Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada persoalan bagaimana nak menasihati kawan yang tidak solat? Saya ada seorang kawan lelaki, berumur 40an dan masih bujang. Dia tidak solat disebabkan  diuji dengan masalah hidup yang berat berpuluh tahun lamanya sampai sekarang. Mohon pandangan daripada Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيّاً (٥٩) إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحاً

Maksudnya: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.

(Surah Maryam: 59-60)

Ibn Abbas RA berkata: “Pengertian ‘meninggalkan solat’ tersebut bukanlah beerti meninggalkan solat itu sama sekali, malah yang dimaksudkan ialah mengakhirkannya dari waktunya.”

Said bin al-Musayyib pula berkata: “Maksud ‘meninggalkan solat’ adalah seseorang yang yang tidak solat Zohor kecuali sehingga datangnya waktu Asar, dan tidak solat Asar sehingga datangnya waktu Maghrib, dan tidak solat Maghrib sehingga datangnya waktu Isya’ dan tidak solat  Isya’ sehingga datangnya waktu fajar solat Subuh, kemudian tidak menunaikan solat Subuh sehingga terbitnya matahari.

Maka sesiapa yang mati di atas cara yang sedemikian itu dan tidak bertaubat (sebelum matinya), maka Allah SWT akan meletakkannya sebagai orang yang berdosa, dan kerana itu juga dia akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam pada bahagian yang paling dalam sekali.

Firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ، الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”

(Surah al-Ma’un: 4-5)

Menjawab bagi persoalan di atas pada asasnya, perbuatan meninggalkan solat dengan sengaja termasuk dalam dosa-dosa besar. Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kabair menyebut: “Solat adalah diumpamakan seperti pertalian hamba dengan Tuhannya, yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar, apatah lagi jika dia mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan-kecilkan orang yang mengikat pertalian itu sehingga boleh dianggap kafir, jika tidak perlu bertaubat dan kembali kepada Tuhan-Nya. (Lihat al-Kabair, hlm. 30-36)

Diriwayat daripada Buraisah Bin al-Hasib al-Aslami bahawa Nabi SAW bersabda lagi:

الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

Maksudnya: “Perjanjian diantara kami dan mereka (orang-orang munafiq itu), ialah dengan solat. Maka sesiapa yang yang meninggalkannya sungguh dia telah menjadi kafir.”

Riwayat Ahmad (23403), al-Nasaie (326), al-Tirmizi (2621) dan Ibn Hibban (1454)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah bahwa  Nabi SAW juga bersabda:

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya, yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir dan syirik, iaitu meninggalkan solat.”

Riwayat Muslim (82) dan Ahmad (14947)

Dalam isu ini, kami katakan,  sebagai kenalan yang baik hendaklah  saudara mengambil langkah untuk mengajak kawan saudara tersebut dan menasihatinya dengan bijak dan penuh hikmah mengenai pentingnya mendirikan solat walau tengah diuji atau dalam keadaan macamana sekalipun. Ingatkannya tentang beratnya azab yang menanti bagi mereka yang meninggalkan solat, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Semoga nasihat ini dapat membawanya  ke jalan yang benar dan mendekatkannya kepada Allah SWT.

Kami juga ingin menekankan bahawa  menghadiri majlis ilmu adalah hal yang sangat penting dalam kehidupan. Ini akan membantu dalam mengatasi kejahilan dan meningkatkan pemahaman terhadap ajaran Islam. Menghadiri majlis ilmu adalah cara yang terbaik untuk menambah  lebih banyak ilmu tentang agama islam dan mengukuhkan iman dalam diri. Lebih dari itu, dengan menghadiri majlis seperti ini akan mendapatkan manfaat yang besar  serta dapat  mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Justeru dalam isu ini, kami ingin menasihati agar tidak pernah berputus asa dari rahmat Allah SWT. Dalam menghadapi ujian hidup, penting untuk selalu mendekatkan diri kepada Allah SWT dan istiqomah dalam memenuhi setiap perintah-Nya, seperti mendirikan solat serta menjauhi segala larangannya.

Selain itu, adalah penting untuk melakukan taubat dan memohon ampun kepada Allah SWT dari kesalahan meninggalkan solat, kerana meninggalkannya adalah tindakan dosa yang akan diminta untuk dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Disamping itu, memohon pengampunannya dan kembali ke jalan yang benar adalah langkah bagi memperbaiki diri dan menjaga hubungan yang kuat dengan-Nya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,”

(Surah al-Tahrim:8)

Diriwayatkan  oleh Anas bin Malik, katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

” قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: ‌يَا ‌ابْنَ ‌آدَمَ ‌إِنَّكَ ‌مَا ‌دَعَوْتَنِي ‌وَرَجَوْتَنِي ‌غَفَرْتُ ‌لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ، وَلَا أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً “

Firman Allah SWT: “Wahai anak Adam! Sekiranya engkau berdoa dan mengharap kepada-Ku, nescaya aku akan mengampunimu, dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Sekiranya dosamu banyak sehingga memenuhi setinggi langit kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku nescaya aku akan mengampunimu, dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam, sekiranya engkau datang kepada dengan dosa yang hampir-hampir memenuhi bumi kemudian bertemu dengan-Ku tanpa mensyirikkan Aku dengan apa-apa pun nescaya Aku akan mendatangmu dengan memberikan keampunan yang sama keluasannya seperti bumi.”

Riwayat al-Tirmizi (3540)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata, hadis ini adalah satu khabar gembira yang agung, kelembutan, kemuliaan yang agung, serta kelebihan, ihsan, keampunan, rahmat dan penghargaan yang tidak terkira [daripada Allah SWT]. (Lihat Sharh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 137)

Disini kami sertakan cara-cara membantu menjaga solat lima waktu, antaranya ialah:

  • Berdoa kepada Allah SWT agar Allah membantu kita mendirikan solat pada waktunya
  • Menghadirkan dalam diri bahawa azan itu merupakan panggilan Allah kepada kita
  • Sentiasa memerhati waktu-waktu solat
  • Tolong menolong dalam perkara kebajikan seperti mengajak sanak saudara, kawan-kawan, atau jiran tetangga mendirikan solat.
  • Sentiasa mengingati ancaman meninggalkan solat

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kekuatan iman dan kefahaman yang jelas dalam  melaksanakan segala tuntutannya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply