#2914: Kisah Ibrahim Putera Nabi SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami, anak Nabi SAW yang bernama Ibrahim?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibrahim ialah anak Baginda SAW bersama Mariah binti Syam‘un. Dia merupakan seorang hamba yang dihadiahkan oleh pembesar Iskandariyyah dan Mesir iaitu al-Muqauqis kepada Rasulullah SAW. Pembesar itu juga turut menghadiahkan bersamanya hamba yang lain iaitu saudara perempuannya, Sirin dan juga Khasi yang dipanggil sebagai Makbur. Kemudian, Rasulullah SAW menghadiahkan Sirin kepada Hassan bin Thabit, dan dia ialah ibu kepada ‘Abd al-Rahman bin Hassan. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1912).

Rasulullah SAW tertarik kepada Ummu Ibrahim kerana beliau berkulit putih dan memiliki kecantikan. Maka Rasulullah SAW telah meletakkannya untuk tinggal di suatu kawasan al-‘Aliyah yang dikenali pada hari ini sebagai Masyrabah Umm Ibrahim. Baginda pernah mendatanginya di sana dan memakaikannya hijab. Baginda menggaulinya sebagai seorang tuan dan hamba. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 8/212).

Ibrahim bin Muhammad lahir pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah. Al-Zubair menyebutkan daripada syeikh-syeikhnya bahawa Ummu Ibrahim Mariah melahirkannya di suatu kawasan al-‘Aliyah yang dikenali pada hari ini sebagai Masyrabah Umm Ibrahim. Orang yang menyambut kelahiran Ibrahim ialah Salma maulah Nabi SAW, yang merupakan isteri kepada Abu Rafi‘. Kemudian Abu Rafi‘ menyampaikan berita gembira tersebut kepada Nabi SAW, lalu Baginda menghadiahkannya seorang hamba.

Selain daripada itu, Baginda SAW juga telah melakukan akikah untuknya dengan seekor kibasy pada hari ketujuh kelahirannya, mencukur rambutnya, dan bersedekah kepada orang miskin mengikut kadar timbangan rambut tersebut dengan perak. Begitu juga Baginda memerintahkan agar rambut yang dicukur itu ditanam di dalam tanah. Baginda menamakannya sebagai Ibrahim.

Walau bagaimanapun, umur Ibrahim bin Muhammad tidak panjang kerana wafat ketika masih lagi kecil. Ibrahim meninggal dunia di Bani Mazin di sisi Ummu Burdah ketika berusia 18 bulan iaitu pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah. Namun ada yang berpendapat, beliau dilahirkan pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah dan wafat pada tahun 10 Hijrah. Jenazahnya telah dimandikan oleh Ummu Burdah dan dibawa dari rumah Ummu Burdah di atas katil kecil. Rasulullah SAW telah mensolatkannya di Baqi‘.

Menurut al-Waqidi, Ibrahim telah meninggal dunia pada hari Selasa, setelah berlalunya sepuluh malam Rabi‘ul Awwal tahun 10 Hijrah dan dikebumikan di Baqi‘. Ibrahim telah wafat di Bani Mazin di sisi Ummu Burdah binti al-Munzir daripada Bani al-Najjar, ketika berusia 18 bulan. Akan tetapi ada juga yang berpendapat, Ibrahim meninggal dunia ketika berusia 16 bulan 8 hari, dan juga ang berpendapat, 16 bulan 6 hari, pada tahun 10 Hijrah.  (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 1/54-56; al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/229).

Ketika kewafatan Ibrahim, Rasulullah SAW telah menitiskan air mata. Imam al-Bukhari ada menukilkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW: “Air mata mengalir dan hati bersedih.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/438). Terdapat riwayat yang menceritakan mengenai peristiwa tersebut sebagaimana riwayat daripada

Anas bin Malik R.A, katanya:

دَخَلْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أَبِي سَيْفٍ الْقَيْنِ، وَكَانَ ظِئْرًا لإِبْرَاهِيمَ، عَلَيْهِ السَّلاَمُ ـ فَأَخَذَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِبْرَاهِيمَ فَقَبَّلَهُ وَشَمَّهُ، ثُمَّ دَخَلْنَا عَلَيْهِ بَعْدَ ذَلِكَ، وَإِبْرَاهِيمُ يَجُودُ بِنَفْسِهِ، فَجَعَلَتْ عَيْنَا رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَذْرِفَانِ‏.‏ فَقَالَ لَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ـ وَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ فَقَالَ ‏«يَا ابْنَ عَوْفٍ إِنَّهَا رَحْمَةٌ»‏‏.‏ ثُمَّ أَتْبَعَهَا بِأُخْرَى فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ‏«إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ، وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ، وَلاَ نَقُولُ إِلاَّ مَا يَرْضَى رَبُّنَا، وَإِنَّا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ»‏‏.‏ رَوَاهُ مُوسَى عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ الْمُغِيرَةِ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ‏.

Maksudnya: “Kami pergi bersama Rasulullah SAW menemui tukang besi bernama Abu Saif, dan dia ialah suami kepada ibu susu Ibrahim (anak Nabi). Rasulullah SAW mengambil Ibrahim dan menciumnya serta mencium baunya dan kemudian kami memasuki rumah Abu Saif selepas itu. Pada masa itu Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir, lalu mata Rasulullah SAW mulai bergenangan. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: ‘Tuan menangis wahai Rasulullah?’ Baginda SAW bersabda: ‘Wahai Ibn ‘Auf, ini ialah rahmat.’ Kemudian air mata Baginda mengalir lagi. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya mata menangis dan hati bersedih, kami tidak akan mengucapkan sesuatu melainkan apa yang Tuhan kami redha. Wahai Ibrahim! Sesungguhnya kami bersedih dengan perpisahanmu.’”

Riwayat al-Bukhari (1303)

Begitu juga terdapat riwayat daripada ‘Adi bin Thabit, bahawa dia mendengar al-Bara’ R.A berkata:

لَمَّا تُوُفِّيَ إِبْرَاهِيمُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ لَهُ مُرْضِعًا فِي الجَنَّةِ»

Maksudnya: “Ketika Ibrahim R.A (anak kecil Nabi SAW) meninggal dunia, maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya dia memiliki pengasuh (orang yang menyusukannya) di dalam syurga.’”

Riwayat al-Bukhari (1382)

(Lihat Garis Hayat al-Rasul SAW, hlm. 329-331)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *