Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kelebihan seseorang yang membaca doa seperti  “…بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ” dan benarkah ia daripada Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, kami katakan adalah benar ia adalah daripada Rasulullah SAW iaitu doa:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Riwayat Abu Daud (5088), al-Tirmizi (3388), Ibn Majah (3869), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10178) dan Ahmad (446)

Doa ini diriwayatkan oleh Uthman bin Affan R.A. Beliau berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَالَ بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ، حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ

Maksudnya: Sesiapa yang membaca:

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

(“Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”)

sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).”

Riwayat Abu Daud (5088), al-Tirmizi (3388), Ibn Majah (3869), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10178) dan Ahmad (446). Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’uth, hadith ini adalah hasan.

Di dalam hadith ini dinyatakan akan kelebihan orang yang membaca doa ini pada awal siang hari dan awal malam hari. Doa tersebut dimulakan dengan menyebut nama Allah bagi memohon perlindungan-Nya daripada segala keburukan yang mana tidak akan memberi mudarat sesuatu pun dengan nama Allah apabila ia diucapkan dengan pegangan yang betul dan niat yang ikhlas. Adapun, kita bukan sahaja memohon perlindungan daripada keburukan di muka bumi sahaja, bahkan juga keburukan dari langit iaitu apa-apa yang turun dari langit. Tambahan pula, Allah SWT bersifat Maha mendengar akan ucapan-ucapan kita dan Allah juga bersifat Maha Mengetahui akan keadaan kita. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/234)

Di samping itu juga, tidak memberi mudharat dengan nama-Nya di dalam doa ini juga membawa maksud bahawa penduduk bumi berada di dalam keadaan aman dan selamat disebabkan keberkatan nama Allah  SWT serta keterikatan dengan-Nya. Samalah keadaannya kepada penduduk di langit bilamana mereka melazimi nama Allah SWT dalam setiap perkara. (Lihat Syarh Hisn al-Muslim, hlm. 149. Lihat juga Irsyad al-Hadith Siri ke-463 untuk bacaan lanjut).

Justeru, marilah sama-sama kita amalkan doa ini agar kita sentiasa diberi taufik dan hidayah dan dilindungi dari sebarang bala. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply