#3095: Gangguan Sihir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dalam kesusahan yang teramat ,menanggung beban sakit gangguan sihir yang berat, kos rawatan mencecah ribuan ringgit. Saya tidak dapat melakukan apa-apa pekerjaan. Saya mohon bantuan dato atau tolong hubungkan saya dengan pihak yang boleh membantu.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Sihir

  • Ibn Manzur menyebut di dalam Lisan al-Arab bahawa yang dimaksudkan dengan sihir itu adalah satu amalan yang dengannya bertujuan mendekatkan diri kepada syaitan dengan memohon bantuan daripadanya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/348)
  • Ibnu Qudamah berkata: “Sihir ialah ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akalnya tanpa menyentuhnya secara langsung. (Lihat al-Mughni, 9/34)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1839: Menghindari Diri Dari Terkena Sihir[1]

#410: Jumpa Tukang Sihir Untuk Ubati Sihir[2]

#2804: Kisah Budak Beriman Dengan Tukang Sihir Dan Raja Zalim[3]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan sebaiknya perkara sebegini saudara rujuk ke Pusat Perubatan Islam seperti Darul Syifa’ sebagai ikhtiar untuk menyelesaikan masalah gangguan ini. Di sini juga, kami mengesyorkan saudara amalkan beberapa perkara seperti:

  1. Membaca ayat-ayat pelindung seperti:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya : “Aku memohon perlindungan daripada kalimah-kalimah-Mu yang sempurna daripada sebarang kejahatan yang diciptakan.

  1. Sentiasa melazimi zikir pagi dan petang.
  2. Melazimi bacaan surah al-Fatihah dan tiga Qul (al-Ikhlas,al-Falaq dan al-Nas)
  3. Membaca ayat kursi setiap kali selepas solat dan ketika hendak tidur

Akhir kalam, sewajarnya kita mengamalkan perkara-perkara yang disebutkan dalam usaha melindungi diri dari sebarang gangguan. Sesungguhnya Allah SWT lah sebaik-baik pelindung dan tempat pergantungan. Firman-Nya:

قل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.

(Surah al-Taubah: 51)

Ibn Kathir berkata: kita semuanya adalah di bawah kehendak Allah dan ketentuan-Nya. Kepada-Nya kita bertawakal dan Dia lah sebaik-sebaik pelindung. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/214)

Wallahu’alam.

Kami syorkan agar saudara amalkan dua qul dengan sebanyak mungkin serta yakin kepada Allah SWT, Dialah Yang maha berkuasa dan mampu menyembuhkan sebarang penyakit. Kami akhiri dengan dua qul dan terjemahannya:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ‎﴿١﴾‏ مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ‎﴿٢﴾‏ وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ‎﴿٣﴾‏ وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ ‎﴿٤﴾‏ وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ ‎

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, “Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; “Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.

Surah al-Falaq (1-5)

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ‎﴿١﴾‏ مَلِكِ النَّاسِ ‎﴿٢﴾‏ إِلَٰهِ النَّاسِ ‎﴿٣﴾‏ مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ‎﴿٤﴾‏ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ‎﴿٥﴾‏ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. “Yang Menguasai sekalian manusia, “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, – “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, – “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.

Surah al-Nas (1-6)

[1] https://maktabahalbakri.com/1839-menghindari-diri-dari-terkena-sihir/

[2] https://maktabahalbakri.com/jumpa-tukang-sihir-untuk-ubati-sihir/

[3] https://maktabahalbakri.com/2804-kisah-budak-beriman-dengan-tukang-sihir-dan-raja-zalim/

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *