Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum bagi wanita yang di dalam iddah mengikuti pembelajaran online?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pengertian Iddah dan Tempohnya
Kami mulakan dengan takrif ‘iddah. Menurut bahasa, `iddah bermaksud kiraan, hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haidh dan juga bilangan bulan.
Dari segi istilah, `iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/77-85)
Iddah ialah suatu tempoh masa yang dilalui oleh seseorang perempuan selepas perceraian atau kematian suami di mana dia tidak boleh menikah semula. Tujuannya untuk memastikan kekosongan rahimnya dari mengandung dan tempohnya bergantung kepada berapa kali dia mengalami haid. Biasanya, tempoh iddah bagi wanita sesudah cerainya dengan bekas suaminya yang dahulu adalah tiga kali suci kitaran haid dan wanita yang telah kamatian suaminya, tempoh iddah adalah selama 4 bulan dan 10 hari (dikira mengikut tahun Hijrah) .
Dalam tempoh iddah ini, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain. Tujuan dikenakan iddah ialah bagi memastikan rahim wanita tersebut suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku. Dalam tempoh iddah, suami boleh rujuk kembali dengan syarat isteri adalah dalam iddah raj’ie.
‘Iddah bagi wanita yang bercerai hidup dan masih mempunyai haid adalah tiga kali suci berdasarkan firman Allah SWT:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ
Maksudnya: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).”
(Surah al-Baqarah: 228)
Sementara, tempoh wanita ‘iddah bagi wanita yang menopause (putus haid) yang bercerai hidup dan ketiadaan haid ialah 3 bulan berdasarkan firman Allah SWT:
وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (menopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa ‘iddahnya) maka ‘iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak ada haid’”
(Surah al-Talaq: 4)
Bagi kelas dalam talian (online) atau pembelajaran dalam talian (online), ia bermaksud satu siri pengalaman pengajaran dan pembelajaran menggunakan rangkaian digital untuk berinteraksi, mengkaji dan membincangkan. Kelas dalam talian tidak memerlukan pertemuan tatap muka di lokasi fizikal.
Saya mengharapkan agar sifat yang cintakan ilmu dan belajar termasuk dalam hadith Nabi SAW:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga.”
Riwayat Muslim (4867)
Menurut Imam al-Nawawi, hadith ini mengandungi pelbagai jenis ilmu, kaedah-kaedah dan adab-adab. Antaranya ialah ia menceritakan akan kelebihan keluar menuntut ilmu dan sentiasa sibuk dengan ilmu syar’ie dengan syarat ia niatnya adalah kerana Allah SWT. Walaupun syarat ini merupakan syarat untuk setiap ibadat tetapi telah menjadi adat para ulama’ mengikat masalah ini dengannya kerana sebahagian manusia mengambil mudah dan lalai terhadapnya terutama golongan permulaan dan seumpama dengan mereka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/21)
Justeru, kami katakan tindakan anda ingin mempelajari ilmu secara online adalah amat baik dan amat bersesuaian kerana anda telah menghimpunkan 2 perkara yang dikehendaki oleh syariat. Pertamanya, berkabung dalam iddah di rumah atau tempat tinggal dan keduanya, tetap mencari ilmu dan ketika iddah situasi belajar secara online adalah jauh lebih baik. Semoga Allah SWT merahmati anda.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H