Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum perbuatan mengirim doa kepada orang yang akan ke tanah suci Makkah? Dengan maksud, meminta orang yang pergi ke Makkah untuk mendoakan beberapa hajat kepada mereka.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa berdoa di tanah haram tidak dinafikan mempunyai beberapa kelebihan yang tertentu.

Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif (hlm. 269) menyebut: “Ketahuilah bahawa penggandaan pahala bagi setiap amalan itu berlaku dengan beberapa sebab, antaranya kerana kemuliaan tempat yang dilakukan padanya amalan tersebut, seperti di tanah haram.

Oleh kerana itu, solat di dalam dua masjid di Makkah dan Madinah itu dilipatgandakan ganjarannya. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith sahih daripada Nabi SAW, bahawa Baginda bersabda:

صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ – أَوْ كَأَلْفِ صَلاَةٍ – فِيمَا سِوَاهُ مِنَ الْمَسَاجِدِ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: “Solat di dalam masjidku ini (Masjid Nabawi) adalah lebih baik berbanding 1000 solat – atau menyamai 1000 solat – berbanding masjid-masjid selainnya, kecuali Masjid al-Haram.”

Riwayat Muslim (1394)

Justeru, hal ini jelas menunjukkan bahawa ibadah yang dilakukan di tanah haram itu dilipatgandakan ganjaran pahalanya, dan termasuklah dalam perbuatan ibadah itu adalah doa yang dilakukan oleh seseorang itu di tanah haram.

Dalam isu di atas, perbuatan meminta kepada orang lain untuk mendoakan kebaikan kepada kita yang tidak berada di sana, atau lebih masyhur disebut dengan mengirimkan doa hukumnya adalah dibolehkan.

Dalam satu riwayat daripada Saidina Umar R.A, bahawa beliau pernah meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk menunaikan umrah. Lalu Baginda mengizinkannya dan berkata kepada Umar:

لاَ تَنْسَنَا يَا أُخَىَّ مِنْ دُعَائِكَ

Maksudnya: “Jangan lupakan kami wahai saudaraku dari doa kamu.”

Riwayat Abu Daud (1498), al-Tirmizi (3562), Ibn Majah (2894) dan Ahmad (195). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Dalam riwayat lain, Nabi SAW bersabda kepada Umar R.A:

أَىْ أُخَىَّ أَشْرِكْنَا فِي دُعَائِكَ وَلاَ تَنْسَنَا

Maksudnya: “Wahai saudaraku, sertakan sama kami di dalam doamu dan jangan lupakan kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3562) dan beliau menyatakan ini hadith hasan sahih.

Syeikh Ibn Uthaimin berkata: “Dan boleh baginya untuk meminta kepada orang yang diharapkan akan makbulnya berdoa bagi dirinya dengan syarat tiada dalam doa itu perkara yang dilarang.”

Di samping itu, dalam masa yang sama, orang yang mengirim doa juga tidak sewajarnya mengabaikan untuk mendoakan kepada dirinya sendiri walaupun belum berpeluang untuk ke sana lagi.

Penutup

Sesungguhnya, doa adalah ibadah dan juga senjata bagi orang yang beriman. Rasulullah SAW menggalakkan untuk kita berdoa antara satu sama lain. Dengan sebab itu, bila diucapkan salam, maka di sana ada jawapannya. Sama juga bila mengucapkan bersin, maka ada doanya.

Justeru, doa adalah baik dan Rasulullah SAW juga memohon dari sahabatnya Umar bin al-Khattab RA agar berdoa untuknya. Ini kerana, doa orang yang bermusafir adalah mustajab. Di samping itu, Rasulullah SAW ingin mengajar kita agar saling doa-mendoa antara satu sama lain.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply