Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kita bayar zakat siap siap walaupun tidak cukup nisab lagi? Contohnya, saya jual beli saham, tetapi untung daripada jual beli saham itu masih tidak capai nisab. Tetapi saya bayar siap siap. Contoh untuk Rm 1000. Saya bayar RM 25 sebagai zakat, sebab saya takut terlupa bila dah cukup nisab nanti.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, saya mengucapkan syabas kepada anda kerana melakukan ibadat dan keinginan yang besar agar dapat dilaksanakannya walaupun waktu yang wajib belum lagi tiba. Hal ini mengingatkan kami kepada firman Allah SWT:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Maksudnya: “Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.”[1]

(Surah al-Baqarah: 148)

Menjawab persoalan saudara, saya nyatakan bahawa antara kewajipan zakat adalah cukup nisab dan cukup haul. Hal ini dinyatakan di dalam kitab-kitab Fiqah. Antaranya seperti disebut dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji.

Berkenaan nisab, disebut:

Nisab bermaksud jumlah minimum yang dikira sebagai syarat bagi sesuatu harta yang wajib dikeluarkan zakat. Justeru, sekiranya harta yang dimiliki seseorang mukallaf tidak sampai kepada jumlah tersebut, maka zakat tidak diwajibkan ke atasnya.

Berkenaan haul, disebut:

Zakat tidak wajib dikeluarkan kecuali setelah genap setahun memilikinya. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ فِى مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya:Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun.”[2]

          Riwayat Abu Daud (1573)

Syarat tersebut dikecualikan bagi zakat tanaman, buah-buahan dan galian serta tidak disyaratkan genap setahun memilikinya. Oleh itu, zakat wajib dikeluarkan dengan segera sebaik sahaja mendapat hasilnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/641)

Dalam isu mengeluarkan zakat sebelum cukup nisab, Ibn Qudamah menyebut:

لَا يَجُوزُ تَعْجِيلُ الزَّكَاةِ قَبْلَ مِلْكِ النِّصَابِ ، بِغَيْرِ خِلَافٍ عَلِمْنَاهُ ، وَلَوْ مَلَكَ بَعْضَ نِصَابٍ ، فَعَجَّلَ زَكَاتَهُ ، أَوْ زَكَاةَ نِصَابٍ ، لَمْ يَجُزْ؛ لِأَنَّهُ تَعَجَّلَ الْحُكْمَ قَبْلَ سَبَبِهِ

Maksudnya: Tidak boleh mempercepat pembayaran zakat sebelum sampai nisab, tanpa ada perbezaan (dalam kalangan ulama’) menurut pengetahuan kami. JIka dia memiliki sebahagian nisab dan mempercepat pembayaran zakatnya atau zakat nisab tersebut tetap tidak boleh; kerana dia telah mempercepat hukum sebelum ada sebabnya.” (Lihat al-Mughni, 2/471)

Adapun jika sudah mencapai nisab, tetapi belum cukup haul, maka dibolehkan baginya untuk menyegerakan pengeluaran zakat. Kami telah menjawab isu ini dalam artikel #1220: Bayar Zakat Harta Sebelum Cukup Haul.[3]

Penutup

Sesungguhnya, ibadat ada yang ditentukan waktunya yang dikira wajib apabila masuk waktunya, seperti waktu Ramadhan untuk puasa. Bagi zakat pula, apabila cukup nisab dan haul, maka wajiblah zakat. Justeru, hendaklah kita belajar tentang fiqh al-zakah supaya sebarang bentuk tindakan kita menepati syarak.

Semoga kita semua menjadi golongan yang menunaikan zakat dan mendirikan solat serta baik amalan ibadat kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

[1] Syeikh al-Maraghi berkata bahawa berlumba-lumba dalam (mengejar) kebaikan dan melakukan amalan soleh ialah dengan cara mengisi kesempatan dengan melakukan hal yang baik dan melipatgandakan amalan kebaikan. Ini kerana, orang yang cemerlang dalam perlumbaan itulah yang paling dekat dengan Allah SWT. Maka, dalam apa jua kebajikan sekalipun, segerakanlah diri dalam menyempurnakan amalan tersebut melebihi orang lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1595)

[2] Syeikh al-Maraghi berkata bahawa berlumba-lumba dalam (mengejar) kebaikan dan melakukan amalan soleh ialah dengan cara mengisi kesempatan dengan melakukan hal yang baik dan melipatgandakan amalan kebaikan. Ini kerana, orang yang cemerlang dalam perlumbaan itulah yang paling dekat dengan Allah SWT. Maka, dalam apa jua kebajikan sekalipun, segerakanlah diri dalam menyempurnakan amalan tersebut melebihi orang lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1595)

[3] https://maktabahalbakri.com/1220-bayar-zakat-harta-sebelum-cukup-haul/

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply