Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya tahu arak diharamkan kepada umat Islam untuk meminumnya dan terlibat dalam apa-apa aktiviti yang berkaitannya. Akan tetapi bagaimana pula dari segi kesucian dan kenajisannya? Adakah ia tergolong dalam benda yang suci atau benda yang bernajis? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, arak diharamkan buat umat Islam dan berdosa besar sekiranya melakukan aktiviti yang berkaitan dengannya. Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk menjauhinya dan ini merupakan perintah Allah SWT melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Jumhur ulama bersepakat tentang pengharaman meminum arak sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati Allah SWT. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/15).

Bukan itu sahaja, malah terdapat hadith yang jelas melarang daripada sebarang penglibatan dan aktiviti berkaitan arak sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصَرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا، وَحَامِلُهَا وَالْمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ وَسَاقِيهَا وَبَائِعُهَا، وَآكِلُ ثَمَنَهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا وَالْمُشْتَرَي لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya.

Riwayat al-Tirmizi (1295)

Dalam menjawab soalan di atas, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa arak dikira sebagai najis seperti air kencing dan darah disebabkan sabit pengharamannya dan penamaannya sebagai rijsun (رِجْسٌ) dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji).”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Perkataan al-Rijs (الرِّجْسُ) dari segi bahasa merujuk kepada sesuatu yang kotor dan berbau busuk. Adapun minuman-minuman lain yang diperselisihi oleh fuqaha tentangnya, hukum pengharamannya di sisi mereka adalah mengikut hukum kenajisan bagi minuman tersebut. Manakala sebahagian fuqaha’ seperti Rabi‘ah guru kepada Imam Malik, al-San‘ani dan al-Syaukani berpendapat bahawa ia adalah suci dengan berpegang kepada hukum asalnya, dan memahami makna rijs (الرِّجْسُ) dalam ayat tersebut merujuk kepada kotoran maknawi. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/27; 40/93-94).

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa arak adalah najis di sisi kami (mazhab al-Syafi‘i) dan di sisi Imam Malik, Abu Hanifah, Ahmad serta seluruh ulama melainkan apa yang dinukilkan oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib dan selainnya daripada Rabi‘ah guru kepada Imam Malik dan Daud bahawa kedua-duanya berpendapat ia adalah suci sekalipun dihukumkan sebagai haram seperti racun yang merupakan tumbuhan dan begitu juga seperti ganja yang memabukkan.

Namun, al-Syeikh Abu Hamid menukilkan bahawa telah berlaku  ijma‘ ulama berkenaan kenajisannya. Begitu juga para ashab kami (ulama al-Syafi‘iyyah) berhujah berdasarkan kepada ayat di atas — iaitu ayat 90 Surah al-Ma’idah. Mereka menyebutkan bahawa tidaklah menjejaskan dengan meletakkan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah setara dengan arak, dalam keadaan benda-benda itu dihukumkan sebagai suci. Hal ini kerana ketiga-tiga benda itu sudah terkeluar daripada dihukumkan sebagai najis berdasarkan ijma‘. Maka yang berbaki atau tinggal lagi hanyalah arak sebagaimana yang telah disebutkan — iaitu dihukumkan sebagai najis. Kemudian, tidak ada dalil yang jelas dalam ayat tersebut yang menunjukkan kepada perkara tersebut. Ini kerana al-Rijs (الرِّجْسُ) di sisi ahli bahasa bermaksud kotoran dan tidak memestikan perkara itu menjadikannya dihukumkan sebagai najis. Begitu juga perintah untuk menjauhinya tidak memestikan ia dikira sebagai najis.

Adapun perkataan pengarang (iaitu al-Syirazi), “Ia haram untuk diminum tanpa sebarang darurat, maka ia adalah najis seperti darah.” Menurut Imam al-Nawawi, kenyataan ini tidak ada sebarang dalil yang menunjukkan kepada perkara tersebut berdasarkan kepada dua alasan. Pertamanya, ia terbatal dengan air mani, hingus dan selainnya.  Keduanya, ‘illah yang melarang/mengharamkan pengambilan (meminum) arak dan darah adalah berbeza. Darah dilarang daripada diminum kerana ia dianggap sebagai istikhbath (benda-benda yang kotor dan jijik). Manakala arak pula dilarang daripada diminum kerana ia membawa kepada timbulnya permusuhan dan kebencian serta berpaling daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat sebagaimana dinyatakan secara jelas dalam ayat al-Quran. Pendapat yang aqrab (dekat dengan kebenaran) adalah sebagaimana pendapat yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali bahawa arak dihukumkan sebagai najis bagi tujuan menampakkannya sebagai berat (taghlizan) dan menjauhkannya daripada manusia sebagaimana diqiyaskan ke atas anjing dan apa yang dijilatnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/563-564).

Tambahan lagi Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin dalam fatwanya berkenaan penggunaan alkohol ada menyatakan bahawa jika ia bukan arak maka kesuciannya adalah jelas. Begitu juga jika ia adalah arak, maka mengikut pendapat yang benar ia tidak dikira sebagai najis. Hal ini adalah berdasarkan kepada dua alasan:

Pertamanya, tidak ada dalil yang menunjukkan kepada kenajisannya. Apabila tidak terdapatnya dalil mengenai perkara itu, maka hukum asalnya adalah suci, dan tidak memestikan sesuatu yang diharamkan adalah najis. Ini adalah seperti racun yang dihukumkan sebagai haram tetapi bukan najis. Adapun firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Maka, perkataan al-Rijs (الرِّجْسُ) dalam ayat tersebut merujuk kepada kotoran maknawi dan bukannya hissi kerana ia disifatkan kepada sesuatu yang tidak mungkin dianggap najis secara hissi seperti judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah. Begitu juga kerana “kotoran” ini disifatkan sebagai termasuk dalam perbuatan syaitan, dan syaitan inginkan dengannya (arak itu) agar timbulnya permusuhan dan kebencian. Maka, perkataan al-Rijs di sini merujuk kepada kotoran maknawi.

Keduanya, sunnah (hadith) menunjukkan kesucian arak adalah kesucian secara hissi. Di dalam sahih Muslim daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma bahawa seorang lelaki menghadiahkan kepada Rasulullah SAW satu botol arak. Lalu Rasulullah (SAW) bertanya kepadanya: “Adakah kamu tahu bahawa Allah SWT telah mengharamkannya?” Lelaki itu menjawab: “Tidak.” Lalu lelaki itu berbisik kepada seseorang yang berdekatan dengannya. Lalu Nabi SAW bertanya kepadanya: “Apakah yang kamu bisikkan kepadanya.” Lelaki itu menjawab: “Aku menyuruhnya menjual arak itu.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah yang mengharamkan untuk meminumnya, juga mengharamkan untuk menjualnya. Ibn Abbas berkata: “Lalu lelaki itu membuka botol arak tersebut dan membuang arak yang ada di dalamnya.”[1]

Manakala di dalam Sahih al-Bukhari pula daripada riwayat Anas bin Malik R.A bahawa beliau berada di rumah Abu Talhah menghidang minuman (arak) kepada orang-orang yang ada di situ, lalu Nabi SAW menyuruh seseorang melaungkan bahawasanya arak telah diharamkan. Anas bin Malik berkata: Abu Talhah berkata kepadaku: “Pergilah kamu keluar dan tuangkan ia,” lalu aku keluar dan membuangnya, sehingga ia mengalir di jalan-jalan Madinah.[2]

Kalaulah arak itu dikira sebagai najis, dalam bentuk najis hissi, sudah pasti Nabi SAW akan menyuruh orang yang menghadiahkan Baginda sebotol arak itu membasuh bekas botolnya, seperti mana ketika diharamkan daging keldai jinak pada peperangan Khaibar, di mana Nabi SAW bersabda: “Buangkan (isinya berupa daging keldai jinak) dan pecahkan bekas itu.” Lalu seseorang bertanya: “Atau kami buangkan (isinya) dan kami basuh bekasnya?” Baginda bersabda: “Atau membasuhnya.”

Kemudian begitulah juga kalaulah arak itu dianggap sebagai najis hissi, orang-orang Islam tidak akan membuangnya di jalan-jalan di Madinah, kerana tidak boleh membuang najis di jalan-jalan yang dilalui manusia.  (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 11/257-258).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa kenajisan arak termasuk dalam perkara yang diperselisihi ulama; sama ada ia merujuk kepada najis hissi atau najis maknawi. Namun, kami berpendapat bahawa arak dihukumkan sebagai najis secara hissi sebagaimana yang dipegang oleh jumhur ulama. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati serta keluar daripada khilaf.

Lebih-lebih lagi, dengan menghukumkannya sebagai najis secara hissi, tujuannya adalah untuk menampakkan betapa beratnya dosa arak itu, di samping keperluan untuk sangat menjauhi dan langsung tidak melibatkan diri dengan apa-apa yang berkaitan dengannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

[1] Riwayat Muslim (1579)

[2] Riwayat al-Bukhari (2464)

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply