Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Nabi Ishak mempunyai anak bernama Esau selain Nabi Yaakub? Dikatakan yang Esau ialah kembar kepada Nabi Yaakub yang selalu cemburu dengannya. Mohon pencerahan dan terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

أَمْ كُنتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِن بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَٰهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Maksudnya: “(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: ‘Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?’ Mereka menjawab: ‘Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)’.

(Surah al-Baqarah: 133)

Nabi Ishak merupakan anak Nabi Allah Ibrahim melalui isterinya Sarah selepas dilahirkan hasil doa Nabi Allah Ibrahim agar dikurniakan anak. Katanya:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”

(Surah al-Saffat: 100)

Nabi Ibrahim A.S telah melakukan kenduri besar tanda kesyukuran selepas kelahiran Ishak. Nama dipilih dengan Ishak kerana ibunya telah mendapat janji daripada malaikat yang dia akan menjadi seorang ibu. Ishak adalah seorang nabi yang kaya.

Berkenaan dengan persoalan di atas, Nabi Ishak AS menyampaikan risalah dan dakwah kepada kaumnya dengan memberi peringatan. Beliau telah melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya. Beliau mempunyai 3 orang anak yang sulung Nabi Allah Yaakub dan juga Esau, sedangkan yang perempuan dinamakan dengan Faiqah. Inilah yang dinukilkan dari beberapa sumber.

Marilah sama-sama kita berdoa semoga anak zuriat kita menjadi anak-anak yang soleh:

 رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H

Leave a Reply