#2840: Solat Jama’ Bagi Pesakit Di Hospital

Soalan:

Assalamu’alaikum Dato’ Seri. Saya ada persoalan, bolehkah seorang pesakit di wad hospital melakukan solat jama’ dan juga solat dalam keadaan duduk kerana kesulitannya untuk berwudhu’ dan membersihkan dirinya dan seumpamanya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Setiap solat fardhu 5 waktu yang disyariatkan mempunyai waktu-waktu khusus yang telah ditetapkan untuk setiap solat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa’: 103)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa Allah SWT menjadikan waktu solat itu ada waktu yang khusus untuk ditunaikan. Ini bermakna bahawa hukum Allah ini adalah kefardhuan yang mesti dilaksanakan dalam tempoh yang tertentu dengan segera yang mungkin. Antara hikmahnya ialah jika tiada tempoh waktu yang khusus maka manusia pasti tidak akan melakukannya ataupun melakukan dalam keadaan cuai dan leka. (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 5/143-144)

Antara rukhsah yang Allah berikan kepada umat ini adalah dibenarkan untuk menjama‘kan di antara dua solat dalam keadaan-keadaan yang tertentu seperti musafir, hujan, sakit dan seumpamanya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah al-Hajj: 78)

Jama‘ bermaksud menggabungkan dua solat di dalam satu waktu. Iaitu menggabung solat Zohor dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan solat Isyak. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa harus hukumnya menjama‘kan di  antara solat Zohor dengan Asar pada waktu yang dia suka dan juga solat Maghrib dengan solat Isyak menurut mazhab al-Syafi‘i, dan ini juga berdasarkan persepakatan ulama’. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab , 4/249) 

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma, katanya :

جَمَعَ رَسُولُ اللهِ ﷺ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، وَبَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالعِشَاءِ بِالمَدِينَةِ مِنْ غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ مَطَرٍ، قَالَ: فَقِيلَ لاِبْنِ عَبَّاسٍ: مَا أَرَادَ بِذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menjama’kan di antara solat Zohor dengan Asar dan di antara solat Maghrib dengan Isyak di Madinah bukan kerana takut dan bukan kerana hujan. Lalu ditanya kepada Ibn Abbas: ‘Apa tujuan Baginda berbuat demikian?’ Ibn ‘Abbas menjawab: ‘Baginda tidak ingin menyusahkan umatnya’.”

Riwayat Al-Tirmizi (187) dan Al-Nasa’ie (1574)

Al-Mubarakfuri menyatakan bahawa sesiapa yang ada keuzuran, maka diharuskan untuk dia menjama‘kan solat. Manakala bagi mereka yang ada keuzuran akan tetapi tidak mahu menjama’kan solat, sehingga dia meninggalkan solat, maka dia berdosa tanpa syak lagi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/205)

Antara riwayat lain juga menyebut sebagaimana yang disebut oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

صَلَّى رَسُولُ اللهِ ﷺ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ. قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menunaikan solat Zohor dan Asar secara jama‘ di Madinah dalam keadaan tiada ketakutan dan tidak bermusafir. Abu al-Zubair berkata: Aku telah bertanya Sa‘id: ‘Mengapa dilakukan sebegitu?’ Maka Sa‘id menjawab: Aku telah bertanya Ibn ‘Abbas soalan seperti yang kamu tanyakan, maka Ibn ‘Abbas menjawab: ‘Rasulullah SAW menghendaki untuk tidak menyusahkan seorang pun dari ummatnya’.”

Riwayat Muslim (705)

Imam al-Nawawi berkata: “Sejumlah para ulama’ berpendapat boleh menjamakkan solat ketika di tempat tinggal jika ada keperluan bagi sesiapa yang tidak menjadikannya kebiasaan. Ini merupakan pendapat Ibn Sirin, Asyhab bin ‘Abd al-‘Aziz daripada murid-murid Malik bin Anas. Juga al-Khattabi menyebut pendapat ini daripada al-Qaffal (al-Marwazi) dan al-Syasyi al-Kabir (Muhammad bin ‘Ali) daripada kalangan tokoh ulama Mazhab al-Syafi’i, daripada Abi Ishaq al-Marwazi, daripada sejumlah ahli hadith. Ibn Munzir memilih pendapat ini dan ia disokong oleh apa yang zahir dari perkataan Ibn ‘Abbas “Baginda tidak mahu membebankan seorang pun umatnya”. Beliau tidak memberikan alasan sakit atau selainnya”. (Lihat  Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/335).

Maksudnya, para ulama ini melihat keizinan jama’ itu luas merangkumi segala keadaan yang sukar. Tujuannya bagi meringankan bebanan umat ini. Menurut Ibn ‘Abbas itulah tujuan kenapa Nabi s.a.w melakukan jama’ di Madinah. Namun, para ulama ini meletakkan syarat agar tidak dijadikan kebiasaan. Ertinya, dilakukan apabila ada keperluan sahaja samada sakit atau selainnya.

Maka dapat difahami daripada hadith tersebut bahawa jika terdapat sebab keuzuran, kegawatan dan terdapat urusan yang mendesak maka ia lebih utama untuk mengambil rukhsah menjama‘kan solat.

Solat Jama’ Bagi Pesakit di Hospital

Dalam isu di atas, kami mendoakan agar Allah SWT memberikan kesembuhan dan keringanan kepada mereka yang sedang dirawat di hospital.  Dalam hal ini, seorang pesakit yang mempunyai kesulitan untuk solat pada waktunya dibenarkan untuk menjama’kan antara dua solat, iaitu solat zohor bersama asar, dan solat maghrib besama isyak secara jama’ taqdim atau ta’khir mengikut cara yang mudah baginya. Kesukaran dan kesulitan yang timbul akibat sakit merupakan antara keuzuran yang mengharuskan untuk menjama’kan solat. 

Nabi SAW juga memberikan kelonggaran kepada wanita yang mengalami istihadhah, iaitu darah yang keluar daripadanya di luar hari-hari kebiasaan haidnya untuk menjama’kan antara dua solat.  Hal ini sebagaimana riwayat Aisyah R.Anha, katanya:

اسْتُحِيضَتِ امْرَأَةٌ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأُمِرَتْ أَنْ تُعَجِّلَ الْعَصْرَ وَتُؤَخِّرَ الظُّهْرَ وَتَغْتَسِلَ لَهُمَا غُسْلًا، وَأَنْ تُؤُخِّرَ الْمَغْرِبَ وَتُعَجِّلَ الْعِشَاءَ وَتَغْتَسِلَ لَهُمَا غُسْلًا، وَتَغْتَسِلَ لِصَلَاةِ الصُّبْحِ غُسْلً

Maksudnya: “Seorang perempuan mengalami istihadah pada zaman Rasulullah SAW dan dia diperintahkan untuk mempercepatkan solat asar dan menangguhkan solat Zohor, kemudian mandi wajib untuk keduanya. Dia juga diperintahkan untuk menangguhkan solat Maghrib dan mempercepat solat Isyak, serta mandi junub untuk keduanya. Selain itu, dia diperintahkan untuk mandi junub untuk solat Subuh.”

Riwayat Abu Dawud (287) al-Tirmizi (128), al-Nasaie (213) dan Ahmad (25430). Hadith ini dinilai sahih oleh al-Wadi’i dalam al-Sahih al-Musnad (1623).

Istihadah adalah sejenis penyakit. Imam Ahmad berhujah bahawa dibolehkan menjama’kan antara dua solat bagi orang sakit dengan alasan bahawa penyakit lebih berat daripada musafir. (Lihat Kassyaf al-Qina’, 2/5)

Namun begitu, perlu diberi perhatian bahawa individu yang dibenarkan menjama’kan antara dua solat harus menunaikan setiap solat secara sempurna sahaja tanpa menqasarkannya. 

Syeikh al-Islam Taiyuddin Ibn Taymiyyah berkata, “Qasar solat adalah khusus untuk musafir, ia tidak dibenarkan dalam keadaan lain selain musafir. Adapun menjama’kan solat, sebab dibolehkan adalah dengan keperluan ataupun keuzuran. Jika seseorang itu memerlukan, maka dia boleh menjama’kan solatketika musafir yang singkat atau yang panjang, begitu juga dibolehkan jama’ hujan dan seumpamanya, ketika sakit dan lain-lain dengan sebab yang tertentu. Tujuan dibenarkan jama’ ini ini adalah untuk mengangkat kesukaran daripada umat ini.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 22/293).

Selain tu, sekiranya pesakit itu tidak mampu untuk solat dalam keadaan berdiri, maka dia boleh solat dalam keadaan duduk, jika tidak mampu, dia boleh solat dalam keadaan mengiring, Hal ini sebagaimana riwayat daripada Imran bin Husoiin RA: Aku dahulu terkena buasir, lalu aku bertanyakan Rasulullah SAW tentang solatku, Baginda SAW bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: “Solatlah kamu secara berdiri, jika kamu tidak mampu, maka solatlah secara duduk. Jika tidak mampu (juga) maka solatlah di atas lambung (yakni baring mengiring).”

Riwayat al-Bukhari (1117)

Imam al-Nawawi menjelaskan: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/310)

Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam al-Ramli seperti dinukil oleh Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 214)

Imam Al-Nawawi berkata lagi dalam kitab al-Majmu’ (4/226): Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: “Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat.” 

Riwayat al-Bukhari (2996)

Manakala Imam al-Syaukani ketika mengulas hadith Imran bin Husoin R.A di atas berkata: Hadith Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas lambungnya. (Lihat Nail al-Autar, 3/243)

Ibn Qudamah al-Maqdisi berkata: Para ulama’ telah bersepakat bahawasanya sesiapa yang tidak mampu untuk solat secara berdiri maka dia boleh melakukannya secara duduk. (Lihat al-Mughni, 1/443)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa seorang pesakit yang dirawat di hospital, jika tidak menjadi bebanan kepadanya untuk menunaikan setiap solat mengikut waktunya, maka hendaklah dia melakukan demikian. Ini kerana itulah kewajiban yang asal, tetapi jika pesakit itu mengalami kesukaran untuk solat pada waktunya, maka dia dibenarkan oleh syara’ untuk menjama’kan solatnya ketika sakit sama ada secara taqdim atau ta’khir bergantung kepada keadaan yang memudahkannya. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa solat jama’ ini perlu dilakukan secara sempurna tanpa mengqasarkannya kerana solat qasar hanya dilakukan sewaktu musafir.  Selain itu, sekiranya dia tidak mampu berdiri, dia boleh solat dalam keadaan duduk atau dalam keadaan yang dia mampu.

Allah SWT tidak membebankan hambanya yang sakit dan mempunyai kesukaran dengan memberikan jalan keluar terhadap permasalahan tersebut. Hal ini sesuai dengan kaedah yang berdasarkan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Dan jika kami memerintahkan kamu untuk melakukan sesuatu, maka laksanakanlah ia sekadar kemampuan kamu.”

Riwayat Bukhari (7288) dan Muslim (1337)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa: 

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Wallahua`lam.

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

1 thoughts on “#2840: Solat Jama’ Bagi Pesakit Di Hospital

  1. Md Razli bin Ab Rahim Rahim says:

    salam Dato’ Seri,
    Lanjutan daripada penerangan di atas, kedudukan katil di hospital tidak boleh di ubah. Bagaimana degfan arah kiblat? Perlukah pesakit berusaha untu solat menghadap kiblat dan sekiranya sukar, hadap arah katil.
    Penjelasan darpada Dato’ Seri amat dialukan.
    Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *