Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon pandangan mengenai masalah berkaitan faraid seperti di bawah. Simati (bapa) ada meninggalkan tanah tapak rumah. Oleh kerana keluasan tanah di bawah satu ekar, maka nama simati (pembeli) tidak boleh dimasukkan dalam geran tanah semasa urusan pembelian itu. Hak pemilikan tanah itu masih di bawah nama penjual. Walau bagaimanapun terdapat surat perjanjian antara simati dengan penjual sebagai bukti simati telah membeli tanah tersebut. Waris simati telah merujuk Pejabat Tanah mengenai hal ini. Pihak Pejabat Tanah telah memaklumkan bahawa hak milik tanah simati itu tidak sah kerana tiada nama pemilikan dalam geran. Simati hanya ada isteri dan seorang anak perempuan. Persoalannya, adakah tanah berkenaan boleh dianggap sebagai pusaka dan perlu difaraidkan dalam kalangan ahli waris. Keduanya, sekiranya perlu difaraidkan, bagaimana hendak melaksanakannya kerana keluasannya yang kecil dan sukar untuk dicairkan, sedangkan punya waris yang ramai dan sudah jadi 3 lapis. Nota: Untuk mencairkan tanah tersebut, hanya boleh dijual kepada tuan asal yang namanya ada dalam geran. Masalahnya tuan asal tanah tiada kemampuan untuk membelinya. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, ilmu faraid pada syarak bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/273).
Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”
(Surah al-Nisa’: 7)
Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Berdasarkan nas di atas, disebut kalimah مِّمَّا تَرَكَ iaitu daripada apa yang ditinggalkan oleh si mati, maka ia dianggap pusaka selama mana ia adalah termasuk dalam harta; sama ada wang ringgit, kenderaan, pakaian, rumah, dan lain-lain.
Banyak hadith-hadith Nabi SAW yang membincangkan isu pusaka dan faraid serta bentuk pembahagiannya. Antaranya ialah, Rasulullah SAW bersabda:
أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”
Riwayat al-Bukhari (6351)
Dalam menjawab soalan di atas, di dalam al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan bahawa harta pusaka bermaksud semua harta yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya sama ada harta boleh alih seperti emas, perak, mata wang dan perabot, ataupun harta tidak boleh alih seperti tanah, rumah dan sebagainya. Kesemuanya ini termasuk dalam pengertian harta pusaka dan wajib diberikan kepada mereka yang layak.
Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.
Ia merupakan syariat Allah yang Maha Bijaksana dan Terpuji. Ia memelihara kepentingan semua orang. Walau bagaimana pun manusia merasakan pandangan mereka lebih baik, namun undang-undang Allah SWT tetap merupakan undang-undang yang terbaik.
Allah SWT berfirman:
تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١٣﴾ وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِين
Maksudnya: “Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.”
(Surah al-Nisa’: 13-14)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, sebagaimana yang kami nyatakan, tanah tersebut termasuk dalam harta pusaka dan perlu difaraidkan dalam kalangan ahli waris. Kemudian, bagi menyelesaikan isu pembahagian tanah tersebut dan mencairkannya, kami cadangkan pihak saudara bersama tuan asal (yang namanya ada di dalam geran) ataupun warisnya untuk pergi ke Pejabat Tanah, lalu berbincanglah secara baik bagi mencari penyelesaian yang terbaik, dan seterusnya memudahkan ramai pihak yang terlibat.
Lebih-lebih lagi, memudahkan urusan orang lain termasuk dalam perkara yang dituntut dalam Islam. Ini sebagaimana hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن نَفَّسَ عن مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ في عَوْنِ العَبْدِ ما كانَ العَبْدُ في عَوْنِ أَخِيهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang membebaskan seseorang daripada kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya daripada kesusahan hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagi mana hamba membantu saudaranya.”
Riwayat Muslim (2699)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan memudahkan segala urusan kita. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445