Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah saya melakukan qadha solat fardhu pada waktu haram solat sunat iaitu selepas Subuh dan selepas Asar? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan jawapan ini dengan nas al-Quran dan al-Hadith tentang ancaman bagi yang meninggalkan solat dengan sengaja. Kami nukilkan daripada kitab al-Kabair hlm. 30-36 oleh Imam al-Zahabi seperti berikut:

“Solat adalah diumpamakan seperti pertalian hamba dengan Tuhannya, yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar, apatah lagi jika dia mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan-kecilkan orang yang mengikat pertalian itu sehingga boleh dianggap kafir, jika tidak perlu bertaubat dan kembali kepada Tuhan-Nya.

Allah SWT berfirman:

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيّاً (٥٩) إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحاً

Maksudnya: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.”

(Surah Maryam: 59-60)

Ibn Abbas RA berkata: “Pengertian ‘meninggalkan solat’ tersebut bukanlah beerti meninggalkan solat itu sama sekali, malah yang dimaksudkan ialah mengakhirkannya dari waktunya.”

Said bin Musayyib Rahimahullah pula berkata: “Maksud ‘meninggalkan solat’ adalah seseorang yang yang tidak solat zohor kecuali sehingga datangnya waktu asar, dan tidak solar asar sehingga datangnya waktu maghrib, dan tidak solat maghrib sehingga datangnya waktu isya’ dan tidak solat  isya’ sehingga datangnya waktu fajar solat subuh, kemudian tidak menunaikan solat subuh sehingga terbitnya matahari. Maka sesiapa yang mati di atas cara yang sedemikian itu dan tidak bertaubat (sebelum matinya), maka Allah SWT akan meletakkannya sebagai orang yang berdosa, dan kerana itu juga dia akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam pada bahagian yang paling dalam sekali.

Firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ، الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”

(Surah al-Ma’un: 4-5)

Secara asasnya, solat qadha’ tidak ditegah untuk dilaksanakan pada waktu-waktu yang diharamkan solat. Walaubagaimanapun, jika seseorang itu sengaja bermaksud untuk melewatkan sesuatu solat yang bukan pada waktunya dalam waktu yang diharamkan solat, maka hukumnya adalah haram dan solat itu tidak sah walaupun ianya merupakan solat qadha’ yang wajib disegerakan (jika ditinggalkan tanpa keuzuran) kerana (alasan) dia telah dikira menentang hukum syarak.

Namun, jika tujuan melewatkan sesuatu solat yang bukan pada waktunya dalam waktu yang diharamkan solat itu kerana kebetulan atau kerana sebab yang tertentu (bukan dengan niat sengaja melakukannya pada waktu tahrim tersebut) seperti mengerjakan solat jenazah selepas sembahyang Asar dengan harapan agar ramai jemaah bersolat, maka hal itu adalah diharuskan.”(Lihato Nihayah al-Muhtaj 386/1, Tuhfah al-Muhtaj 443/1, Hasyiah I‘anah Tolibin, 1/199-200).

Hal ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda;

لَا تَحَرَّوْا بِصَلَاتِكُمْ طُلُوعَ الشَّمْسِ وَلَا غُرُوبَهَا

Maksudnya: “Janganlah kamu bermaksud (sengaja) melaksanakan solat kamu pada waktu matahari terbit dan juga waktu terbenamnya.”

Riwayat al-Bukhari (3273), Muslim (828), al-Nasa’ie (571) dan Ahmad (4695)

Justeru, kami tegaskan bahawa boleh qadha solat pada bila-bila masa terutamanya waktu yang baru terlepas.

Di sisi mazhab Syafie para ulama’ memperincikan masalah ini seperti berikut: sekiranya seseorang meninggalkan solat kerana uzur syari’e seperti tertidur atau lupa yang tidak melampaui had, maka sunat baginya untuk segera menqadha’ solatnya, namun sekiranya seseorang meninggalkan solat tanpa uzur syar’ie maka wajib baginya untuk segera menqadha’ solatnya. (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 3/70-71). Hal ini berdasarkan hadis nabi Muhammad SAW:

كُنَّا فِي سَفَرٍ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَإِنَّا أَسْرَيْنَا حَتَّى كُنَّا فِي آخِرِ اللَّيْلِ ، وَقَعْنَا وَقْعَةً ، وَلاَ وَقْعَةَ أَحْلَى عِنْدَ المُسَافِرِ مِنْهَا ، فَمَا أَيْقَظَنَا إِلَّا حَرُّ الشَّمْسِ ، وَكَانَ أَوَّلَ مَنِ اسْتَيْقَظَ فُلاَنٌ ، ثُمَّ فُلاَنٌ ، ثُمَّ فُلاَنٌ – يُسَمِّيهِمْ أَبُو رَجَاءٍ فَنَسِيَ عَوْفٌ ثُمَّ عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ الرَّابِعُ – وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا نَامَ لَمْ يُوقَظْ حَتَّى يَكُونَ هُوَ يَسْتَيْقِظُ ، لِأَنَّا لاَ نَدْرِي مَا يَحْدُثُ لَهُ فِي نَوْمِهِ ، فَلَمَّا اسْتَيْقَظَ عُمَرُ وَرَأَى مَا أَصَابَ النَّاسَ وَكَانَ رَجُلًا جَلِيدًا ، فَكَبَّرَ وَرَفَعَ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيرِ ، فَمَا زَالَ يُكَبِّرُ وَيَرْفَعُ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيرِ حَتَّى اسْتَيْقَظَ بِصَوْتِهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَلَمَّا اسْتَيْقَظَ شَكَوْا إِلَيْهِ الَّذِي أَصَابَهُمْ ، قَالَ : لاَ ضَيْرَ – أَوْ لاَ يَضِيرُ – ارْتَحِلُوا ، فَارْتَحَلَ ، فَسَارَ غَيْرَ بَعِيدٍ ، ثُمَّ نَزَلَ فَدَعَا بِالوَضُوءِ ، فَتَوَضَّأَ ، وَنُودِيَ بِالصَّلاَةِ ، فَصَلَّى بِالنَّاسِ

Maksudnya: “Daripada Imran bin Husain, beliau berkata, Kami pernah dalam suatu perjalanan bersama baginda Nabi SAW, kami menempuh perjalanan pada waktu malam hingga ketika sampai di akhir malam kami tidur, dan tidak ada tidur yang paling lena bagi musafir melebihi apa yang kami alami. Sehingga tidak ada yang mengejutkan kami (dari tidur) kecuali panasnya sinar matahari. Dan orang yang pertama bangkit (daripada tidur) adalah si fulan, lalu si fulan, lalu seseorang yang Abu ‘Auf mengenalnya namun akhirnya lupa. Dan ‘Umar bin Al Khattab adalah orang keempat bangkit, sedangkan Nabi S.A.W apabila tidur tiada siapa yang mengejutkannya sehingga baginda bangun sendiri, karena kami tidak tahu apa yang terjadi pada baginda di dalam tidurnya. Ketika ‘Umar bangun dan melihat apa yang terjadi pada kami semua (yang telah terlewat bangkit daripada tidur) -dan ‘Umar adalah seorang yang penuh kesabaran, maka beliau bertakbir dengan menguatkan suaranya dan terus saja bertakbir dengan kuat hingga Nabi S.A.W terbangun akibat kuatnya suara takbir ‘Umar. Tatkala baginda nabi SAW bangun, para sahabat mengadukan peristiwa yang telah menimpa mereka. Maka baginda bersabda: Tidak ada masalah, atau tidak apa-apa dan teruskanlah perjalanan. Maka baginda meneruskan perjalanan dan setelah beberapa jarak yang tidak jauh baginda berhenti lalu meminta segayung air untuk berwudhuk, lalu baginda berwudhuk dan kemudiannya menyeru orang lain untuk solat. Maka beliau mengerjakan solat bersama yang lain”.

 Riwayat al-Bukhari (337)

Berkata Imam al-Nawawi: “Dan barangsiapa yang diwajibkan ke atasnya solat, sedangkan dia tidak mengerjakannya sehingga luput waktu solat tersebut, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya berdasarkan hadis nabi SAW: Barangsiapa yang tidur atau lupa sehingga luput waktu solat, maka hendaklah dia mengerjakannya sesudah dia sedar (mengingati hal tersebut). Dan disunatkan baginya untuk bersegera menqadha’ solatnya berdasarkan hadis tadi. Dan diharuskan untuk melewatkannya (qadha’ solat) berdasarkan riwayat daripada Nabi SAW yang tertinggal solat subuh, dan beliau tidak segera menqadha’nya sehingga keluar dari suatu wadi (lembah), sekiranya qadha’ (solat) itu perlu disegerakan, nescaya baginda nabi SAW tidak akan melewatkan (qadha’ solat) tersebut. Namun sekiranya sesorang meninggalkan solat tanpa uzur syar’ie maka wajib ke atasnya untuk segera menqadha’ solatnya. (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 3/70-71).

Berkata Imam Khatib al-Syirbini  dan Imam al-Ramli: “Dan hendaklah segera menqadha’ solat yang luput  waktu, dan hukumnya sunat sekiranya dia meninggalkannya kerana uzur syar’i seperti tertidur atau lupa, manakala wajib hukumnya bersegera menqadha’ solat sekiranya seseorang meninggalkannya tanpa uzur syar’i mengikut pendapat yang paling sahih supaya dia segera bara’ah al-zimmah (membebaskan diri dari tanggungannya). Dan hikmahnya ialah untuk taghliz (memberatkannya)”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/308; Nihayah al-Muhtaj, 1/381).

Marilah sama-sama kita memelihara solat dan sentiasa melakukan pada awal waktu secara berjemaah. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Leave a Reply