Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah solat Isya dan Subuh berjemaah seolah-olah sama seperti solat sepanjang malam?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَثْقَلَ صَلَاةٍ عَلَى الْمُنَافِقِينَ صَلَاةُ الْعِشَاءِ، وَصَلَاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Maksudnya: “Seseungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafiq adalah solat Isyak dan solat al-Fajar (Subuh). Sekiranya mereka mengetahui (pahala) apa yang terdapat pada keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.”

Riwayat Muslim (651)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Uthman bin ‘Affan R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ secara berjemaah, maka seolah-olah dia mendirikan solat separuh malam. Dan sesiapa yang solat Subuh secara berjemaah, maka seolah-olah dia solat malam secara keseluruhannya.”

Riwayat Muslim (656) dan Ibn Hibban (2060)

Selain itu, terdapat pula hadith lain, yang turut diriwayatkan oleh Uthman bin Affan R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ قِيَامُ نِصْفِ لَيْلَةٍ وَمَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ وَالْفَجْرَ فِي جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ كَقِيَامِ لَيْلَةٍ ‏

Maksudnya: “Sesiapa yang hadir solat Isya’ berjemaah, baginya (pahala) Qiamullai separuh malam. Dan sesiapa yang solat Isya’ dan Subuh secara berjemaah, maka baginya (pahala) Qiamullail seluruh malam.”

Riwayat Abu Daud (555) dan al-Tirmizi (221). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Tirmizi (221)

Syeikh al-’Azim Abadi menjelaskan: Lafaz yang dikeluarkan oleh Abu Daud mentafsirkannya dan menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan sabda Baginda, ‘Sesiapa yang solat Subuh berjemaah, seolah-olah solat malam keseluruhannya,’ bermaksud sesiapa yang menunaikan solat Subuh dan Isya’ berjemaah. Hadis ini menjelaskan bahawa setiap satu solat itu sama dengan separuh malam, dan gabungan menyamainya akan menyamai keseluruhan malam. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 2/183)

Penutup

Sesungguhnya, kelebihan solat berjemaah apatah lagi di masjid atau surau adalah amat besar pahalanya sehingga digandakan 27 kali ganda sebagai mana di dalam hadith yang masyhur. Justeru, berdasarkan perbincangan di atas, 2 waktu yang utama untuk kita bersungguh-sungguh melaksanakan solat berjamaah iaitu solat Subuh dan juga solat Isya. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan golongan yang mendirikannya.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a’lam

 

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H

Leave a Reply