#3128: Surau Dan Masjid Yang Dibina Berdekatan

Soalan:

Assalamualaikum Datuk. Soalan saya yang pertama : Adakah panduan tertentu dalam Islam berkenaan pembinaan masjid dan surau yang sesuai dalam satu-satu kawasan. Pada hari ini alhamdulillah kita lihat masjid dan surau banyak dibina di kawasan bandar, perumahan atau kampung. Dalam masa yang sama kadangkala kita dapati surau turut dibina yang kadangkala hampir dengan masjid yang telah sedia ada. Antara kemusykilan yang timbul, bagaimana Islam memberi panduan di mana sepatutnya surau dibina, adakah wajar berdekatan dengan masjid yang telah sedia ada di kawasan tersebut. Adakah wajar surau dibina sedangkan masjid telah pun ada dan dekat sahaja dengan tempat yang hendak dibina surau itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan islam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan terlebih dahulu takrif masjid. Masjid dalam bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’ ialah mana-mana tempat permukaan bumi. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf masjid itu ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu’jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid bi Ahkam al-Masajid, hlm. 26-27)

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (8/90) menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” Ini seperti mana hadis Nabi SAW daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan hak membina masjid atau surau adalah hak pemerintah di mana wajib ke atas pemerintah melihat kemaslahatan masyarakat muslim di sesuatu tempat. Masjid dan surau yang berdekatan bukan dibina semata-mata dekat atau jauh akan tetapi, ia dibina berdasarkan keperluan semasa dan setempat bagi menjaga syiar islam. Hal ini sepertimana kaedah menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.” 

Antara faktor penting yang perlu diambil perhatian dalam membina masjid atau surau adalah sepertimana berikut:

  • Faktor kepadatan penduduk

Jika sekiranya penduduk yang padat dan perlu kepada tempat solat yang lain, maka kemunasabahan tersebut boleh dipertimbangkan.

  • Faktor masjid kecil

Sedangkan jemaah ramai dan memerlukan tambahan surau bagi menampung jemaah. Maka ketika itu juga boleh dipertimbangkan.

  • Faktor keselamatan

Sebagai contoh, ia diseberangi oleh jalanraya atau highway yang sibuk dan sukar untuk melintas. Ini banyak terjadi di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan lain-lain.

Dalam isu ini  Wilayah Persekutuan lebih terbuka kerana kepadatan penduduk serta kawasan yang sukar untuk diperolehi. Justeru, terdapat masjid yang jarak antara satu sama lain amat dekat. Sebagai contoh, Masjid Negara dengan masjid Bukit Aman. Begitu juga, dengan masjid Pos Malaysia. Begitu juga, antara Masjid Jamek dan Masjid India. Begitu juga dengan Surau Jumaat di Bank Muamalat. Dan banyak lagi contoh-contoh yang lain.

Sebagai kesimpulannya kami katakan masjid dan surau yang dibina berdekatan adalah berdasarkan maslahah dan keperluan penduduk setempat disebabkan kepadatan yang berlaku dan atas faktor-faktor yang telah diterangkan sebelum ini.

Dikesempatan ini suka kami nasihati supaya sentiasa ke masjid atau surau bagi mengimarahkan rumah Allah SWT disamping masjid juga berperanan dalam memberi ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita penting untuk ummah, bertemu dengan diplomat asing, mengatur tentera di medan perang, menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian. (Lihat al-Dawabit al-Syar’iyyah li Bina’ al-Masajid, hlm. 6-7)

Dalam melazimi dan mengimarahkan masjid Al-Hafiz Ibn Rejab menyatakan: Melazimi masjid adalah satu cara untuk menghapuskan dosa, kerana di dalamnya terdapat usaha untuk menguasai diri sendiri dan menahan hawa nafsu. Hawa nafsu cenderung untuk berkeliaran di muka bumi, mencari keuntungan, berinteraksi dengan orang lain, atau menikmati keindahan rumah-rumah yang mewah. Oleh itu, sesiapa yang mengasingkan diri di dalam masjid untuk taat kepada Allah adalah seorang pejuang di jalan-Nya.”(Lihat Tafsir Ibn Rejab Hanbali,2/171)

Semoga Allah memeberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah:201)

Wallahua’lam

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *