Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kalau seseorang itu suka marah-marah, adakah ini bermakna syaitan menguasainya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

(Surah Ali ‘Imran: 134)

Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika mentafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa antara ciri-ciri orang yang bertaqwa ialah orang yang menyembunyikan (menahan) kemarahannya serta mengawal dirinya agar tidak menyakiti orang lain dalam keadaan dia mampu untuk melakukannya. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menahan kemarahannya dalam keadaan dia mampu untuk melepaskannya, maka Allah akan memenuhkan di dalam jiwanya keamanan dan keimanan.” (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/238).

Definisi Marah

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, marah ialah berasa panas hati kerana ditipu, dihina dan lain-lain. Selain itu, perasaan marah adalah luahan emosi yang dialami setiap individu. Manusia mengekspresikan perasaan dan tingkah laku marah melalui proses peniruan yang dapat disaksikan dan dimodelkan dari persekitaran kehidupan harian. Terdapat banyak faktor menyebabkan timbulnya perasaan marah ini. Kebiasaannya, ia dikaitkan dengan peristiwa atau situasi yang berlaku yang memberikan ancaman kepada diri seseorang individu. Setiap kepercayaan dalam pelbagai agama, meletakan amarah sebagai satu tingkah laku yang mendatangkan kemudaratan pada diri orang yang marah dan diri orang yang kena marah. Hal ini kerana perasaan marah boleh merenggangkan perhubungan siraturahim di antara satu sama lain.

Rasulullah SAW sendiri pernah berasa marah dalam beberapa keadaan. Diceritakan bahawa Baginda tidak akan marah jika melibatkan urusan dunia atau urusan peribadi. Namun, Baginda akan marah jika melibatkan perkara yang menyanggahi kebenaran. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Hasan bin Ali yang bertanya kepada bapa saudaranya, Hindun bin Abu Halah berkenaan gambaran bagaimana Rasulullah SAW bercakap. Lalu beliau menceritakannya dan di antara perkara yang disebutkan ialah:

وَلَا تُغْضِبُهُ الدُّنْيَا، وَلَا مَا كَانَ لَهَا، فَإِذَا تُعُدِّيَ الْحَقُّ لَمْ يَقُمْ لِغَضَبِهِ شَيْءٌ حَتَّى يَنْتَصِرَ لَهُ، وَلَا يَغْضَبُ لِنَفْسِهِ، وَلَا يَنْتَصِرُ لَهَا

Maksudnya: “Urusan dunia dan isinya tidak pernah membuatkan Baginda marah. Namun, jika kebenaran disanggah, Baginda tidak akan berdiam diri sehingga kebenaran itu ditegakkan. Baginda juga tidak pernah marah dan tidak memperjuangkan kepentingan peribadi.”

Riwayat al-Tirmizi dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah (226)

Rasulullah SAW pernah menasihatkan seseorang dengan bersabda:

لا تَغْضَبْ، – فَرَدَّدَ مِرارًا، – قالَ: لا تَغْضَبْ

Maksudnya: “Jangan marah,” kemudian Baginda mengulangnya beberapa kali dengan berkata: ‘Jangan marah’.”

Riwayat al-Bukhari (6116) dan Muslim (2449)

  • Luqman al-Hakim menasihati anaknya seraya berkata: “Hai anakku, tiga perkara tidak diketahui kecuali pada tiga keadaan. Orang yang sabar tidak diketahui kecuali ketika marah, orang yang berani tidak diketahui kecuali ketika perang dan sahabat sejati tidak diketahui kecuali ketika berhajat.” 
  • Pujangga berkata: “Jangan marah, sebab marah hanya akan merosakkan keadaan jiwa, mengubah perilaku, memburukkan pergaulan, merosakkan cinta dan memutuskan tali silaturahim.”

Menjawab persoalan di atas, memang benar apabila seseorang itu marah, syaitan menguasainya. Saya nukilkan pandangan yang mana diceritakan dalam kitab Makayid al-Syaitan (44) oleh Ibn Abi al-Dunya, katanya: “Abu Abdullah Muhammad bin Musa telah menceritakan kepada kami, Ja’far bin Sulaiman telah menceritakan kepada kami, ‘Amr bin Dinar Qahraman keluarga al-Zubair telah menceritakan kepada kami, Salim bin Abdullah telah menceritakan kepada kami, daripada bapanya (Ibn ‘Umar), katanya:

… وَلَقِيَ إِبْلِيسُ مُوسَى فَقَالَ: يَا مُوسَى أَنْتَ الَّذِي اصْطَفَاكَ اللَّهُ بِرِسَالَتِهِ، وَكَلَّمَكَ تَكْلِيمًا، وَأَنَا مِنْ خَلْقِ اللَّهِ أَذْنَبْتُ، وَأَنَا أُرِيدُ أَنْ أَتُوبَ، فَاشْفَعْ لِي عِنْدَ رَبِّكَ عَزَّ وَجَلَّ أَنْ يَتُوبَ عَلَيَّ، فَدَعَا مُوسَى رَبَّهُ. فَقِيلَ يَا مُوسَى قَدْ قَضَيْتُ حَاجَتَكَ، فَلَقِيَ مُوسَى إِبْلِيسَ، فَقَالَ: قَدْ أُمِرْتَ أَنْ تَسْجُدَ لِقَبْرِ آدَمَ وَيُتَابَ عَلَيْكَ، فَاسْتَكْبَرَ وَغَضِبَ، وَقَالَ: لَمْ أَسْجُدْ لَهُ حَيًّا، أَأَسْجُدُ لَهُ مَيِّتًا؟ ثُمَّ قَالَ إِبْلِيسُ: يَا مُوسَى إِنَّ لَكَ عَلَيَّ حَقًّا بِمَا شَفَعْتَ لِي رَبَّكَ، فَاذْكُرْنِي عِنْدَ ثَلاثٍ وَلا هَلاكَ إِلا فِيهِنَّ: اذْكُرْنِي حِينَ تَغْضَبُ فَإِنَّ وَحْيِي فِي قَلْبِكَ، وَعَيْنِي فِي عَيْنِكَ، وَأَجْرِي مِنْكَ مَجْرَى الدَّمِ. اذْكُرْنِي حِينَ تَلْقَى الزَّحْفَ فَإِنِّي آتِي ابْنَ آدَمَ، حِينَ يَلْقَى الزَّحْفَ فَأُذَكِّرُهُ وَلَدَهُ وَزَوْجَتَهُ وَأَهْلَهُ حَتَّى يُوَلِّيَ. وَإِيَّاكَ أَنْ تُجَالِسَ امْرَأَةً لَيْسَتْ بِذَاتِ مَحْرَمٍ، فَإِنِّي رَسُولُهَا إِلَيْكَ وَرَسُولُكَ إِلَيْهَا.

Maksudnya: “Dan Iblis bertemu dengan Musa dan berkata, ‘Wahai Musa, kamu yang Allah pilih untuk risalah-Nya dan berbicara denganmu. Aku adalah makhluk Allah yang berdosa dan aku ingin bertaubat. Maka mohonkanlah syafaatku kepada Rabbmu Azza wa Jalla agar Dia menerima taubatku.’ Maka Musa berdoa kepada Rabbnya. Kemudian dikatakan, ‘Wahai Musa, hajatmu telah terkabul.’ Maka Musa bertemu dengan Iblis dan berkata, ‘Kamu telah diperintahkan untuk sujud kepada kubur Adam, maka taubat kamu akan diterima. Maka Iblis dengan sombong dan marah berkata, ‘Aku tidak bersujud kepadanya saat dia hidup, bagaimana aku akan bersujud kepadanya saat dia telah mati?’  Kemudian berkatalah Iblis: “Wahai Musa, sesungguhnya engkau mempunyai hak ke atasku dengan apa yang engkau syafa’atkan kepada Tuhanmu. Oleh itu, sebutkanlah aku dalam tiga keadaan dan tidak ada kehancuran kecuali dalamnya: Sebutkanlah aku ketika engkau marah, kerana sesungguhnya wasiatku ada dalam hatimu, dan pandanganku ada dalam matamu, dan pengaruhku atas dirimu seperti aliran darah. Sebutkanlah aku ketika engkau menjumpai orang yang sedang berjalan merangkak (bayi), kerana aku akan mendatangi anak Adam ketika dia berjumpa dengan orang yang sedang merangkak itu dan aku akan mengingatkannya kepada anak dan isterinya serta keluarganya sehingga dia berbalik. Dan aku ingatkan engkau agar jangan berdampingan dengan perempuan yang bukan mahrammu, kerana sesungguhnya aku adalah utusan untuknya kepada kamu dan kamu pun adalah utusan untuknya.”

Kisah melalui jalur ini diriwayatkan juga oleh Ibn A’sakir dalam Tarikh al-Dimasyq (61/127), dan Ibn al-Jauzi dalam Talbis Iblis (hlm. 29).

Antara doa Nabi SAW ialah:

أَسْأَلُكَ كَلِمَةَ الحَقِّ فِي الغَضَبِ والرِّضَا

Maksudnya: “Aku bermohon kepada-Mu kalimah yang sebenar ketika marah dan juga redha.”

Riwayat al-Nasa’ie (1305) dan Ahmad (18351)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply