Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, jika seseorang pergi melaksanakan haji, kemudian selepas selesai Tawaf Wada‘, dia masih lagi membeli-belah barangan. Apakah hukum tawafnya itu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan nas daripada Ibn ‘Abbas R.A, beliau berkata:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya: “Orang ramai diperintahkan menjadikan perkara terakhir mereka (ketika melakukan haji dan umrah) adalah dengan tawaf di Kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita berhaid.”

Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)

Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa hadith ini mengandungi dalil tentang kewajipan Tawaf Wada’ kerana ada perintah yang dikuatkan dan kerana ungkapan adanya keringanan bagi wanita haid. (Lihat Fath al-Bari, 3/747)

Dalam hadith yang lain, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: لَا يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Makkah). Lalu Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya (di Makkah) al-Bait (Tawaf al-Wada‘).”

Riwayat Muslim (3283) dan Ibn Majah (3070)

Imam al-Nawawi mengatakan, hadith ini mengandungi dalil bagi pendapat yang mewajibkan Tawaf Wada’ dan apabila ditinggalkan maka harus membayar Dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami dan inilah pendapat majoriti ulama’. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 9/79)

Imam al-Nawawi juga menyebutkan, ashab (ulama’ al-Syafi‘iyyah) kami mengatakan, sesiapa yang telah selesai dari manasiknya dan dia ingin bermukim di Makkah, maka tidak ada ke atasnya Tawaf al-Wada’. Perkara ini tidak ada khilaf padanya. Sama ada dia termasuk penduduknya atau bukan. Sekiranya dia ingin keluar dari Makkah menuju ke negaranya atau ke lainnya, maka dia mesti melakukan Tawaf al-Wada’.” (Lihat al-Majmu‘, 8/254)

Imam al-Zarkasyi pula mengulas, larangan ke atas sesuatu perkara menunjukkan perintah melakukan lawannya. Berdasarkan kaedah ini lawan kepada larangan meninggalkan Makkah sebelum Tawaf Wada‘ ialah melakukan Tawaf Wada‘ sebelum meninggalkan Makkah. Oleh itu melakukan Tawaf Wada‘ sebelum meninggalkan Makkah adalah wajib. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 2/421)

Melihat kepada perbincangan di atas, jelas sekali Rasulullah SAW menetapkan Tawaf Wada‘ sebagai perkara terakhir yang dilakukan oleh seseorang itu sebelum berangkat pulang dan keluar daripada tanah suci Makkah. Akan tetapi, mereka yang kebiasaannya bermusafir daripada negara-negara yang jauh pastinya mempunyai beberapa urusan yang perlu diselesaikan sebelum betul-betul boleh bergerak pulang, terutamanya yang melibatkan dokumen-dokumen dan barang-barang peribadi serta keperluan asasi seperti makan dan qadha’ hajat.

Oleh yang demikian, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-35 Musim Haji 1440H yang bersidang pada 9-11 November 2018 bersamaan 1-3 Rabi‘ al-Awwal 1440 Hijrah telah menggariskan beberapa perkara yang harus untuk dilakukan selepas selesai Tawaf Wada‘, iaitu:

Pertama: Sejurus Selepas Tawaf Wada’

  • Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya di Masjidil Haram.
  • Berdoa di Multazam.
  • Mengucup Al-Hajar al-Aswad.
  • Menunaikan solat sunat safar.
  • Menunaikan solat fardhu sekiranya bilal telah melaungkan azan atau bilal sedang melaungkan azan.
  • Begitu juga apabila sudah sampai di hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram untuk beliau solat fardhu bersama imam di Masjidil Haram.
  • Bergambar atau mengambil gambar dalam kadar yang cepat. Walaupun begitu, tidak digalakkan.

 Kedua: Selepas Tawaf (di Penginapan atau Hotel)

  • Makan dan minum di hotel.
  • Qadha hajat.
  • Menyalin dan menukar pakaian.
  • Zikir dan membaca al-Quran sementara menunggu.
  • Mengambil beg atau barang yang diletakkan / ditinggalkan di bilik penginapan.
  • Mencari isteri, saudara, waris dan rakan yang hilang.
  • Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.
  • Tidur dalam bilik hotel sementara menunggu bas atau kenderaan datang.
  • Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik (bagi kes kecemasan dan hajat).
  • Sebarang urusan yang berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan dan minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.
  • Menunggu kenderaan (lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya).
  • Bersedekah ketika menunggu kedatangan kenderaan di penginapan.
  • Membayar dam. Walaupun begitu, digalakkan untuk membayar sebelum Tawaf Wada‘.

Imam al-Nawawi telah menjelaskan tentang larangan untuk membeli-belah selepas Tawaf Wada‘. Beliau berkata: “Jika seseorang tunggu lama tanpa keuzuran atau kesibukan yang bukan kerana musafir seperti membeli barang, melunaskan hutang, menziarahi rakan, menziarahi orang yang sakit dan selainnya, ketika itu wajib baginya untuk mengulangi Tawaf Wada‘.”

Beliau juga ada menerangkan bahawa, sesiapa  yang wajib ke atasnya Tawaf Wada‘ dan dia keluar dari Makkah tanpa melakukannya, maka dia dikira berdosa dan wajib baginya untuk pulang semula ke Makkah untuk melaksanakan Tawaf Wada‘ selagi mana dia belum melebihi had jarak diharuskan qasar solat. Sekiranya dia telah melebihi had tersebut, maka tidak wajib baginya untuk kembali ke Makkah, akan tetapi wajib baginya untuk membayar dam. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 331-332)

Al-Khatib al-Syirbini juga menyebutkan bahawa wajib ke atas mereka yang meninggalkan Tawaf Wada‘ untuk membayar dam. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/280)

Kesimpulan

Melihat kepada perbincangan yang kami bawakan di atas dan garis panduan yang dibawakan, kami dapati bahawa membeli-belah tidak termasuk dalam perkara mustahak yang menjadi keperluan mendesak untuk seseorang itu lakukan selepas selesai melaksanakan Tawaf Wada‘. Maka tidak boleh bagi seseorang itu untuk pergi berjalan dan membeli-belah selepas Tawaf Wada‘ kerana ia boleh menyebabkan Tawaf Wada‘ itu terbatal.

Bahkan fuqaha’ telah menyebutkan dengan jelas bahawa ia merupakan salah satu daripada perkara yang dilarang untuk dilakukan setelah selesai Tawaf Wada‘. Pelakunya perlu mengulangi semula Tawaf Wada‘ tersebut, dan sekiranya dia tidak mengulanginya, diwajibkan ke atasnya untuk membayar dam iaitu dengan menyembelih seekor kambing.

Kami juga mengambil peluang ini untuk memberikan sedikit nasihat, seseorang yang telah melaksanakan Tawaf Wada‘ hendaklah segera meninggalkan tanah haram Makkah tanpa melengah-lengahkan waktu sekiranya tidak mengalami sebarang masalah agar tawaf wada‘nya itu tidak terbatal dan mengelakkan daripada dikenakan dam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply