#3185: Mengganti Puasa Bagi Perempuan yang Menyusu Anak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Sekiranya seorang wanita tidak berpuasa berapa hari di bulan Ramadhan disebabkan uzur(datang haid), menyusu anaknya dan mengalami masa kesihatan seperti gastrik sejak dari akil baligh sehingga selesai haid dan puasa yang ditinggalkan tersebut tidak pernah diganti dan dibayar fidyah sehingga sekarang kerana kurang pengetahuan berkenaan ilmu agama. Sekarang beliau ingin menggantikan puasa dan membayar fidyah keatas puasa yang telah ditinggalkan. Adakah wajib ke atas beliau untuk menggantikan puasa dan membayar fidyah? Untuk maklumkan kesihatan tubuh badan beliau sekarang kurang sihat.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Al-Alusi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut : Barangsiapa yang mampu untuk berpuasa tetapi dia berbuka maka wajib ke atasnya memberi makan kepada fakir miskin dengan kadar makanan asasi pada setiap hari iaitu setengah sa’(gantang) gandum atau satu gantang daripada makanan-makanan yang lain mengikut kiraan ahlul I’raq atau satu gantang mengikut kiraan ahlul Hijaz. (Lihar Ruh al-Ma’ni,14/212)

Perempuan hamil dan yang menyusukan anak diberikan keringanan untuk berbuka atau tidak berpuasa. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh al-Siyam tidak menukilkan sebarang syarat khas untuk perempuan yang hamil untuk tidak berpuasa kerana tidak terdapat sebarang dalil mengenainya. Walaubagaimanapun, terdapat dalil umum dalam isu ini daripada hadis Anas bin Malik RA:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ، أَوِ الصِّيَام

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh solat dan meringankan daripada  puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.”

Riwayat al-Tirmidzi (715), al-Nasaie (2775) dan Ibn Majah (1667)

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ menyatakan: Wanita yang sedang hamil dan menyusukan anak sekiranya mereka khuatir atas diri mereka sendiri jika berpuasa maka dibolehkan untuk berbuka dan menggantikannya pada hari lain dan tidak ada fidyah yang harus dibayar oleh mereka seperti orang yang sakit. Sekiranya mereka khuatir akan anak dalam kandungan jika  mereka berpuasa maka dibolehkan bagi mereka untuk berbuka puasa dan wajib digantikan balik puasa tersebut dan dikenakan fidyah. (Lihat al-Majmu’, 6/267)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini saudari perlu menggantikan puasa yang telah ditinggalkan sahaja dan tidak perlu membayar fidyah. Hal ini kerana saudari tidak berpuasa kerana didatangi haid, menyusukan anak dan risau akan diri yang sedang kurang sihat.

Semoga perbahasan ini sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada kita semua dalam beragama.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *