#3019: Fadhilat Surah al-Kahfi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, mengapa amalan bacaan Al-Kahfi di setiap jumaat atau bacaan Al-Kahfi 10 ayat awal atau akhir setiap hari masih gagal untuk hindarkan diri dari fitnah lebih-lebih lagi di media sosial. Saya risau jika ada fitnah yang boleh buatkan saya terpedaya dengan membaca atau berkongsi sesuatu, bagaimana mungkin saya boleh lepas dari fitnah terbesar dunia fitnah Dajjal. Apa halangan yang buatkan amalan itu tidak sempurna? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan dalil hadith berkenaan galakan membaca Surah al-Kahfi malam Jumaat.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat Allah akan meneranginya dengan cahaya sepanjang masa di antara dua Jumaat.”

Riwayat al-Hakim (3392), dan al-Baihaqi (5996)

Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa Nabi SAW bersabda:

 مَنْ َقَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ فِيْمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيْقِ

Maksudnya: “Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.”

Riwayat al-Darimi (3273). Hadith ini dinilai sahih dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (736)

Imam al-Syafie berkata : Dan aku suka bacaan Surah al-Kahfi pada malam Jumaat serta pada siang hari Jumaat berdasarkan riwayat yang menganjurkannya. (Lihat al-Umm, 1/239).

Membaca surah al-Kahfi pada hari dan juga malam jumaat adalah sunat sebagaimana yang disebutkan oleh imam al-Munawi dalam menukilkan pandangan imam al-Syafi’e. Imam al-Munawi menyebutkan,”Hal ini menunjukkan bahawa sunat untuk membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, begitu juga pada malamnya, sebagaimana telah ditunjukkan oleh al-Imam al-Syafi’e.” (Lihat al-Faidh al-Qadir, 6/198)

Antara kelebihan lain bagi sesiapa yang membaca surah al-Kahfi adalah dilindungi daripada fitnah Dajjal sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Darda’, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-kahfi, dia akan dipelihara daripada Dajjal.”

Riwayat Muslim (809), Abu Dawud (4323), dan Ahmad (27540)

Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam syarahnya, “Dikhususkan awal surah ini kerana terdapat keajaiban dan tanda-tanda, maka sesiapa yang mentadabbur ayatnya maka dia tidak akan terkena fitnah dajjal”. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/93)

Menjawab persoalan saudara, untuk melepaskan daripada fitnah, beberapa perkara perlu ada pada diri anda.

Pertama, pengetahuan dan ilmu yang dipelajari dari tuan-tuan guru.

Kedua, beramal dan melakukan sebaik mungkin segala tuntutan Islam yang wajib seperti solat, puasa, zakat dan haji.

Ketiga, menambahkan lagi dengan amalan-amalan yang sunat seperti Qiamullail, solat-solat sunat, infaq, sedekah dan seumpamanya.

Keempat, banyakkan zikrullah seperti zikir ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’.

Daripada Abdullah bin Mas’ud di mana beliau berkata:

كُنْتُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «تَدْرِي مَا تَفْسِيرُهَا؟» ، قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: «لَا حَوْلَ عَنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِلَّا بِعِصْمَةِ اللَّهِ، وَلَا قُوَّةَ عَلَى طَاعَةِ اللَّهِ إِلَّا بِعَوْنِ اللَّه

Maksudnya: “Ketika aku bersama Nabi SAW, aku menyebut zikir dengan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’. Lantas Rasulullah SAW bertanyaku: Adakah kamu tahu apakah tafsirannya? Jawabku : Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Sabdanya: ‘لَا حَوْل’ (tiada daya) untuk (menghindari) maksiat kepada Allah SWT kecuali dengan pemeliharaan Allah SWT. Dan ‘وَلَا قُوَّة’ (tiada kekuatan) untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT kecuali dengan pertolongan Allah SWT.

Riwayat al-Bazzar dalam Musnadnya (2004). Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (10/102) menyatakan hadith ini diriwayatkan dengan dua sanad, salah satu sanadnya terputus dan terdapat Abdullah bin Kharasy yang pada kebiasaannya dinilai sebagai dhaif, manakala satu lagi sanadnya bersambung dan dinilai sebagai hasan

Al-San’ani dalam Subul al-Salam menyatakan maksud kalimah ini sehingga mendapat pahala dan anugerah yang besar di sisi Allah SWT kerana kalimah ini melambangkan penyerahan, berserah kepada Allah SWT, mengiktiraf dengan tunduk dan patuh kepada-Nya. Begitu juga bahawa tiada di sana pembuat dan pencipta selain dari-Nya. Tiada yang boleh menolak dan membangkang segala kehendak dan perintah-Nya. Hamba sekali-kali tidak memiliki sesuatu dari sebarang urusan dan perkara. Kekuasaan, pergerakan dan helah tiada mungkin berlaku kecuali dengan kehendak Allah SWT. (Lihat Subul al-Salam, 2/706)

Terdapat banyak fadhilat zikir dengan ‘لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّه’. Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid telah menyenaraikan beberapa fadhilat fadhilat tersebut. Antaranya:

Pertama: Daripada Mu’az bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏‏ أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ ‏؟‏‏ قُلْتُ: بَلَى‏.‏ قَالَ :‏ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ ‏

Maksudnya: “Adakah kamu mahu aku tunjukkan kepadamu pintu dari pintu-pintu syurga?” Beliau bertanya: “Apakah itu?” Sabda Rasulullah SAW: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’.

Riwayat al-Tirmizi (3581), Ahmad (21996), dan al-Nasa’i dalam Sunan al-Kubra (10189). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam kitabnya Takhrij al-Musnad (1438) menyatakan hadith ini Hasan li ghairih.

Kedua: Daripada Abu Musa R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ، أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى كَنْزٍ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ ؟ فَقُلْتُ: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ : قُلْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ .

Maksudnya: “Wahai Abdullah bin Qais, mahukah engkau aku beritahu tentang salah satu tabungan/simpanan dari simpanan-simpanan syurgawi?” Aku menjawab: ‘Tentu, wahai Rasulullah’. Baginda bersabda: ‘Ucapkanlah: ‘لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ’.

Riwayat al-Bukhari (4205) dan Muslim (7037)

Syeikh al-Islam Taqiy al-Din Abu al-Abbas berkata: Nabi SAW menyebut, ‘salah satu tabungan/simpanan daripada simpanan syurgawi.’ Lafaz al-kanz (الكَنْزُ) maksudnya adalah harta yang terkumpul dan tidak memerlukan lafaz jama’ (كنوز). Hal tersebut adalah kerana hauqalah mengandungi makna tawakkal dan iftiqar (memerlukan dan berhajat) kepada Allah SWT. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 13/321)

Ketiga: Daripada Abu Zar R.A, katanya:

أَوْصَانِي خَلِيلِي بِسَبْعٍ: بِحُبِّ الْمَسَاكِيْنِ وَأَنْ أَدْنُوَ مِنْهُمْ، وَأَنْ أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلُ مِنِّي وَلاَ أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ فَوقِيْ، وَأَنْ أَصِلَ رَحِمِيْ وَإِنْ جَفَانِيْ، وَأَنْ أُكْثِرَ مِنْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ، وَأَنْ أَتَكَلَّمَ بِمُرِّ الْحَقِّ، وَلاَ تَأْخُذْنِيْ فِي اللهِ لَوْمَةُ لاَئِمٍ، وَأَنْ لاَ أَسْأَلَ النَّاسَ شَيْئًا.

Maksudnya: “Kekasihku (Rasulullah) SAW berwasiat kepadaku dengan tujuh perkara: (1) supaya aku mencintai orang-orang miskin dan dekat dengan mereka, (2) Baginda memerintahkan aku agar aku melihat kepada orang yang berada di bawahku dan tidak melihat kepada orang yang berada di atasku, (3) Baginda memerintahkan agar aku menyambung silaturrahim meskipun mereka berlaku kasar kepadaku, (4) aku dianjurkan agar memperbanyak ucapan ‘لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ’ (tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah), (5) aku diperintah untuk mengatakan kebenaran meskipun pahit, (6) Baginda berwasiat agar aku tidak takut celaan orang yang mencela dalam berdakwah kepada Allah, dan (7) Baginda melarang aku supaya tidak meminta-minta sesuatu pun kepada manusia.”

Riwayat Ahmad (21415) dan Ibn Hibban (449). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sahih dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (449)

Keempat: Daripada Abu Ayyub al-Ansari, bahawa Rasulullah SAW pada malam di Isra’kan telah melintasi Ibrahim AS dan Ibrahim AS berkata kepada Baginda SAW:

مُرْ أُمَّتَكَ فَلْيُكْثِرُوا مِنْ غِرَاسِ الْجَنَّةِ، فَإِنَّ تُرْبَتَهَا طَيِّبَةٌ، وَأَرْضَهَا وَاسِعَةٌ قَالَ: وَمَا غِرَاسُ الْجَنَّةِ؟ قَالَ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ.

Maksudnya: Perintahkanlah umatmu dan perbanyakkan dari tanaman syurga kerana tanahnya baik dan tempatnya luas. Tanya Baginda SAW : “Apakah tanaman syurga?” Jawabnya: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’.

Riwayat Ahmad (23552) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (648). Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (10/100) menyatakan Rijal hadith ini semuanya sahih kecuali Abdulllah bin Abd al-Rahman bin Abdullah bin Umar bin al-Khattab, dia adalah thiqah yang tidak dibincangkan oleh sesiapapun dan Ibn Hibban menthiqahkannya.

Kelima: Daripada Abdullah bin Amr, katanya : Rasulullah SAW bersabda:

مَا عَلَى الأَرْضِ أَحَدٌ يَقُولُ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، إِلَّا كُفِّرَتْ عَنْهُ خَطَايَاهُ وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ

Maksudnya: Tidak ada sesiapa pun di Bumi ini apabila dia berkata, Tiada Tuhan selain Allah dan Allah maha besar dan “‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’” kecuali diampunkan kesalahan-kesalahannya walaupun ianya seluas lautan.

Riwayat al-Tirmizi (6460), al-Nasa’i dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (124) dan Ahmad (6479). Pengarang kitab Sahih al-Jami’ (6536) menilai hadith ini sebagai hasan.

 Kelima, banyakkan berdoa. Antara doa yang digalakkan adalah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Riwayat al-Bukhari (1377) dan Muslim (1352)

Doa ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Riwayat al-Bukhari (1377) dan Muslim (1352)

Imam al-Nawawi menyebut: Hadith ini menunjukkan thabitnya azab kubur dan fitnahnya. Inilah mazhab yang benar berbanding dengan pegangan mazhab Muktazilah. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 5/85)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Para ahli bahasa berkata bahawa ‘fitnah’ ialah ujian dan cubaan. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Dalam kehidupan seharian, perkataan tersebut digunakan untuk sesuatu yang tidak disukai.” Perkataan ini boleh juga bermakna pembunuhan, naminah (adu domba) dan sebagainya. (Lihat Fath al-Bari, 4/682)

Al-Azhari menyebut: “Inti makna fitnah di dalam bahasa Arab terkumpul pada makna cubaan dan ujian.” (Lihat Tahzib al-Lughah, 14/296 dan Mu’jam Maqayis al-Lughah, 4/472)

Ibn al-Athir pula berkata: “(Perkataan fitnah) banyak penggunaannya dalam perkara yang tidak disukai. Kemudian ia banyak digunakan untuk makna-makna; dosa, kekafiran, perang, pembakaran, penghilangan dan memalingkan sesuatu.” (Lihat al-Nihayah, 3/410)

Ibn al-A’rabi telah meringkaskan makna-makna fitnah dengan menyebut:  “Fitnah bermakna ujian, fitnah bermakna cubaan, fitnah bermakna harta, fitnah bermakna anak-anak, fitnah bermakna kekafiran, fitnah bermakna perselisihan pendapat di antara manusia, fitnah bermakna pembakaran dengan api.” (Lihat Lisan al-’Arab, 13/317)

Semoga Allah selamatkan kita daripada sebarang fitnah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *