Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ustaz terangkan kepada kami berkenaan dengan maksud istighfar dan keindahannya dalam Islam?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ‎﴿١٠﴾‏ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ‎﴿١١﴾‏ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

(Surah Nuh: 10-12)

Kami mulakan terlebih dahulu dengan definisi istighfar:

Perkataan istighfar seperti kata al-Syeikh al-Jurjani dalam kitabnya al-Ta’rifat iaitu merdekanya dengan segala amalan kebajikan dan melakukan dengan sebaik mungkin. Begitu juga menganggap besarnya segala kesalahan dan berpaling daripada melakukannya.

Mengikut ahli kalam, istighfar dengan maksud memohon keampunan selepas melihat betapa buruknya maksiat dan berpaling daripadanya. Seorang ulama pernah menyebut Istighfar merupakan permohonan untuk melakukan pengislahan yang telah rosak sama ada dengan perkataan atau perbuatan.

Istighfar merupakan permohonan untuk melakukan pengislahan yang telah rosak sama ada dengan perkataan atau perbuatan.

Antara maksud lain istighfar ialah memohon keampunan atau memohon penghapusan dosa, menghilangkan kesannya dan berlindung daripada kejahatannya. Ibn al-Qayyim telah berkata: “Hakikat al-Maghfirah (keampunan) ialah melindungi dari kejahatan dosa. Oleh itu setiap yang menutupi kepala dari kesakitan dinamakan sebagai al-Mighfar.

Diriwayatkan daripada Abu Zarr al-Ghifari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ

Maksudnya: “Hai hamba-hamba-Ku sesungguhnya kamu melakukan kesilapan di malam dan siang hari. Sedangkan Aku mengampunkan dosa-dosa semuanya. Justeru, minta ampunlah kepada-Ku, nescaya, Aku ampunkan kepadamu.”

Riwayat Muslim (2577)

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Betapa indahnya kalimah ini “فَاسْتَغْفِرُونِي” ia seolah-olah isyarat kepada bahwa manusia sentiasa terdedah akan kelemahan serta kecuaiannya dalam melaksanakan hak Allah. Justeru, Allah tidak menghendaki kepada kita kecuali benar dalam bertaubat serta berazam untuk membuang dan meninggalkan dosa tersebut.”

Daripada Anas bin Malik, katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW,

” قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: ‌يَا ‌ابْنَ ‌آدَمَ ‌إِنَّكَ ‌مَا ‌دَعَوْتَنِي ‌وَرَجَوْتَنِي ‌غَفَرْتُ ‌لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ، وَلَا أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً “

Firman Allah SWT: “Wahai anak Adam! Sekiranya engkau berdoa dan mengharap kepada-Ku, nescaya aku akan mengampunimu, dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Sekiranya dosamu banyak sehingga memenuhi setinggi langit kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku nescaya aku akan mengampunimu, dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam, sekiranya engkau datang kepada dengan dosa yang hampir-hampir memenuhi bumi kemudian bertemu dengan-Ku tanpa mensyirikkan Aku dengan apa-apa pun nescaya Aku akan mendatangmu dengan memberikan keampunan yang sama keluasannya seperti bumi.” 

Riwayat al-Tirmizi (3540)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata, hadis ini adalah satu khabar gembira yang agung, kelembutan, kemuliaan yang agung, serta kelebihan, ihsan, keampunan, rahmat dan penghargaan yang tidak terkira [daripada Allah SWT]. (Lihat Sharh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 137)

Justeru, marilah sama-sama kita melazimi istighfar dan bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply