Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW ada membela kucing? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara umumnya, memelihara kucing dengan tujuan yang dibenarkan oleh syarak seperti menghalau tikus dan haiwan perosak seumpamanya adalah diharuskan. Lebih-lebih lagi kucing dihukumkan sebagai suci (bukannya najis) dan merupakan haiwan yang sering berkeliaran di sekeliling manusia.

Seterusnya, tidak dapat dinafikan bahawa Rasulullah SAW juga ada memelihara beberapa jenis haiwan. Di antaranya — sebagaimana yang diceritakan — Baginda SAW mempunyai unta yang diberi nama al-Qaswa’, begitu juga 20 ekor unta susu di hutan, yang setiap malam diperah susunya sehingga memenuhi dua bekas simpanan susu yang besar. Begitu juga Baginda SAW mempunyai beberapa ekor kuda yang diberi nama seperti al-Sakb, al-Murtajiz, al-Luhaif, al-Lizaz, al-Zarb, al-Ward dan lain-lain, dan begitulah juga haiwan-haiwan lain seperti keldai, baghal, kambing dan ayam. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW (Edisi Kemaskini), hlm. 416-436).

Dalam menjawab soalan di atas, kami tidak menemukan (setakat yang kami ketahui) mana-mana riwayat yang sahih mahupun sumber-sumber yang dipercayai yang menyatakan bahawasanya Nabi SAW ada memelihara kucing sama ada di dalam rumahnya mahupun di luar rumahnya. Sekalipun begitu tidak dinafikan bahawa Baginda SAW menyayangi kucing, di samping mengingatkan agar tidak menyakiti dan menyeksanya. Bahkan Nabi SAW menggolongkan kucing termasuk dalam jenis haiwan yang sering berkeliaran di sekeliling manusia dan menjelaskan ketidaknajisannya.

Ini adalah sebagaimana riwayat Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik yang melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.”  Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68); Ibn Majah (367)

Begitu juga terdapat sebuah riwayat daripada Aisyah R.Anha, daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda mendekatkan sebekas air kepada seekor kucing sehinggalah ia meminumnya. Kemudian Baginda berwuduk daripada lebihan air tersebut.[1] Selain itu, terdapat juga hadith lain daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْهِرَّةُ مِنْ مَتَاعِ الْبَيْتِ

Maksudnya: “Kucing termasuk dalam harta benda rumah.

Riwayat Ibn Majah (369); Ibn Khuzaimah (828) dengan lafaz yang panjang; al-Bazzar (8646) dan lafaz hadith daripadanya.[2]

Demikianlah juga Nabi SAW memberikan kunyah (nama julukan) sebagai Abu Hurairah[3] kepada salah seorang sahabatnya disebabkan cintanya yang mendalam terhadap kucing, di mana beliau memiliki seekor kucing yang dipelihara, bermain-main dengannya, dan membawanya bersama di dalam lengan bajunya.

Pada masa yang sama, Nabi SAW mengingatkan agar tidak menzalimi kucing yang dipelihara seperti dengan mengurungnya di dalam sangkar tanpa diberi makan dan minum. Ini  adalah sebagaimana seorang wanita telah diazab dan ditempatkan di dalam neraka kerana perbuatannya yang zalim terhadap seekor kucing. Rasulullah SAW bersabda:

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ

Maksudnya:Seorang perempuan telah diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.

Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadith di atas iaitu dikatakan kepadanya:

لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: “Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga ia boleh makan serangga yang berada di tanah.”

Riwayat al-Bukhari (2365)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Wallahu a’lam

 

[1] Riwayat al-Daraqutni dalam sunannya (218) dan beliau menyebutkan bahawa sanadnya adalah hasan. (Lihat Tanqih al-Tahqiq oleh Ibn ‘Abd al-Hadi, 1/94-95)

[2] Ibn Daqiq al-‘Eid dalam al-Imam (1/239) menyatakan, di dalamnya terdapat perawi bernama Ibrahim bin al-Hakam dan dia termasuk dalam perawi yang dikritik oleh para ulama.

[3] Para ulama berselisih pendapat mengenai nama sebenar Abu Hurairah dengan perbezaan yang sangat banyak. Namun, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa nama beliau ialah ‘Abd al-Rahman bin Sakhr sebagaimana yang dipegang dan dirajihkan juga oleh al-Zahabi, Abu Ahmad al-Hakim dan al-Nawawi. Perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Tashih al-Mafahim yang bertajuk: #2 Nama Sebenar Abu Hurairah R.A. (Lihat https://maktabahalbakri.com/2-nama-sebenar-abu-hurairah-r-a/. Diakses pada 23 Ogos 2023).

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply