#2912: Berkhatan Bagi Perempuan

Soalan:

Assalamu’alaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya hukum berkhitan bagi bayi perempuan. Cucu saya berumur 6 bulan, tapi belum berkhitan. Dulu-dulu anak-anak perempuan semua berkhitan, tetapi sekarang ini ada yang kata tidak perlu. Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berkhatan adalah suatu ibadah yang disyariatkan di dalam Islam. Hal ini sebagaimana riwayat daripada hadith Nabi SAW bahawa Nabi Ibrahim A.S melaksanakan khatan seperti mana yang diarahkan oleh Allah. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَهُوَ ابْنُ ثَمَانِينَ سَنَةً بِالقَدُّومِ

Maksudnya: “Nabi Ibrahim A.S berkhatan ketika Baginda berusia 80 tahun dengan menggunakan qaddum (pahat)”

Riwayat al-Bukhari (3356) dan Muslim (2370)

Pensyariatan khatan ini juga dikuatkan dengan hadith daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

خَمْسٌ مِنَ الفِطْرَةِ: الخِتَانُ، وَالِاسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya: “Lima perkara termasuk daripada fitrah; –  berkhitan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, dan memotong  misai.”

Riwayat al-Bukhari (5889) dan Muslim (527)

Diriwayatkan juga daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyyah bahawa seorang wanita di Madinah melakukan khitan dan beliau adalah bidan. Maka Nabi SAW bersabda kepadanya:

لا تُنْهِكِي، فَإِنَّ ذَلِكَ أَحْظَى لِلْمَرْأَةِ ، وَأَحَبُّ إِلَى الْبَعْلِ

Maksudnya: “Janganlah engkau melakukan khitan yang terlalu banyak, sesungguhnya itu lebih baik bagi wanita dan lebih disukai oleh suami.”

Riwayat Abu Dawud (5271). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (5271) menyatakan bahawa sanad hadith ini dhaif, manakala Syeikh Nasiruddin al-Albani dalam Sahih al-Jami’ (7475) menyatakan bahawa hadith ini sahih

Walau bagaimanapun, hadith ini telah menjadi perbincangan dalam kalangan para ulama’, di mana dan sebahagian daripada mereka menganggap hadis ini lemah dan yang lain menganggapnya sahih.

Hukum Khitan bagi Perempuan

Pensyariatan khitan bagi perempuan telah diperselisihi dalam kalangan ulama’ berkenaan hukumnya kepada tiga pendapat:

  • Pendapat Pertama: Khitan adalah wajib bagi lelaki dan perempuan. Ini adalah pendapat Mazhab al-Syafi’i dan Hanbali, dan dipilih oleh al-Qadi Abu Bakr ibn al-Arabi daripada Mazhab Maliki.

Imam al-Nawawi berkata: “Khitan adalah wajib bagi lelaki dan perempuan menurut Mazhab kami. Ini juga merupakan pandangan ramai daripada Salaf, seperti yang dihuraikan oleh al-Khattabi, dan juga diwajibkan oleh Imam Ahmad … Pandangan yang benar dan masyhur yang dinyatakan oleh Imam al-Syafi’i dan yang diterima oleh majoriti bahawa khitan adalah wajib bagi lelaki dan perempuan.” (Lihat al-Majmu’, 1/367; Lihat juga Fath al-Bari, 10/340; Kassyaf al-Qina’, 1/80)

  • Pendapat Kedua: Bahawa khitan adalah sunnah bagi lelaki dan perempuan. Ini adalah pendapat Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki, serta pendapat yang diriwayatkan daripada Imam Ahmad.

Ibn Abidin al-Hanafi berkata dalam Hasyiah-nya (6/751): “Dalam kitab Taharah daripada al-Siraj al-Wahhaj: Ketahuilah bahawa khitan adalah sunnah menurut Mazhab kami, iaitu Mazhab Hanafi, bagi lelaki dan perempuan.” (Lihat juga Mawahib al-Jalil, 3/259).

  • Pendapat Ketiga: Khitan adalah wajib bagi lelaki, manakala bagi perempuan adalah suatu tindakan mulia yang disukai (مكرمةٌ مُستحبَّةٌ). Ini adalah pendapat ketiga daripada Imam Ahmad, dan pendapat ini juga diambil oleh sebahagian daripada Mazhab Maliki seperti Sahnun. (Lihat al-Tamhid, 21/60)

Pendapat ini juga dipilih oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi juga memilih pendapat ini dalam al-Mughni. Beliau berkata: “Khitan ini adalah wajib bagi lelaki, dan kemuliaan bagi hak perempuan. (Lihat al-Mughni, 1/63)

Dalam Fatawa al-Lajnah al-Daimah dinyatakan: “Khitan adalah daripada sunnah fitrah bagi lelaki dan perempuan. Tetapi ia adalah wajib bagi lelaki dan sunnah dan tindakan yang mulia bagi perempuan.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 5/113)

Dengan ini, jelaslah bahawa fuqaha’ Islam telah bersepakat mengenai pensyariatan khitan bagi lelaki dan perempuan, bahkan kebanyakan antara mereka menganggapnya wajib bagi kedua-duanya.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata berkenaan khitan bagi perempuan: “Dan wajib dipastikan tidak berlaku pencacatan oleh mereka yang mengendalikan urusan khatan anak perempuan mereka berdasarkan cara yang datang daripada hadith. Dan tidak boleh dilabelkan perbuatan khatan itu sebagai satu bentuk jenayah yang dilakukan dalam kurun ke 21 ini, melainkan dalam kes-kes yang melanggar had-had yang disepakati dalam syara’, iaitu al-isti’sal (pemotongan/pengembirian kemaluan), berlebihan dalam memotong, dan dikendalikan oleh orang-orang yang jahil daripada kalangan bidan dan selainnya, dan janganlah ubatan yang digunakan itu memandulkan.”[1]

Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-29/2017 bertarikh 18-19 April 2017 / 21-22 Rejab 1438H juga mengeluarkan fatwa  berkenaan hukum khitan bagi anak perempuan:

“Hukum khitan bagi wanita berbeza mengikut keadaan alat sulit seseorang wanita. Ia berdasarkan keadaan setiap wanita setelah ditentukan keperluannya oleh pakar. Jika seseorang wanita mendapati dirinya perlu melakukan khitan dan dipersetujui oleh pakar, maka ianya satu makrumah (penghormatan) seperti dalam hadith Ummu ‘Atiyyah yang dinilai Hasan oleh sebahagian ulama. Sekiranya didapati tiada keperluan melakukan khitan, maka khitan tidak perlu dilakukan untuk dirinya.”

Adapun khitan bayi perempuan yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat tanpa merujuk keperluannya kepada pakar merupakan amalan yang tidak mempunyai apa-apa asas dalil syarak, bahkan mungkin mendedahkan bayi kepada kemudharatan jika dilakukan secara yang salah. Andaian bahawasanya rangsangan seks berlebihan pada wanita disebabkan tidak berkhitan adalah tidak memiliki apa-apa alasan yang kukuh.[2]

Manakala, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) telah memutuskan bahawa amalan berkhatan bagi wanita adalah sebahagian daripada syiar Islam yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Walau bagaimanapun, Islam juga amat mementingkan keselamatan umatnya dan memberikan kelonggaran sekiranya sesuatu amalan atau perbuatan itu boleh mendatangkan kemudharatan pada diri. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib. Walau bagaimanapun, sekiranya ia boleh membawa kemudharatan pada diri, maka ia perlu dielakkan.[3]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hukum berkhitan bagi lelaki dan perempuan adalah wajib menurut mazhab al-Syafi’i dan Hanbali, dan sunat serta amalan yang mulia bagi perempuan menurut pendapat dalam mazhab yang lain termasuk sebahagian mazhab Hanbali. Justeru, dalam hal ini, walaupun dalam mazhab al-Syafi’i menghukumkan wajib bagi perempuan untuk berkhitan, tetapi Islam juga amat mementingkan keselamatan umatnya dan memberikan kelonggaran sekiranya sesuatu amalan atau perbuatan itu boleh mendatangkan kemudharatan pada diri. Sehubungan dengan itu, sekiranya berkhatan bagi perempuan boleh membawa kemudharatan pada diri, maka ia perlu dielakkan dan pendapat ini adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Justeru, dalam hal ini, pendapat yang mengatakan bahawa berkhitan adalah sunat dan kemulian bagi wanita juga merupakan pendapat yang boleh diraikan dalam hal ini.

Adapun bahagian yang wajib untuk dibuang ketika berkhatan ialah:

  • Bagi lelaki, bahagian kulit yang menutupi hasyafah (kepala zakar).
  • Bagi perempuan, bahagian kulit diatas saluran kencing (klitoris), yang seperti balung ayam jantan.

Bagi perempuan disunatkan agar dinipiskan atau dikemaskan sahaja, dan jangan melampau-lampau dalam memotong seperti amalan female genital mutilation yang mana sehingga merosakkan dan mencacatkan klitoris. Bahkan perbuatan seperti itu diharamkan dalam Islam sebagaimana pesan Rasulullah SAW: “Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.” [Riwayat Abu Dawud (5271)]

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyah disebut bahawa khatan bagi wanita ialah dengan memotong sebahagian dari kulit yang berada seperti duri jantan (dikenali sebagai “عرف الديك”) di atas tempat keluar air kencing. Lebih baik bahawa tidak keseluruhan bahagian itu dipotong, tetapi hanya sebahagian daripadanya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 19/28)

Selain itu, di nusantara ini, amalan berkhitan bayi perempuan merupakan suatu perkara yang diterima secara adat dalam masyarakat Islam khususnya bangsa Melayu. Bukan itu sahaja, amalan ini telah menjadi suatu kemestian dalam masyarakat Melayu serta diterima sejak dahulu lagi. Antara keindahan agama Islam ialah Islam sebagai cara dan makna hidup yang menyeluruh turut meraikan adat dan budaya masyarakat yang tidak.  Dalam hal ini, adat dan uruf sesuatu tempat itu diraikan dalam hal ini sebagaimana kaedah menyebut:

 العَادَةُ مُحَكَّمَةٌ

Maksudnya: “Adat setempat yang dijadikan sebagai hukum.”

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, adat setempat mestilah suatu amalan kebiasaan yang berterusan (dalam masyarakat). Jika bukan adat kebiasaan, maka tidak dijadikan adat sebagai hukum. (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 1/323)

Hendaklah dalam urusan ini kita bersikap adil, tidak cenderung kepada masyarakat yang menzalimi wanita dan tabiatnya, dan tidak pula cenderung kepada mereka yang memperlekehkan Syariat Islam dan pengamalannya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam.

[1] Lihat https://www.al-qaradawi.net/node/4306

[2] Lihat https://muftiperlis.gov.my/index.php/himpunan-fatwa-negeri/136-hukum-khitan-anak-perempuan

[3] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15253

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *