Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, Saya nak bertanya mengenai nazar. Saya pernah niat nak belanja anak kucing saya wetfood kalau saya jumpa surat abah saya dan saya dapat jumpa surat tu. Tapi anak kucing itu dah mati sebelum sempat saya bagi. Adakah Saya boleh bagi makan dekat anak kucing lain atau saya kena berpuasa dan adakah sah nazar memberi makanan kepada haiwan ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nazar dari sudut istilah ialah apa yang telah ditakrifkan oleh para ulama’ iaitu: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)
Firman Allah SWT:
ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.
(Surah al-Hajj: 29)
Diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.
Riwayat al-Bukhari: (6696)
Begitu juga, jika sekiranya seorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ketaatan kepada Allah SWT, maka hendaklah dia menunaikannya. Namun, jika dia bernazar kemaksiatan, maka tidak boleh dia menunaikannya. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah bahawa:
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.
Riwayat al-Bukhari: (6696)
Telah dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji bahawa: Nazar hanya dibolehkan kepada perkara kebajikan dan sekiranya bernazar perkara haram dan makruh maka tidak sah nazarnya seperti bernazar untuk merogol dan selainnya (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/26).
Rukun Nazar
Para ulama menyatakan bahawa nazar mempunyai tiga rukun iaitu :
- Sighah(bentuk ucapan).
- Orang yang melakukan nazar (الناذر)
- Perkara yang dinazarkan (المنذور)
Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili dalam menghuraikan rukun yang pertama iaitu sighah menyatakan : ‘’Ia (sighah) adalah ucapan yang terbit dari pelaku nazar. Dan tidak sah nazar melainkan dengan perkataan. Iaitu seseorang itu mengucapkan : ‘’Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’. Sekiranya seseorang itu menyebut : ‘’Ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’, maka nazarnya sah. Ini kerana, perbuatan ibadah itu tidak berlaku melainkan hanya untuk Allah semata-mata’’. Yang paling lengkap dalam sighah nazar ini sebagai contoh adalah : ‘’Sekiranya Allah menyembuhkan sakitku ini, maka untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’. Dan disyaratkan juga pada sighah supaya dilakukan dengan lafaz yang menunjukkan kepada iltizam (kesungguhan).(Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/505)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan nazar yang diterima oleh Allah SWT adalah nazar yang berbentuk qurbah iaitu pada perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Contohnya seperti nazar untuk melakukan ibadah , bersedekah, atau berbuat kebaikan kepada sesama manusia atau mahkhluk-makhluk yang lain. Hal ini sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Abdullah Bin Amru bahwa Rasulullah SAW bersabda:
لا نَذرَ إلّا فيما ابتُغِيَ به وجهُ اللهِ
Maksdunya: Tidak boleh bernazar kecuali dengan mengharapkan keredhaan Allah.
Riwayat Abu Daud(2192)
Dalam isu ini kami katakan saudara boleh memberi makan kepada kucing lain sebagai gantian kepada kucing saudara yang telah mati dalam melaksanakan nazar tersebut. Ini kerana perbuatan memberi makan kepada haiwan juga merupakan perbuatan yang baik yang mendekatkan diri kepada Allah SWT . Hal ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
(Surah al-Nahl: 90)
Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan.(Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/447)
Diriwayatkan daripada Syaddad Bin Aus bahawa Rasulullah SAW turut bersabda :
إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu.
Riwayat Muslim (1955)
Hadith ini secara jelas menunjukkan kepada kewajipan berlaku ihsan kepada setiap makhluk, termasuklah juga kepada haiwan kerana pada saat ia hendak disembelih pun, kita dituntut untuk berlaku ihsan kepada haiwan tersebut. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, 1/127).
Dapat difahami daripada nas alu-Quran dan al-Hadith di atas bahawa berlaku ihsan kepada haiwan seperti memberi makan kepadanya juga termasuk dalam amalan yang terpuji dan diganjarkan dengan ganjaran yang baik oleh-Nya.
Justeru, kami ingin menyatakan bahawa melaksanakan nazar dengan memberi makan kepada kucing lain apabila kucing yang telah ditentukan dalam nazar telah meninggal adalah sah, kerana ia merupakan jenis yang sama. Selain itu, kami ingin nyatakan juga bahawa menunaikan nazar untuk memberi makan kepada haiwan adalah sah dan diterima oleh Allah SWT. Yang demikian kerana ia merupakan salah satu perbuatan yang mendekatkan diri kepada-Nya. Amalan seperti ini menunjukkan belas kasihan, kepedulian, dan kebaikan kepada makhluk ciptaan Allah, yang juga merupakan tindakan yang sangat dianjurkan dalam Islam.
Di kesempatan ini juga kami ingatkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah dimana baginda bersabda:
لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ
Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.
Riwayat Muslim (1640)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالسَّدَادَ
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu petunjuk dan taufik agar tetap istiqomah.”
Walahua’lam
Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445