Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah disyaratkan untuk berwuduk atau diwajibkan suci daripada hadas atau najis ketika melakukan sa‘ie bagi ibadah haji atau umrah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan jawapan kami dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan sa‘ie. Sa‘ie dari segi bahasa bermaksud usaha atau bekerja. Ia juga boleh diertikan sebagai mempercepatkan berjalan tanpa berlari. Seterusnya, bersa‘ie antara Safa dan Marwah pula merujuk kepada perbuatan tawaf antara keduanya sebanyak tujuh kali (pusingan). (Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 244).

Begitu juga menurut Sa‘di Abu Jaib, sa‘ie bermaksud berjalan dengan cepat. Ia juga merujuk kepada perbuatan berjalan (tawaf) di antara Safa dan Marwah. (Lihat al-Qamus al-Fiqhi, hlm. 173). Secara ringkasnya, dari segi istilahnya ia merujuk kepada perbuatan berjalan antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali pergi dan balik selepas tawaf haji dan umrah. (Lihat al-Muhazzab, 2/769).

Seterusnya, amalan sa‘ie ini hukumnya adalah wajib mengikut pendapat ulama mazhab Hanafi. Sedangkan ia adalah rukun mengikut pendapat jumhur ulama termasuklah ulama mazhab Syafi‘i. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/180).

Dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kewajipan sa‘ie ada empat perkara. Secara ringkasnya, empat perkara itu adalah seperti mana berikut:

  • Hendaklah melalui semua jarak antara Safa dan Marwah.
  • Wajib untuk dimulakan di Safa. Jika dimulakan dari Marwah tidak dikira perjalanannya dari situ ke Safa. Apabila dia kembali dari Safa, barulah dikira sebagai pusingan pertama sa‘ienya. Begitu juga pada pusingan keduanya hendaklah bermula dari Marwah. Jika masa kembali dari Marwah, dia melencong dari tempat sa‘ie, dan dia menjadikan laluannya dalam masjid atau selainnya, lalu memulakan pusingan sa‘ie yang kedua dari Safa. Maka, hukumnya juga adalah tidak sah dan tidak dikira pusingan tersebut mengikut mazhab yang sahih.
  • Menyempurnakan sebanyak tujuh pusingan. Dikira pergi dari Safa sekali pusingan, dan kembali dari Marwah sekali pusingan. Inilah mazhab yang sahih yang telah diputuskan oleh jumhur ulama dalam kalangan ashab kami (Syafi‘iyyah) dan selain mereka.
  • Sa‘ie hendaklah dilakukan selepas tawaf yang sahih — yakni sempurna tujuh pusingannya. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 195-199).

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, seseorang yang melakukan sa‘ie tidak diwajibkan ke atasnya untuk suci daripada hadas mahupun najis ataupun berwuduk. Bahkan jika dia melakukannya dalam keadaan berhadas mahupun terdapat najis pada badannya, sa‘ienya tetap dikira sah. Hal ini kerana suci daripada hadas atau najis tidak termasuk dalam kewajipan dan syarat sah sa‘ie.

Akan tetapi disunatkan kepadanya untuk berada dalam keadaan suci dan bersih atau dalam keadaan berwuduk ketika melakukan sa‘ie kerana ia masih dalam ibadah haji atau umrah sekalipun ia bukan syarat sah sa‘ie.

Hal ini adalah sebagaimana ditegaskan oleh Imam al-Nawawi sendiri, di mana beliau menyebutkan bahawa di antara perkara-perkara sunat sa‘ie adalah melakukannya dalam keadaan bersuci (daripada hadas) dan menutup aurat. Jika dia melakukan sa‘ie dalam keadaan terdedah auratnya, berhadas, berjunub, haid atau menanggung najis, hukum sa‘ienya tetap dikira sah. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 200).

Apatah lagi di sana terdapatnya pelbagai kelebihan dan fadhilat diberikan kepada mereka yang sentiasa memelihara wuduknya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply