#2884: Siapakah Pembunuh Musailimah al-Kazzab?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah sebenarnya yang membunuh Musailimah al-Kazzab dan boleh ceritakan kisahnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

Surah al-Fath (29)

Kami mulakan dengan menceritakan secara ringkas berkenaan Musailimah al-Kazzab.

Beliau ialah Musailimah bin Thumamah bin Kabir bin Habib bin al-Harith bin ‘Abd al-Harith bin Hiffan bin Zuhl bin al- Duwal bin Hanifah. Dia daripada kalangan Bani Hanifah. Nama julukannya (kunyah) ialah Abu Thumamah, dan ada juga yang berpendapat, Abu Harun. Dia juga diberi nama sebagai al-Rahman, sehingga dia dipanggil sebagai Rahman al-Yamamah Umurnya ketika dibunuh ialah 150 tahun. Diceritakan juga bahawa dia mengetahui ilmu silap mata, di mana dia boleh memasukkan telur ke dalam botol dan dia adalah orang pertama yang melakukan perkara tersebut. Begitu juga memotong sayap burung lalu menyambungnya semula, dan mendakwa antelop betina telah datang kepadanya dari suatu gunung lalu dia memerah susunya. Dia pernah datang bersama utusan Bani Hanifah yang seramai 17 orang pada tahun 9 Hijrah Utusan ini singgah di rumah salah seorang lelaki Ansar, kemudian mereka datang bertemu Rasulullah SAW lalu memeluk Islam.

Terdapat beberapa riwayat yang berbeza mengenai Musailimah al-Kazzab. Setelah diteliti, ternyata semua riwayat tersebut memaparkan sikap Musailimah yang angkuh, sombong dan gila kuasa. Dia sebenarnya tidak datang bersama-sama rombongan utusan lain untuk bertemu Rasulullah SAW. Rasulullah SAW ingin melembutkan hatinya, lalu dilayaninya dengan kata-kata dan tingkah laku yang baik pada mulanya. Namun, setelah Rasulullah SAW melihat tidak ada faedahnya pada Musailimah, maka Baginda SAW meramalkan mengenai kejahatan yang ada pada Musailimah. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 383; al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/256-257)

Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata: “Musailimah al-Kazzab datang pada zaman Rasulullah SAW dan dia berkata: ‘Jika Muhammad mewariskan kepadaku kenabian selepasnya pasti aku mengikutinya.’ Dia datang ke Madinah bersama sejumlah orang daripada kaumnya. Rasulullah SAW datang kepadanya bersamanya Thabit bin Qais bin Syammas dan di tangan Rasulullah terdapat sepotong pelepah kurma sehingga Baginda berdiri di hadapan Musailimah bersama para sahabatnya. Baginda bersabda: ‘Sekiranya engkau meminta kepadaku sepotong kayu ini, nescaya aku tidak akan memberikannya kepadamu. Engkau tidak akan dapat melampaui urusan Allah. Jika engkau membelakangi, nescaya Allah akan membinasakanmu. Sesungguhnya aku melihat engkau adalah apa yang aku lihat dalam mimpiku dan ini Thabit akan menjawab (penentangan) kamu bagi pihakku.’ Kemudian Baginda meninggalkannya.” (Riwayat al-Bukhari, 4373).

Dalam riwayat lain, diceritakan bahawa Musailimah al-Kazzab datang ke Madinah lalu dia singgah di rumah Bint al-Harith bin Kuraiz yang merupakan Umm Abdullah bin ‘Amir. Rasulullah SAW datang kepadanya bersama Thabit bin Qais bin Syammas yang dikenali sebagai jurucakap Rasulullah SAW dan ketika itu di tangan Rasulullah SAW terdapat ranting kayu. Baginda SAW berhenti di hadapan Musailimah dan bercakap dengannya. Musailimah berkata kepada Baginda: “Jika engkau mahu, kami akan membiarkanmu menguruskan urusan (kenabian) ini, kemudian engkau menjadikannya untuk kami selepas kamu.” Nabi SAW bersabda: “Sekiranya engkau meminta ranting kayu ini nescaya aku tidak akan memberikannya kepadamu dan sesungguhnya aku melihat engkau ialah orang yang diperlihatkan kepadaku dalam mimpiku. Ini Thabit bin Qais yang akan menjawab (penentangan) kamu bagi pihakku.” Lalu Nabi SAW beredar.

Setelah itu, Ibn Abbas menyebutkan bahawa beliau bertanya berkenaan sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya engkau yang diperlihatkan kepadaku dalam mimpiku.” Maka Abu Hurairah mengkhabarkan kepadanya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketika aku sedang tidur, aku melihat dua gelang emas di tanganku. Keduanya membuat aku berasa risau. Maka diwahyukan kepadaku dalam mimpi itu, ‘hendaklah engkau meniup keduanya.’ Aku pun meniup keduanya, maka keduanya terbang (lenyap). Aku menafsirkan keduanya ialah pendusta yang akan keluar sesudahku.” Salah seorangnya ialah al-‘Ansi dan seorang lagi ialah Musailimah. (Riwayat al-Bukhari, 4374).

Begitu juga dalam riwayat yang lain, Abu Hurairah RA pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketika aku sedang tidur, didatangkan kepadaku perbendaharaan bumi, lalu diletakkan di telapak tanganku dua gelang emas, maka hal itu terasa sangat berat bagiku. Kemudian diwahyukan kepadaku agar meniup keduanya. Aku meniup keduanya lalu keduanya pergi. Aku menafsirkan bahawa keduanya ialah dua orang pendusta yang aku berada di antara keduanya, iaitu pemimpin San‘a’ (al-‘Ansi) dan pemimpin Yamamah (Musailimah).” (Riwayat al-Bukhari, 4375).

Musailimah mendakwa dirinya sebagai nabi pada tahun 10 Hijrah. Dia telah mencipta syair-syair (dengan tujuan meniru al-Quran), menghalalkan arak dan zina dalam kalangan kaumnya. Pada masa yang sama, dia tetap mengiktiraf bahawa Rasulullah SAW adalah seorang nabi. Lantaran itu, kaumnya terperdaya lalu mengikutinya serta memberikan sokongan kepadanya. Akhirnya tindakan Musailimah itu menjadi satu urusan yang besar sehingga dia digelar sebagai ‘Rahman al-Yamamah’ kerana ketinggian kedudukannya dalam kalangan pengikutnya.

Dia menulis sepucuk surat kepada Rasulullah SAW dengan menyebutkan di dalamnya: “Sesungguhnya aku berkongsi urusan ini dengan kamu. Bagi kami separuh urusan dan bagi Quraisy separuh urusan.” Rasulullah SAW menjawab suratnya dengan menyebut: “Sesungguhnya bumi ini adalah milik Allah yang diwariskan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, sedangkan kesudahan yang baik itu ialah untuk orang yang bertakwa.” (Lihat Zad al-Ma‘ad, 3/31-32).

Musailimah telah dibunuh dalam peperangan al-Yamamah semasa pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq RA pada bulan Rabiul Awwal tahun 12 Hijrah. Dia telah dibunuh oleh Wahsyi iaitu orang yang sama telah membunuh Hamzah (yang kemudiannya memeluk agama Islam). (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 384)

Peristiwa bagaimana kematian Musailimah ini ada diceritakan sendiri oleh Wahsyi sebagaimana direkodkan dalam sahih al-Bukhari. Wahsyi menceritakan bahawa ketika Rasulullah wafat, Musailimah al-Kazzab lalu muncul (dan mendakwa diri sebagai nabi). Wahsyi berkata: “Sesungguhnya aku akan keluar kepada Musailimah supaya aku dapat membunuhnya untuk menebus kesalahanku membunuh Hamzah.” Wahsyi berkata lagi: “Aku keluar bersama orang ramai (yang pergi memerangi Musailimah dan pengikutnya) dan berlakulah peristiwa yang masyhur tentangnya.” Beliau berkata: “Tiba-tiba (aku terlihat) seorang lelaki (yakni Musailimah) berdiri di celahan dinding. Dia seperti unta berwarna kelabu (disebabkan debu medan perang) dengan rambut yang kusut.” Beliau berkata: “Aku melemparkan tombak kecilku ke arahnya yang tepat mengenai dadanya sehingga tembus keluar di antara kedua bahunya.” Beliau berkata lagi: “Seorang lelaki Ansar kemudian melompat ke arahnya dan menyerang atas kepalanya dengan pedang.” Abdullah bin Umar berkata: “Seorang hamba wanita di atas bumbung rumah berkata: ‘Sungguh malang bagi Amirul  Mukminin (Musailimah), dia hanya dibunuh oleh seorang hamba berkulit hitam.’”

Riwayat al-Bukhari (4072)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *