#2991: Isteri Mengiringi Jenazah Suami ke Perkuburan
Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum isteri mengiringi pengebumian suaminya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Daripada Umm Atiyyah R.Anha bahawa dia berkata:
نُهِينَا عَنْ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا
Maksudnya: “Kami (kaum wanita) dilarang daripada mengikut jenazah-jenazah (ke perkuburan) dan Baginda (SAW) tidak melarang dengan keras (hal demikian) ke atas kami.”
Riwayat al-Bukhari (1278)
Menurut Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ (5/277-278) larangan ini bersifat makruh tanzih. Inilah mazhab Syafie dan jumhur, manakala dalam Mazhab Malik tidak menganggap makruh kecuali bagi bagi wanita muda. Diceritakan daripada al-Abdari bahawa Imam Malik menganggapnya makruh kecuali jika jenazah itu ialah anaknya, ibu ayahnya, dan suaminya.
Sebahagian ulama menganggap perbuatan mengiringi jenazah ini sebagai makruh tahrim berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW menegur wanita yang menunggu-nunggu jenazah:
ارْجِعْنَ مَأْزُورَاتٍ غَيْرَ مَأْجُورَاتٍ
Maksudnya: “Pulanglah kalian, kalian akan berdosa dan tidak mendapat pahala.”
Riwayat Ibn Majah (1579). Namun, Al-Nawawi menganggap hadis ini daif.
Kami berpendapat cukuplah wanita itu tinggal di rumah dan, jika ingin solat jenazah, solat sahaja di rumah dan tidak mengikuti jenazah ke perkuburan. Ini bagi menghormati hukum ihdad (berkabung) dalam tempoh iddah bagi wanita yang kematian suami. Jika sudah tamat waktu iddah, maka bolehlah menziarahi kubur suaminya sambil menjaga akhlaq ketika ziarah kubur.
Kami menzahirkan rasa kebimbangan yang amat dalam situasi mutakhir ini, kerana jelas dan banyak terpampang dalam medsos seperti Facebook, Instagram, Twitter dan juga Tiktok, wanita yang sepatutnya berada dalam ‘iddah, dengan sesuka hati tanpa tujuan yang munasabah keluar dari rumah dengan bebas. Hal ini telah menafikan perintah Allag SWT dan rasul-Nya agar berkabung atau ber‘iddah di rumahnya.
Semoga Allah SWT taufik dan hidayahkan kita semua agar kembali mengikut syariat-Nya.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
(Surah al-Hasyr: 10)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 11 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445