#2782: Kenapa Hipnosis Haram?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mengapakah hipnosis diharamkan dalam Islam?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Hipnosis ialah suatu keadaan kesedaran manusia yang melibatkan perhatian yang tertumpu dan pengurangan kesedaran periferal serta peningkatankebolehan untuk bertindak balas kepada suatu cadangan. Istilah mungkin juga merujuk kepada seni, kemahiran, atau tindakan mendorong keadaan sebegini.

Individu yang berada dalam hipnosis dikatakan telah memuncak daya tumpuan dan konsentrasinya, yakni boleh menumpukan perhatian dengan kuatnya kepada suatu fikiran atau ingatan tertentu sambil menepis semua sumber gangguan yang lain. Subjek yang mengalami keadaan ini dikatakan telah menunjukkan tindak balas yang meningkat terhadap cadangan. Hipnosis biasanya disebabkan oleh suatu prosedur cetusan (hypnosis induction) yang melibatkan satu siri arahan dan cadangan awal. Hipnosis dibahagikan berdasarkan penggunaannya, sama ada untuk tujuan terapeutik – disebut sebagai hipnoterapi – mahupun untuk tujuan hiburan penonton (stage hypnosis).[1]

Hipnotisme : Ia berasal daripada perkataan ‘hypnos’ iaitu nama dewa tidur bagi orang-orang Yunani. Dari sudut istilah, hipnosis ialah keadaan menyerupai tidur yang dapat dilakukan secara sengaja terhadap seseorang, iaitu seseorang yang sedang dihipnosis boleh menjawab pertanyaan yang diajukan serta melaksanakan sesuatu arahan tanpa bantahan. Hipnotisme yang mempunyai unsur-unsur sihir dan pukau adalah diharamkan.

Menurut apa yang difatwakan oleh al-Syeikh Al-Albani dan al-Lajnah al-Daimah yang dipimpin oleh al-Syeikh Ibn Baz. Ia dibahaskan seperti berikut:

Pertama, kita menyebut perkara ini dengan perkataan hipnosis atau pun dalam bahasa Inggeris dengan perkataan hypnotism atau kata yang dekat dengan maksud itu seperti hypnotic atau lain-lain. Dan dalam bahasa arab disebut dengan التَنْوِيْمُ المَغْنَاطِيْسِي.

Berikut fatwa dan pengarahan ulama terkait permasalahan ini. Sebagaimana di dalam kitab Alfu Fatawa Li Asy-Syaikh Al-Albany, 2/90 yang dikumpulkan oleh Abu Sanad Fathullah, sebuah pertanyaan ditujukan pada al-Syeikh:

Di sana ada bentuk yang lain dari bentuk ruqyah, iaitu yang mereka sebut pada zaman ini dengan (الطبِّ الرَّوحاني) / (التنويم المغناطيسي), apakah hal itu boleh atau tidak?

Jawapan beliau, “Pengubatan yang diberikan oleh sebahagian orang yang menampakkan dirinya seperti orang soleh yang disebut dengan nama di atas, entah dengan cara seperti orang dulu iaitu berhubungan dengan jin seperti dilakukan oleh orang-orang jahiliyah, atau yang lain yang saya sebut dengan hipnotis, maka hal ini adalah cara yang tidak disyari’atkan. Kerana semua ini terjadi dengan meminta pertolongan kepada jin. Yang mana ini merupakan sebab sesatnya kaum musyrikin. Hal ini sebagaimana Allah SWT sebutkan:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Maksudnya: “Dan bahawasanya ada sekelompok lelaki dari bangsa manusia meminta perlindungan kepada sekelompok lelaki bangsa jin, maka mereka menambahi mereka ketakutan dan dosa.”

(Surah al-Jin: 6)

(Lihat al-Shahihah, 6/614)

Dalam menjawab persoalan di atas, sekalipun kami telah nukilkan pandangan beberapa tokoh, kami sendiri memohon kemaafan kerana belum dapat membuat kajian secara mendalam berkenaan isu ini. Kami tetap menghormati pandangan mereka dan untuk kami memerlukan sedikit masa bagi melengkapkan kajian secara khusus dengan menemubual mereka yang benar-benar berkeahlian. Untuk itu, buat masa ini kami memilih untuk bertawaquf.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 36:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti rahimahullah menjelaskan bahawa dalam ayat ini Allah SWT menegah manusia daripada mengikuti sesuatu tanpa ilmu (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 3/145). Syeikh Abdurrahman al-Sa’di rahimahullah pula mengatakan ia bermaksud supaya manusia tidak melakukan sesuatu tanpa ilmu, bahkan perlu memastikan kebenaran setiap apa yang dikata dan dilakukan. Sesungguhnya itu merupakan petanda kepada pendapat yang baik dan kekuatan berfikir. (Lihat Taysir al-Latif al-Mannan, hlm. 50)

Akhir kalam, sebaik-baiknya pastikan apa yang kita amalkan tidak bercanggah dengan syariat dan juga hukum Tuhan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahu a’lam

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Hipnosis

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *