Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada terbaca satu pos di media sosial menyenaraikan sebahagian besar restoran-restoran popular yang menyajikan makanan mengikut cita rasa negara luar seperti Korea, China, Jepun dan seumpamanya, tetapi tidak mempunyai sijil halal. Dikatakan mereka menggunakan pembekal yang mematuhi syarat halal seperti pembekal ayam dan daging, dan tidak menggunakan bahan-bahan tidak halal dalam masakan mereka. Restoran-restoran ini sering dikunjungi oleh anak-anak muda Islam. Soalannya, bolehkah kita memakan makanan yang dijual oleh premis/restoran berkenaan, berpada hanya dengan mereka tidak menggunakan bahan-bahan yang tidak halal dalam masakan tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”
(Surah al-A‘raf: 32)
Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15).
Pada asasnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).
Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).
Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:
الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلَّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ
Maksudnya: “Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).
Kesimpulannya
Berbalik kepada soalan yang diajukan, suatu makanan itu dihukumkan sebagai halal dan harus untuk dimakan dan diambil manfaatnya selagi mana ia tidak mengandungi bahan-bahan yang tidak halal, bernajis, memberi mudarat dan seumpamanya, sekalipun ia dijual atau disediakan oleh restoran/premis yang tidak memiliki sijil halal. Hal ini kerana ia kembali kepada hukum asal makanan itu sendiri dan ia bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Begitu juga, logo halal bukanlah menjadi syarat untuk sesuatu makanan itu dianggap halal atau boleh dimakan. Walau bagaimanapun, ia boleh menjadi sebagai dalil sokongan atau penguat yang menguatkan lagi perkara tersebut — yakni kehalalan makanan itu.
Hal ini kerana dalam negara kita, terdapat badan berwajib yang dipertanggungjawabkan bagi mengeluarkan sijil Pengesahan Halal Malaysia. Bahkan Bahagian Hab Halal JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri akan memastikan syarikat yang membuat permohonan sijil halal itu, wajib mengisytiharkan kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan berserta dokumen yang kukuh seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal. Sehubungan dengan itu, jika suatu produk makanan tersebut sudah mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia atau Sijil Pengesahan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM,[1] maka ia boleh dimakan tanpa sebarang keraguan mahupun waswas[2] kerana sijil pengesahan halal tersebut telah menjadi bukti kukuh yang menunjukkan bahawa bahan-bahan yang terdapat dalam suatu produk makanan itu adalah terdiri daripada sumber yang halal, sekaligus menghilangkan keraguan yang timbul.
Begitu juga Syarak hanya meletakkan garis panduan asas iaitu makanan yang hendak dimakan mestilah halal lagi suci tanpa melihat kepada siapa yang memasak dan menjualnya. Malah, kita dibenarkan untuk memakan makanan yang dimasak oleh orang bukan Islam selagi mana bahan-bahan yang digunakan adalah halal lagi suci dan alat-alat perkakas memasak juga adalah bersih dan tidak bernajis.
Pada kesempatan ini juga, kami ingin menasihatkan agar berhati-hati dalam memilih suatu makanan kerana memilih makanan yang halal lagi baik juga merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda:
الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟
Maksudnya: “Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.”
Riwayat Muslim (1015)
Demikianlah jika timbul keraguan terhadap suatu makanan yakni tidak pasti halal ataupun tidak, serta tidak ada bukti-bukti sokongan lain yang menunjukkan ia adalah halal, maka meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih selamat, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ
Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”
Riwayat al-Tirmizi (2518)
Bahkan, menjauhi makanan yang meragukan atau syubhah itu adalah lebih dekat dengan sifat taqwa. Al-Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan satu riwayat dengan lafaz:
وَلَا تَأْكُلْ إِلَّا طَعَامَ تَقِيّ
Maksudnya: “Janganlah kamu makan melainkan makanan orang bertaqwa.”
Beliau menyebutkan, hal ini kerana kebiasaannya makanan mereka (yakni orang bertaqwa itu) adalah halal dan akan memberi kesan dalam mencapai kesempurnaan ibadah. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 8/3141).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
[1] Sila rujuk kepada pautan berikut, bagi mengetahui Senarai Badan Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM, https://www.halal.gov.my/v4/index.php?data=bW9kdWxlcy9jZXJ0aWZ5X2JvZHk7Ozs7&utama=CB_LIST&lang=bm. Diakses pada 13 Oktober 2021.
[2] Bahagian Hab Halal JAKIM, https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=2839378816112669&id=155056204544957. Diakses pada 13 Oktober 2021.
Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445