#2729: Bernazar Tidak Akan Makan Nasi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak bertanya pasal nazar. Bolehkah kita bernazar untuk tidak makan nasi sehingga sesuatu hajat itu terlaksana? Hal ini kerana, ibu saya yang bernazar sedemikian. Saya risau kesihatan dia terjejas. Dia bernazar tidak akan makan nasi sehingga keadaan keluarganya kembali bersatu dan bahagia kembali. Saya amat berharap agar pihak tuan dapat memberi penjelasan akan hal ini. Sekian terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nazar dari sudut istilah ialah apa yang  telah ditakrifkan  oleh para ulama’ iaitu: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat  al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)

Firman Allah SWT:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.

(Surah al-Hajj: 29)

Begitu juga, jika sekiranya seorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ketaatan kepada Allah SWT, maka hendaklah dia menunaikannya. Namun, jika dia bernazar kemaksiatan, maka tidak boleh dia menunaikannya. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadith:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.

Riwayat al-Bukhari (6696)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami nyatakan nazar tersebut tidak dikira kerana ia tidak termasuk dalam nazar ibadah iaitu perkara -perkara yang mentaati Allah SWT. Nazar yang dilakukan  bukan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT tidak wajib untuk dilaksanakan, lagi-lagi bernazar pada perkara yang memudaratkan kita. Ini berdasarkan kepada hadith yang telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa beliau berkata:

بَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ قَائِمٍ، فَسَأَلَ عَنْهُ. فَقَالُوا: أَبُو إِسْرَائِيلَ، نَذَرَ أَنْ يَقُومَ وَلا يَقْعُدَ، وَلا يَسْتَظِلَّ، وَلا يَتَكَلَّمَ، وَيَصُومَ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مُرْهُ فَلْيَتَكَلَّمْ، وَلْيَسْتَظِلَّ، وَلْيَقْعُدْ، وَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ

Maksudnya: Ketika Nabi SAW berkhutbah, tiba-tiba ada seorang laki-laki yang berdiri di bawah terik matahari. Kemudian beliau bertanya mengenainya. Mereka berkata; orang ini adalah Abu Israil, ia bernazar untuk berdiri dan tidak duduk, serta tidak berteduh, tidak berbicara, dan berpuasa lalu Rasulullah SAW berkata: “Perintahkan dia agar berbicara, berteduh, duduk dan menyempurnakan puasanya!”

Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak memerintahkan lelaki tersebut tidak membayar kafarah terhadap nazar yang telah dilakukan bah baginda memerintahkan untuk meninggalkannya. Yang demikian menunjukkan bahawa perkara yang harus dilakukan bukan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT tidak wajib untuk ditunaikan lagi sekiranya nazar tersebut menyebabkan kesusahan pada diri. Adapun nazar Ta’ah iaitu bernazar dengan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti puasa maka wajiblah menunaikan nazarnya. Oleh sebab itu baginda memerintah untuk menyempurnakan puasa yang telah dinazarkan seperti yang disebut dalam hadith.

Al-Khatib al-Syarbini dalam isu ini beliau menyatakan: Sekiranya bernazar dengan perkara seperti makan, tidur atau meninggalkannya atau tidak memakan manisan maka tidak wajib untuk menunaikan nazar tersebut samaada melakukan atau meninggalkannya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/235)

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Amru bahwa Rasulullah SAW bersabda:

لا نَذرَ إلّا فيما ابتُغِيَ به وجهُ اللهِ

Maksdunya: Tidak boleh bernazar kecuali dengan mengharapkan keredhaan Allah.

Riwayat Abu Dawud (2192)

Dar al-Ifta al-Misriyyah juga mengeluarkan fatwanya iaitu sesiapa yang brnazar dengan sesuatu perkara yang bukan mendekatkan diri kepada Allah SWT maka tidak wajib melaksanakannya dan ia juga tidak dikenakan kafarah disebbkan melanggar nazar tersebut kerana pada asalnya nazar tersebut tidak dikira.[1]

Justeru dalam isu seperti yang dinyatakan seperti di atas kami nyatakan bahawa nazar tersebut tidak dikira kerana ia tidak termasuk dalam nazar ta’ah iaitu nazar yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Di kesempatan ini juga suka juga kami nasihati supaya jagalah hati kedua ibu bapa dan janganlah menimbulkan kegusaran dalam hati mereka dengan masalah perpecahan berlaku sesama ahli keluarga. Selesaikanlah masalah yang berlaku tersebut dengan baik kerana islam sangat mementingkan silaturrahim dan melarang memutuskan tali persaudaraan. Ingatlah ancaman tegas bagi sesiapa yang memutuskan silaturrahim seperti yang telah disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Jabir Bin Muti’m bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعُ رَحِمٍ

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.”

Riwayat Al-Bukhari (5984) dan Muslim (2556)

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a’lam

[1] https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=3284. Diakses pada 14 Ogos 2023

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *