Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. ustaz maaf bertanya, saya ada soalan begini ustaz, jika kita ada saving untuk beli motor baharu, dan kita ajak kawan kita teman, “lepastu kawan kita cakap banyak betul duit kau” dan kita jawab dengan bergurau “menang loteri”, padahal duit itu duit saving kita, adakah boleh jadi betul-betul haram duit tersebut untuk kita guna beli motor itu? Mohon pencerahan terima kasih ustaz

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

(Surah Qaf: 18)

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi dalam tafsirnya mengatakan bahawa setiap manusia akan dicatat perkataan dan amal perbuatan untuk dijadikan bukti ke atasnya pada hari kiamat. Sebagaimana Allah SWT akan mengarahkan anggota badan yang lain untuk menjadi saksi ke atas tuannya kelak, begitu juga dengan catatan amalan ini. Apa sahaja kebaikan walaupun sekadar niat yang terlintas di fikiran, maka akan terus dicatat amal kebaikan oleh Allah SWT, dan tidak akan ditulis tentang kejahatan sehingga mana seseorang itu tenggelam di dalamnya. Namun Allah SWT masih memberi peluang kepada seseorang itu untuk sentiasa bertaubat dan bermuhasabah diri. (Lihat Tafsir Khawatir Imaniyyah, 16/700)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidaklah menjadi haram duit tersebut disebabkan gurauan sedemikian. Hal ini kerana sumber duit tersebut juga berasal dari sumber yang halal. Namun demikian, nasihat kami sebagai seorang Muslim sebaiknya ucaplah dengan ucapan yang baik. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًاً أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata-kata yang baik ataupun diam

Riwayat al-Bukhari (6475)

Walau bagaimanapun, janganlah menjawab seperti berikut, ini kerana jika ramai yang mendengar boleh jadi kefahaman mereka berlainan dan menyangka bahawa dia benar-benar menggunakan duit loteri dan ini membawa fitnah. Justeru, elakkan cakap seperti itu dan cakaplah benar. 

Akhir kalam, semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Kami menutup dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a`lam

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445

Leave a Reply