Soalan:
Assalamualaikum Dato, saya ingin bertanya, adakah gaji saya menjadi syubhah kerana majikan saya terlibat dengan rasuah dan cara yang tidak elok dalam mendapatkan tender? saya tiada kaitan dengan rasuah dan cara yang tidak elok itu, saya bekerja sebagai kerani disitu. Jika benar gaji saya syubhah,betul ke saya tidak boleh guna gaji saya itu untuk belanja atau beri kepada orang lain seperti bagi makan kepada mak ayah saya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pengertian Rasuh
Kami mulakan terlebih dahulu dengan menjelaskan makna rasuah. Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab al-risywah (الرِّشْوَةُ). Al-Fayyumi berkata: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau orang lain, agar hakim itu memenangkannya, atau agar hakim itu memutuskan hukum sesuai dengan apa yang diinginkannya. (Lihat al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir, 3/411)
Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah mentakrifkan rasuah dengan: “Sebarang pemberian bertujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan”. (Lihat Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (22/220)
Pengharaman terhadap pemberi dan penerima rasuah telah dinyatakan dalam nas-nas al-Quran dan al-Hadith antaranya ialah:
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ
Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)
(Surah al-Maidah: 42)
Imam al-Baghawi menjelaskan ayat ini dengan mengatakan: “(Ayat) ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka’ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka.”(Lihat Ma’alim al-Tanzil, 3/58)
Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي
Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)
Dalam hadis lain yang turut diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الرَّاشِىَ وَالْمُرْتَشِىَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
Riwayat Ahmad (6532, 6778, 6830), Abu Daud (3582) dan al-Tirmizi (1337)
Dar al-Ifta al-Urduniyah dalam fatwanya menyatakan: Islam mengharamkan rasuah, dan Allah SWT melaknat baik pemberi rasuah mahupun penerima rasuah, seperti yang disebutkan oleh Nabi SAW. Hukum rasuah ini semakin berat jika ia mengakibatkan penyelewengan harta orang lain dan hak-hak mereka, atau menyebabkan kezaliman kepada mereka. Oleh itu, bagi sesiapa yang melakukan perbuatan ini, hendaklah bertaubat kepada Allah dengan sungguh-sungguh, memohon ampun, merasa penyesalan yang mendalam, dan tidak mengulangi perbuatan-perbuatan semacam ini.[1]
Al-Fayumi dalam menyatakan tentang rasuah beliau menyebut : “Pemberi rasuah akan terjerumus dalam laknat, kecuali jika ia memberikan rasuah tersebut sebagai bentuk pertahanan terhadap kerugian yang dapat menimpanya. Jika pemberi rasuah bertujuan untuk membatalkan hak yang sah atau mencapai sesuatu yang salah, maka itulah pemberi rasuah yang dilaknat menurut sabda Rasulullah SAW. Namun, jika melalui rasuah tersebut ia mendapatkan hak atau menyingkirkan kezaliman terhadap dirinya, maka tindakan ini tidaklah haram. Manakala, penerima rasuahlah yang lebih ditegah dan dilaknat.(Lihat Fath al-Qarib al-Mujib ala’ Targhib wa Tarhib,9/578 )
Menjawab bagi persoalan di atas dalam isu ini kami katakan gaji yang diterima daripada majikan yang terlibat dengan rasuah boleh diambil dan ia halal untuk digunakan atau diberi kepada orang lain seperti ahli keluarga melainkan saudara bekerja dan terlibat dengan pengurusan yang berkaitan dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT seperti terlibat dengan penjualan arak dan sebagainya . Ini kerana yang terlibat secara langsung dengan rasuah adalah majikan dan dia berdosa atas perbuatan tersebut dan perlu bertaubat.
Dalam isu ini Syeikh Ibn Baz menyatakan: Jika melakukan hanya apa yang dihalalkan oleh Allah SWT maka tidak ada masalah untuk mengambil gaji dari majikan yang melakukan perbuatan rasuah dan tidaklah berdosa. Dosa rasuah hanyalah majikan tersebut. Sebagai saudaramu maka nasihatilah dia supaya meninggalkan rasuah kerana rasuah itu haram.[2]
Di sini juga Kami nyatakan terdapat empat kesalahan utama rasuah mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694):
- Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) Akta SPRM 2009]
- Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) Akta SPRM 2009]
- Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 Akta SPRM 2009]
- Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23 Akta SPRM 2009][3]
Justeru dalam isu ini kami katakan gaji yang diterima tersebut halal untuk diambil selagi mana melakukan pekerjaan dengan apa yang dihalalkan oleh Allah SWT. Suka juga kami nasihati supaya jauhilah rasuah kerana dengan rasuah ia boleh membawa keburukan seperti menghancurkan keadilan dalam sebuah negara dan melahirkan masyarakat yang pentingkan diri sendiri.
Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Wallahu a’lam
[1] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2059
Diakses pada 16 Ogos 2023
[2] https://binbaz.org.sa/fatwas/15943/%حكم–راتب–من–يعمل–عند–من–يتعامل–بالرشوة
Diakses pada 16 Ogos 2023
[3] Lihat https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=75&articleid=478
Diakses pada 16 Ogos 2023
Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445