#3141: Pesakit Menolak Rawatan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seseorang pesakit tidak mahu berubat lagi, walaupun beliau sakit?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sesungguhnya, kehidupan manusia di dunia dilatari dengan pelbagai ujian. Hal ini sebagai mana firman Allah SWT:

‏ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat),

(Surah al-Mulk: 2)

Menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith Nabi SAW daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً

Maksudnya: “Allah tidak akan menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia akan menurunkan ubatnya”.

 Riwayat al-Bukhari (5678)

Imam Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan sabitnya ilmu perubatan dan keharusan mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakit, dan ia juga sebagai isyarat bahawa kesakitan dan kesembuhan itu semuanya daripada Allah SWT. (Lihat A’lam al-Hadis Syarh Sahih al-Bukhari, 3/1204).

Syeikh Musa Shaheen menyatakan yang dimaksudkan dengan ‘Allah akan menurunkan ubat di bumi’ ialah Allah menurunkan ilmu yang berkaitan dengan perubatan dan rawatan kepada manusia di muka bumi ini. (Lihat Fath al-Mun’im, 8/582).

Hukum Mendapatkan Rawatan

Para ulama’ telah berselisih pandangan dan pendapat yang terkait dengan hukum mendapatkan rawatan kepada beberapa pendapat:

Pertama, sunat Ini adalah pandangan dalam mazhab Syafie dan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali. (Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 5/96; Mughni al-Muhtaj, 1/357).

Hal ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang telah disebutkan sebelum ini. Dan mazhab Syafie menghukumkannya (mendapatkan rawatan) sebagai sunat kerana perintah untuk mendapatkan rawatan  tidak qat’ie (putus). Adapun sekiranya perintahnya berbertuk qat’ie maka hukumnya adalah wajib. (Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 11/115).

Kedua, harus. Ini adalah pandangan dalam mazhab Hanafi, Maliki dan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali.

Para fuqaha’ Hanafi berkata: Maka tidak mengapa untuk mendapatkan rawatan selagi mana seseorang beri’tiqad bahawa yang menyembuhkannya adalah Allah S.W.T.

Berkata fuqaha’ mazhab Maliki: Adalah tidak mengapa untuk mendapatkan rawatan apabila ditimpa kesakitan. (Lihat Al-Kifayah ‘ala al-Hidayah, 8/500; Syarh al-Zarqani ala al-Muwattha’, 4/329; Kasysyaf al-Qina’, 2/76).

Ketiga, wajib. Ini adalah pandangan mazhab Zahiri, salah satu riwayat dalam mazhab Hanafi dan salah satu riwayat dalam mazhab Syafie.

Berkata para ulama’ mazhab Hanafi: Mendapatkan rawatan itu wajib sekiranya seseorang yakin bahawa dengan mendapatkan rawatan itu boleh menyembuhkan penyakit tersebut.

Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: Di sisi kami pandangan yang mewajibkannya (untuk mendapatkan rawatan) sekiranya dia ditimpa penyakit yang dikhuatiri akan membawa kepada kebinasaan.

Berkata Imam Ibn Hazim: Sesungguhnya Rasulullah SAW menyuruh kita untuk berubat, dan melarang daripada meninggalkannya, justeru ia menunjukkan bahawa berubat itu adalah wajib.(Lihat Al-Fatawa al-Hindiyah, 5/355; Mughni al-Muhtaj, 1/357; Al-Muhalla, 7/418).

Keempat, harus, tetapi meninggalkannya (rawatan) adalah lebih baik kerana ia lebih dekat kepada taqwa. Ini adalah pandangan Imam al-Nawawi dan jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali. (Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 5/95; Kasysyaf al-Qina’, 2/76).

Perbezaan pandangan tersebut berlaku disebabkan oleh sandaran para fuqaha’ terhadap pelbagai hadis yang berbeza yang menunjukkan hukum yang berbeza. Antara hadis yang menerangkan hukum mendapatkan rawatan ialah:

  • Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A:

مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً

Maksudnya: “Allah tidak akan menurunkan penyakit melainkan Dia menurunkan ubatnya”.

Riwayat al-Bukhari (5678)

  • Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas R.A:

إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الْجَنَّةُ، وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ، فَقَالَتْ: أَصْبِرُ

Maksudnya: “Jika kamu mahu bersabar, maka ganjaran untukmu adalah syurga, dan jika kamu mahukan (kesembuhan), akan aku doakan kepada Allah untuk menyembuhkan kamu”. Wanita tersebut lalu berkata, “Kalau begitu aku akan bersabar”.

Riwayat al-Bukhari (5652) dan Muslim (2576)

  • Hadis yang diriwayatkan daripada Al-Mughirah Ibn Syu’bah R.A:

مَنِ اكْتَوَى أَوِ اسْتَرْقَى فَقَدْ بَرِئَ مِنَ التَّوَكُّلِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meminta dirawat atau meminta dijampi maka dia telah membebaskan dirinya dari bertawakkal”.

Riwayat al-Tarmizi (2055) dan Ibnu Majah (3489)

Fatwa Semasa Berkenaan Hukum Mendapatkan Rawatan

Di banyak institusi fatwa dunia dan juga para ulama telah membincangkan isu ini dengan panjang lebar serta mengemukakan pandangan atau hukum. Antaranya:

  • Disebut di dalam Qarar Majma’ al-Fiqh al-Islami bahawa:

Hukum mendapatkan rawatan adalah wajib sekiranya apabila meninggalkannya (rawatan) boleh membawa kepada kematian atau kehilangan anggota tubuh atau lemahnya tubuh badan, atau sekiranya ditimpa penyakit yang boleh berpindah kepada orang lain seperti penyakit berjangkit. (Lihat Qarar Majma’ al-Fiqh al-Islami, No. 2148, 3/563).

  • Disebut di dalam kitab Fiqh al-Nawazil, hukum berubat sekiranya ditimpa penyakit adalah seperti berikut:

Disunatkan bagi seseorang yang ditimpa penyakit untuk mendapatkan rawatan, kerana Allah yang menurunkan sesuatu penyakit maka Dia juga yang menurunkan sesuatu ubat, untuk menghilangkan kesakitan, maka dengan (mendapatkan rawatan) akan menjadikan seseorang cergas untuk melaksanakan ibadah, mempelajari ilmu agama dan berdakwah di jalan Allah, memperbaiki urusan kehidupannya seharian, memberi manfaat kepada orang lain. Namun sekiranya dia yakin apabila meninggalkan rawatan, ia boleh mendatangkan kebinasaan kepada diri maka wajib baginya untuk mendapatkan rawatan. Adapun sekiranya hal keduanya sama (mendapatkan rawatan atau tidak) maka meninggalkannya lebih baik, supaya dapat menghindarkan diri daripada kemudaratan yang tidak disedari. (Lihat Fiqh al-Nawazil, 1/491)

  • Disebut di dalam Fiqh al-Muyassar, bahawa hukum berubat adalah seperti berikut:

Sekiranya seseorang yakin bahawa apabila meninggalkan rawatan boleh mendatangkan kebinasaan kepada diri, dan boleh mendapatkan manfaat melalui rawatan tersebut iaitu kesembuhan maka wajib baginya untuk berubat seperti penyakit kanser. Adapun sekiranya dia terpaksa memotong sebahagian tubuh untuk menyelamatkan dirinya maka ketika itu juga hukum berubat adalah wajib.

Sekiranya seseorang yakin boleh mendapatkan manfaat (kesembuhan) daripada rawatan tersebut, tetapi tidak ada sebarang risiko sekiranya tidak mendapatkan rawatan, maka adalah lebih utama baginya untuk mendapatkan rawatan.

Sekiranya bersamaan dua keadaan, iaitu yakin mendapatkan manfaat daripada rawatan tetapi dalam masa yang sama terdapat risiko yang boleh membahayakan nyawanya maka lebih utama dia meninggalkannya supaya dapat menghindarkan dirinya daripada sebarang kemudaratan. (Lihat Fiqh al-Muyassar, 1/455-456).

  • Disebut di dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu:

Hukum mendapatkan rawatan adalah berbeza mengikut keadaan dan situasi setiap individu.

Hukumnya adalah wajib sekiranya apabila meninggalkan rawatan boleh membawa kepada kebinasaan diri (kematian) atau kehilangan anggota tubuh atau menyebabkan tubuh badannya tidak berdaya, atau sekiranya seseorang ditimpa penyakit yang boleh berpindah kepada orang lain seperti penyakit berjangkit.

Hukumnya adalah sunat sekiranya apabila meninggalkan rawatan akan menyebabkan tubuhnya lemah dan lesu (bukannya seperti keadaan yang pertama).

Hukumnya harus sekiranya dengan meninggalkan rawatan tersebut tidak akan membawa sebarang kesan seperti yang dijelaskan dalam keadaan yang pertama dan kedua.

Hukumnya adalah makruh sekiranya apabila seseorang mendapatkan rawatan maka ia membawa kepada risiko yang lebih besar daripada penyakit yang ingin dirawat tersebut. (Lihat Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/5204).

 

Benarkah merawat itu telah menafikan konsep tawakkal?

Isu ini telah dibahaskan oleh ramai ulama, antaranya:

  • Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Dan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud dapat difahami bahawa ada sesetengah penyakit yang tidak diketahui penawarnya oleh sesiapapun, adapun perbuatan berubat ialah sebagai ikhtiar dan hal tersebut tidak pmenafikan konsep tawakkal kepada Allah bagi sesiapa yang beriman bahawa sesuatu penawar itu tidak dapat menyembuhkan penyakit dengan sendirinya melainkan dengan kehendak dan kekuasaan Allah”.

“Dan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Jabir R.A dapat difahami bahawa semuanya berlaku (iaitu kesembuhan) dengan izin Allah dan kehendaknya, adapun berubat itu tidak menafikan konsep tawakkal seperti mana tidak ternafi tawakkal dengan menolak lapar dan dahaga dengan makan dan minum. Begitu juga (tidak ternafi tawakkal) dengan menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang membawa kepada kebinasaan dan berdoa supaya mendapat kesihatan yang baik dan ditolak segala kemudaratan”. (Lihat Fath al-Bari, 10/135).

  • Ibn al-Qayyim berkata: “Bahawa dapat difahami daripada hadis Nabi SAW perintah untuk berubat dan ianya bukanlah menafikan konsep tawakkal, seperti tidak ternafinya ia (tawakkal) dengan menghilangkan lapar, dahaga, panas dan sejuk dengan perkara yang dapat menghilangkannya”. (Lihat Zad al-Ma’ad, 4/15).
  • Al-Hafiz Ibn Kathir berkata: “Bahawasanya Allah-lah yang mengizinkan sesuatu penyakit untuk sembuh, adapun kita perlu berikhtiar dan mengambil langkah-langkah yang boleh membawa kepada kesembuhan seperti mendapatkan rawatan daripada ahlu al-ikhtisas (orang yang berautoriti), mereka yang mahir tentang perubatan. Maka mengabaikan sebab dan ikhtiar adalah perkara yang dicela dalam agama, sedangkan bertawakkal atau menyandarkan sesuatu keputusan kepada sebab semata-mata adalah perkara yang dicela dalam tauhid”. (Lihat Tafsir al-Quran al-Karim, 5/131).

Justeru, mendapatkan rawatan untuk merawat sesuatu penyakit ialah salah satu ikhtiar untuk memperoleh kesembuhan dan bukannya menafikan konsep tawakkal kepada Allah. Bahkan mengambil sebab-sebab yang diharuskan di sisi syarak adalah dituntut dalam agama. Namun mestilah seseorang itu tetap meyakini bahawa Allah jualah yang mengizinkan sesuatu penyakit itu sembuh.

Tarjih pandangan

Pada asalnya hukum mendapatkan rawatan adalah diraikan oleh syarak, kerana terdapat banyak ayat al-quran dan sunnah nabi samada dari segi percakapan atau perbuatan yang menunjukkan kepada hal tersebut. Dan ia juga termasuk dalam menjaga nyawa iaitu salah satu daripada maqasid al-kuliyyah. (Lihat Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/5204).

Perubatan juga diumpamakan seperti syariat, bahawa ia berperanan untuk membawa kemaslahatan kepada manusia dan menolak kemudaratan iaitu menjaga kesihatan manusia dan merawat mereka daripada penyakit. (Lihat Qawa’id al-Ahkam, 1/40). Syariat telah menjelaskan mengenai kepentingan ilmu perubatan dan hukum mendapatkan rawatan pada asalnya adalah harus. Ia juga bertepatan dengan salah satu maqasid al-syariah iaitu untuk menjaga nyawa manusia, akan tetapi hukumnya boleh berubah-ubah mengikut situasi dan keadaan seseorang individu. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/182).

Konsep al-tadawi (berubat) atau mendapatkan rawatan adalah untuk mencapai matlamat-matlamat syarak seperti:

  • Menjaga kesihatan yang sedia ada.
  • Mengembalikan kesihatan dengan usaha yang termampu.
  • Menghilangkan kesakitan atau mengurangkannya dengan usaha yang termampu.
  • Mengambil mudarat yang sedikit untuk menolak mudarat yang lebih besar.
  • Meninggalkan manfaat yang sedikit demi menjaga manfaat yang lebih besar. (Lihat Zad al-Ma’ad, 3/111; Al-Tib al-Nawawi, hlm. 114).

Adapun mengenai hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma yang menyebut:

 (إٍن شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الْجَنَّةُ ) para ulama’ mentafsirkan hadis ini seperti berikut:

Hadis ini menunjukkan keharusan untuk meninggalkan rawatan dan keutamaan untuk memilih pilihan yang lebih berat iaitu bersabar di atas kesakitan daripada mendapatkan rawatan bagi sesiapa yang berkemampuan. Dan ianya diharuskan dengan dua syarat iaitu niat yang benar dan pergantungan yang kuat kepada Allah. Adapun berubat itu tetaplah dianjurkan berdasarkan hadis Rasulllah SAW yang lain, namun hadis ini menerangkan ada kelebihan bagi sesiapa yang bersabar. (Lihat Fath al-Bari, 10/115)

Berkata Imam al-Syanqiti: “Bahawasanya di dalam syariat terdapat beberapa pilihan, iaitu samada baik atau lebih baik. Dan perkataan nabi di dalam hadis tersebut (إٍن شِئْتِ دعوت لك) adalah menunjukkan nabi memberi pilihan kepadanya untuk berubat dan sembuh dari penyakit tersebut dan ia adalah pilihan yang baik. Manakala yang lebih baik ialah dia bertawakkal dan menyerahkkan urusannya kepada Allah sekiranya dia yakin dirinya (mampu bersabar menghadapi penyakit itu)”. Tetapi hal ini tidaklah menunjukkan kepada terbatalnya anjuran untuk berubat tetapi bertawakkal adalah pilihan yang lebih baik yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada wanita tersebut . (Lihat Syarh Zaad al-Mustaqni’, 243/20).

Adapun hadis ini tidaklah bercanggah dengan hadis yang menganjurkan supaya berubat, justeru barangsiapa yang mampu bersabar maka dia boleh bersabar, adapun bagi mereka yang tidak mampu bersabar kerana kesakitan atau sempit dada maka ketika itu berubat adalah lebih baik baginya kerana kelebihan untuk bertawakkal telah hilang kerana hilangnya kemampuannya untuk bersabar”. (Lihat Al-Raudhah al-Nadiyyah, 2/228).

Manakala mengenai hadis yang diriwayatkan oleh sahabat Nabi SAW, Al-Mughirah bin Syub’bah (مَن اكْتَوَى أَوِ اسْتَرْقَى فَقَدْ بَرِئَ مِنَ التَّوَكُّل) pula, ulama’ memperincikan hadis tersebut seperti berikut:

Disebut di dalam kitab Al-Adab al-Syar’iyyah: “Hadis ini tidak menunjukkan kepada dianjurkan untuk tidak berubat, kerana ruqyah itu bukannya ubat, tetapi kerana ia berkait dengan kepercayaan mereka, kerana pada zaman jahiliyah kebanyakan ruqyah adalah berkait dengan perkara-perkara yang batil dan khurafat”. (Lihat Al-Adab al-Syar’iyyah, 2/333).

Berkata Imam al-Nawawi: “Hadis ini tidak bercanggah dengan hadis yang menganjurkan supaya berubat, kerana yang dimaksudkan dengan meninggalkan ruqyah di sini ialah ruqyah yang mengandungi bacaan daripada kalam kuffar atau yang tidak diketahui maknanya kerana berkemungkinan boleh membawa kepada maksud kufur atau yang dibenci. Adapun ruqyah yang dibaca dengan ayat-ayat al-quran dan zikir-zikir yang diketahui (ada sandaran daripada para ulama’) maka hal tersebut tidaklah ditegah bahkan ianya adalah sunat”. (Lihat Nail al-Authar, 8/230).

Justeru, setelah meneliti perbahasan di atas, kami cenderung mengatakan bahawa hukum mendapatkan rawatan adalah sangat dianjurkan oleh agama. Namun begitu, hukumnya adalah berbeza mengikut situasi dan keadaan seseorang individu. Sekiranya dengan meninggalkan rawatan akan membawa kepada kecacatan anggota tubuh atau kemudaratan kepada diri atau kepada orang lain seperti dalam kes penyakit berjangkit, maka hukumnya menjadi wajib. Hukum mendapatkan rawatan menjadi sunat dalam keadaan jika meninggalkannya akan membawa kepada melemahkan tubuh badan namun tidak sampai kepada tahap yang memudaratkannya. Hukumnya akan kekal menjadi harus sekiranya dengan meninggalkan rawatan tersebut tidak akan membawa sebarang kesan seperti yang dijelaskan dalam keadaan yang pertama dan kedua. Manakala hukum rawatan akan menjadi makruh apabila terdapat risiko bahawa rawatan tersebut akan menyebabkan kesan sampingan lain yang lebih teruk daripada penyakit yang ingin dirawat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *