Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Hukum beli barang clear gudang dari shopee dan lazada yang mana perkara ini pembeli dan penjual sudah sedia maklum barangan random terdiri dari item yang elok dan berkemungkinan juga rosak. Dengan cara persetujuan kedua belah pihak dalam urusan jual beli ini.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَاۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Surah al-Baqarah (275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356)

Hadith daripada Abu Said al-Khudri R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya jual beli itu berdasarkan kepada keredhaan.”

Riwayat Ibn Majah (2185). Syeikh Syu‘aib al-Arnauth menghukumkan sanad hadith ini adalah kuat (Qawiy).

Jual beli yang harus dan menepati syarak akan memberi kesan dan implikasi iaitu bertukarnya pemilikan dengan syarat berlakunya keredaan antara penjual dan pembeli. Ianya akan dikira sebagai muktabar. (Lihat Masabih al-Tanwir ‘ala Sahih al-Jami’ al-Saghir, 1/425)

Menjawab persoalan di atas, jika sekiranya redha dan kerosakan yang bersifat minimum serta bukan semuanya, dan boleh dimanfaatkan, kami berpendapat hukumnya harus.

Walaupun begitu, alangkah baiknya jika dapat mengetahui sebarang bentuk barang jualan tersebut.

Walaupun tidak disyaratkan mengetahui segenap aspek sehingga sekecil-kecil perkara barang tersebut, namun perlu diketahui maklumat asas berkenaan barang tersebut seperti jenis barangan, sifat dan bentuknya, dan lain-lain. Tidak dibenarkan menjual barangan yang tidak diketahui hakikat dan fizikalnya seperti “aku jual salah satu baju yang ada dalam kotak tersebut” kerana perniagaan sebegini mempunyai unsur ketidakjelasan yang keterlaluan (fahisy) dan boleh mengundang kepada pertelingkahan dan pergaduhan antara penjual dan pembeli. (Lihat  al-Fiqh al-Manhaji, 6/19)

Hal ini kerana, pada dasarnya, jual beli barangan yang tidak spesifik mengandungi unsur gharar yang diharamkan dalam Islam berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ، وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang jual beli al-hashah (melempar batu) dan jual beli gharar(ketidakjelasan)”.

Riwayat Muslim (1513)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply