Masjid Negara yang mewakili masjid utama bagi Negara ini.
  • Masjid utama Negara seperti Masjid Putrajaya dan Masjid Sultan Mizan.
  • Masjid Negeri seperti Masjid Wilayah Jalan Duta, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dan lain-lain.
  • Masjid Daerah yang biasanya setiap daerah mempunyai masjid utama. Ghalibnya terletak di pekan atau bandar kecil.
  • Masjid kampung sesetengah tempat dibahagikan kepada masjid jamek dan masjid kampung biasa. Sedangkan sebahagian yang lain hampir sama.
  • Surau Solat Jumaat dimana statusnya adalah surau tetapi diberi kebenaran untuk didirikan solat Jumaat kerana maslahah tertentu.
  • Surau atau musalla dan sebahagian tempat digelar sebagai balasah. Ia hanya untuk solat Jemaah di kampung kecil atau di tempat yang tertentu.

Mutakhir ini banyak juga tempat-tempat seperti bangunan kerajaan, institusi kewangan dan lain-lain telah membina sebuah ruang untuk solat yang dikenali sebagai musalla atau surau. Antaranya seperti Surau Al-Insaf, Menara Maybank, Kuala Lumpur, Surau An-Nur, di Bank RHB, Kuala Lumpur dan lain-lain.

 

Hukum Non-Muslim Masuk ke Masjid al-Haram

Berbalik kepada persoalan di atas, kami mulakan berkenaan hukum non-Muslim memasuki Masjid al-Haram terlebih dahulu. Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (21/252-253)dijelaskan seperti berikut:

  • Ulama’ Syafi’iyyah dan Hanabilah berpendapat bahawa selain Masjid al-Haram, orang bukan Islam dibolehkan memasuki masjid sekiranya dipersetujui dan mendapat keizinan daripada umat Islam setempat. Adapun jika memasuki Masjid al-Haram, maka hukumnya haram dan hendaklah ditegah.
  • Ulama’ Hanafiyyah membolehkan orang bukan Islam memasuki masjid, sama ada Masjid al-Haram atau masjid yang lain. Hal ini berdasarkan satu riwayat yang menyebut bahawa Nabi SAW menerima utusan Bani Thaqif di dalam masjid, sedangkan mereka ketika itu masih belum masuk Islam. Ini menunjukkan bahawa orang bukan Islam boleh masuk masjid tanpa kecuali, sama ada Masjid al-Haram atau selainnya.
  • Ulama’ Malikiyyah menyatakan bahawa bagi orang bukan Islam, hukumnya makruh memasuki masjid, sama ada Masjid al-Haram atau masjid selainnya, sama ada mendapat persetujuan daripada umat Islam atau tidak, melainkan kerana darurat. Contohnya, seperti membaiki bangunan masjid yang tidak dapat dilakukan oleh umat Islam. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 21/252-253)

Selain itu, penjelasan berhubung isu orang bukan Islam memasuki masjid juga ada dijelaskan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/482) seperti berikut: Ulama’ Malikiyyah berkata, ‘Orang bukan Islam perlu ditegah daripada memasuki masjid walaupun mendapat keizinan daripada orang Islam, kecuali kerana darurat pekerjaan. Antaranya kerana kos belanja kerja berbanding orang Islam, dan lebih profesional dalam bekerja. Abu Hanifah menyatakan bahawa orang bukan Islam boleh memasuki semua masjid. Ulama’ Syafi’iyyah juga membolehkan orang bukan Islam memasuki masjid kecuali Masjid al-Haram dan tanah haram Mekah. Dibolehkan bagi orang bukan Islam untuk menginap di dalam masjid walaupun dalam keadaan junub menurut pendapat yang paling sahih, selama mana mendapat persetujuan daripada umat Islam.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/482)

Justeru, dapat difahami bahawa hampir kebanyakan ulama mengharamkan orang Musyrik memasuki Masjid al-Haram. Dalil bagi jumhur ulama’ ialah firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا

MaksudnyaWahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis. Karena itu, janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini (tahun 9 H).

Surah al-Taubah (28)

Imam al-Syafi’e – seperti yang dinukilkan oleh al-Qurtubi – mengatakan bahawa ayat ini melarang orang kafir daripada memasuki Masjid al-Haram, dan tidak masjid selainnya. Ia juga menunjukkan orang Yahudi dan Nasrani boleh masuk ke masjid yang lain selain Masjid al-Haram. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/105) Ibn Hazm dan Imam al-Nawawi juga turut mengemukakan pandangan yang sama dalam hal ini. (Lihat al-Muhalla, 3/162 dan Raudhah al-Thalibin, 1/296) Meskipun begitu, para ulama Hanafiyyah berpandangan bahawa hukumnya harus bagi orang Yahudi dan Nasrani memasuki masjid secara mutlak, iaitu sama ada Masjid al-Haram mahupun masjid yang lain, namun tidak dibenarkan bagi orang musyrik. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/105)

 

Hukum Non Muslim Memasuki Masjid (Selain Masjid al-Haram)

Manakala berkenaan isu non-Muslim memasuki masjid selain Masjid al-Haram, para ulama’ mengambil asas rujukan hukum daripada firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu kotor, maka janganlah mereka mendekati Masjidil haram sesudah tahun ini..

Surah al-Taubah (28)

Para ulama’ berbeza pendapat dalam menjawab persoalan ini, di mana sebahagiannya mengharuskan dan sebahagian yang lain mengharamkan. Perbezaan pandangan-pandangan ini boleh diringkaskan seperti berikut:

Pandangan Pertama: Harus

Majoriti ulama dan fuqaha’ memilih pandangan ini, antaranya :

  • Abu Hanifah dan Abu Yusuf. Lihat Tafsir al-Qurthubi 8/105
  • Al-Abi dan Imam al-Dusuqi dari kalangan mazhab Maliki. Lihat Jawahir al-Iklil 1/23 dan Hasyiyah al-Dusuqi 1/138
  • Imam al-Syafi’e, Imam al-Nawawi, Imam Khatib Syarbini dan Imam Fakhruddin al-Razi. Lihat Jawahir al-Iklil 1/23 dan Hasyiyah al-Dusuqi 1/138
  • Ibn Qudamah dan Ibn al-Qayyim dari kalangan mazhab Hanbali. Lihat Al-Mughni 9/359 Zad al-Ma’ad 3/79
  • Mazhab Zahiri: Ibn Hazm al-Andalusi. Lihat Al-Muhalla 4/245

Selain itu, para ulama muta’akhirin seperti Syeikh ‘Athiyyah Saqar juga berpendapat bahawa harus bagi non Muslim untuk memasuki masjid, sama ada bagi tujuan lawatan mahupun pelancongan. Lihat Fatawa Dar al-Iftaa’ Misriyyah 8/492

Di samping itu, beberapa syarat turut diletakkan dalam isu ini, antaranya hendaklah mempunyai tujuan yang baik-baik seperti untuk mempelajari agama Islam, lawatan dan hendaklah mendapat kebenaran orang Islam (iaitu pihak pengurusan masjid).

Antara dalil-dalil bagi golongan yang berpendapat dengan keharusan ini adalah seperti berikut:

Terdapat sebuah hadith yang dikemukakan oleh Imam al-Bukhari yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat oleh Rasulullah SAW di dalam masjid yang ditangkap atas satu kesalahan:

بعث رسول اللَّهِ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ من بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ له ثُمَامَةُ بن أُثَالٍ فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ من سَوَارِي الْمَسْجِدِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah (sedang mengintip) yang bernama Thumamah bin Uthal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid.”

Riwayat al-Bukhari (469) dan Muslim (1764)

Akhirnya, selepas berlalu tiga hari, dia melihat bagaimana umat Islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya keadaannya, lalu akhirnya dia memeluk Islam kerana tertarik setelah melihat keindahan hidup dan ibadah umat Islam.

Selain itu, Nabi SAW juga pernah menerima orang Kristian dari Najran di dalam masjid Baginda di Madinah. Apabila tiba waktu sembahyang mereka, mereka akan bersembahyang di masjid menghadap ke arah timur. Rasululllah SAW bersabda: “Biarkan mereka.” Lihat Ibn Ishaq dalam karya agung Sirah Ibn Ishaq, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 2/42; Ibn al-Qayyim dalam Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/397 dan Zad al-Ma’ad, 3/549.

Kisah ini menunjukkan bahawa Kristian Najran pernah bersembahyang di Masjid Nabawi atas keizinan Nabi SAW. Namun, terdapat juga beberapa hal yang penting untuk diteliti daripada kisah ini, iaitu:

  • Riwayat ini sebenarnya lemah (dha’if) disebabkan terputus sanadnya. Ia adalah riwayat Ibn Ishaq daripada seorang perawi yang bernama Muhammad bin Jaafar bin al-Zubair daripada Baginda Nabi SAW. Muhammad bin Jaafar tidak termasuk dari kalangan sahabat bahkan beliau hanya sempat belajar dengan tabien kecil sahaja. Lihat Taqrib al-Tahzib, 2/471
  • Ia hendaklah dengan syarat bahawa ia tidak menjadi adat atau rutin harian dan kebiasaan. Inilah seperti yang ditegaskan oleh Ibn al-Qayyim. Lihat Zad al-Ma’ad, 3/557
  • Tiada riwayat lain yang menyebut bahawa Nabi SAW memberi kebenaran kepada orang bukan Islam melakukan ibadat di Masjid Nabawi kecuali riwayat ini sahaja.

 

Pandangan Kedua: Haram

Menurut Imam al-Nawawi, Umar Abdul Aziz, Qatadah dan Imam Malik bahawa diharamkan bagi non-Muslim untuk memasuki ke dalam masjid. Lihat Syarah Sahih Muslim, 12/87 Imam al-Muzani pula menjelaskan bahawa non-Muslim tidak boleh masuk ke masjid kerana mereka sentiasa dalam keadaan hadas dan berjunub. Inilah sepertimana yang dinukilkan oleh al-Mawardi dalam kitabnya. Lihat Al-Hawi Al-Kabir, 2/268

Imam al-Buhuti dari kalangan Hanabilah pula menyatakan bahawa diharamkan bagi non-Muslim untuk masuk ke dalam mana-mana masjid walaupun telah mendapat izin daripada orang Islam. Beliau berdalilkan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ

MaksudnyaHanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat.

Surah al-Taubah (18)

Pandangan ini juga merupakan pandangan yang paling rajih dalam mazhab Hanbali seperti yang dinyatakan oleh al-Mardawi (Lihat Kasyaf al-Qina’ 2/370-371 dan Al-Insaf 4/241) Di samping itu, terdapat juga riwayat bahawa Ali bin Abi Thalib R.A pernah melihat ada seorang majusi di dalam masjid ketika beliau sedang berkhutbah di atas mimbar. Kemudian Ali turun, dan memukulnya serta menyuruhnya keluar. Ini juga pendapat yang dipegang oleh Sayyidina Umar bin al-Khattab R.A. Lihat Mathalib Uli al-Nuha 2/617

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami lebih cenderung kepada pandangan bahawa non-Muslim adalah diharuskan untuk masuk ke dalam masjid kecuali Masjid al-Haram, dan inilah pandangan majoriti ulama terdahulu dan kontemporari. Kami melihat bahawa pandangan ini lebih menepati dalil-dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, selain ia turut meraikan konteks masyarakat majmuk dan hubungan antara agama di negara kita.

Hal ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang menyebut bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang. [Lihat keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 di bawah tajuk ‘Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid].

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *