Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum menyertai pelaburan GIGAMAX yang begitu popular dalam kalangan masyarakat pada hari ini? Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Definisi GIGAMAX
Gigamax merupakan platform perdagangan bot kripto yang menggunakan salah satu tools yang terkenal iaitu arbitrage trading (Lihat MYPT3)[1].
Mata wang kripto ialah satu “aset” digital yang tidak zahir tetapi dianggap mempunyai nilai. Nilainya boleh dialih (transfer), diagih (distribute) dan ditukar (exchange) di mana pemindahannya adalah secara terus (peer-to-peer) tanpa melalui pihak ketiga (contohnya bank). Dengan menggunakan teknik yang dipanggil kriptografi, pemindahan data yang berlaku di atas talian akan dapat disulitkan (encryption) dengan menggunakan protokol berasaskan pada prinsip matematik lanjutan dan prinsip kejuruteraan komputer yang menjadikan ia hampir mustahil untuk dicerobohi, diduplikasi ataupun dipalsukan. Justeru, “aset” ini memenuhi ciri-ciri keselamatan moden iaitu kerahsiaan (confidentiality), kesahihan/integriti (authenticity/integrity), kesediaan (availability) dan tak-boleh sangkal (non-repudiation). (Lihat Mata Wang Kripto (Cryptocurrency): Satu Analisa Syarak oleh Prof. Dr. Ashraf bin Md Hashim, Dr. Marjan Muhammad, et. al, terbitan JAKIM, hlm. 6-7).
Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:
#2510: Bekerja di Syarikat yang Membangunkan Aplikasi Cryptocurrency[2]
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum asal muamalat adalah harus. Namun ia boleh menjadi haram apabila terdapat perkara yang haram seperti penipuan, ribawi, gharar, perjudian dan aktiviti yang tidak patuh syariah. Oleh itu, sekiranya GiGAMAX ini tidak mempunyai unsur-unsur sebegitu, maka hukumnya harus, akan tetapi sekiranya terdapat unsur yang haram, maka hukumnya haram. Sebagaimana kaedah menyebut:
مَا أَدَّى إِلَى الْحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ
Maksudnya: “Setiap yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga adalah haram.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”
[2] https://maktabahalbakri.com/2510-bekerja-di-syarikat-yang-membangunkan-aplikasi-cryptocurrency/
Bertarikh: 13 September 2023 bersamaan 27 Safar 1445