Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh Dr terangkan apakah syarat penyembelihan mengikut syariat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syarak telah membenarkan sembelihan haiwan bagi tujuan mendapatkan manfaat daripadanya yang diizinkan oleh syarak seperti memakannya atau mengambil manfaat dari kulitnya. Rasulullah SAW pernah bersabda:

ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ : يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها

Maksudnya: “Tidaklah seseorang itu membunuh burung pipit dan apa yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan disoal oleh Allah SWT mengenainya. Ditanya: Wahai Rasulullah! Apakah haknya? Baginda menjawab: Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.”

Riwayat al-Nasaie (4349)

Sembelihan haiwan perlulah mengikut kehendak syarak seperti yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW:

مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ فَكُلْ، لَيْسَ الظُّفُرَ وَالسِّنَّ

Maksudnya: “(Sembelihlah haiwan) dengan alat yang boleh mengalirkan darah dan disebutkan nama Allah, justeru makanlah haiwan itu. Tidaklah sembelih menggunkan kuku dan gigi (haiwan).”

Riwayat al-Bukhari (5498)

Menurut pandangan mazhab Syafie bahawa peralatan yang dibenarkan untuk sembelih haiwan peralatan yang boleh memotong seperti pisau dan disunatkan menajamkannya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/105). Rasullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: Allah SWT telah menetapkan ihsan pada setiap perkara. Sekiranya kamu membunuh maka perelokkanlah bunuhan tersebut. Sekiranya kamu menyembelih haiwan maka perelokkanlah sembelihan tersebut dan setiap dari kalian perlu menajamkan pisau dan berikan kerehatan pada sembelihan (bagi mengurangkan kesakitan).

Riwayat Muslim (1955)

Oleh itu, alatan sembelihan itu hendaklah ditajamkan sebelum menyembelih haiwan dengan memotong urat halkum dan mari’ iaitu saluran pernafasan dan saluran pemakanan. Imam al-Nawawi menyebut tentang kaedah sembelihan syar’ie:

ذَكَاةُ كُلِّ حَيَوَانٍ قُدِرَ عَلَيْهِ بِقَطْعِ كُلِّ الْحُلْقُومِ، وَهُوَ مَخْرَجُ النَّفَسِ وَالْمَرِيءِ وَهُوَ مَجْرَى الطَّعَامِ، وَيُسْتَحَبُّ قَطْعُ الْوَدَجَيْنِ، وَهُمَا عِرْقَانِ فِي صَفْحَتَيْ الْعُنُقِ

Maksudnya: Sembelih setiap haiwan itu dengan memotong kedua urat halkum (saluran pernafasan) dan urat mari’ (saluran pemakanan). Dan disunatkan memotong al-wadajain iaitu dua urat di tengkuk (berdekatan dengan urat halkum). (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 318)

Syarat Penyembelihan Mengikut Syariat

Penyembelihan mengikut syariat dapat disempurnakan dengan beberapa syarat, iaitu:

  1. Hendaklah disembelih binatang itu atau dipotong lehernya dengan alat yang tajam yang dapat mengeluarkan darah dan memutuskan urat pernafasan, meskipun peralatan itu dari batu atau kayu.

Terdapat suatu berita daripada Adi bin Hatim al-Taie katanya: “Aku pernah berkata kepada Rasulullah SAW: Hai Rasulullah! Kita selalu memburu binatang dan kami tidak mempunyai pisau selain daripada batu ataupun tanah bakar yang tajam, ataupun batang buluh yang tajam.” Rasulullah SAW bersabda:

أَمِرِّ الدَّمَ بِمَا شِئْتَ وَاذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Tumpahkan darahnya dengan apa cara yang engkau sukai dan sebutlah nama Allah SWT!”

Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Nasale, Ibn Majah, al-Hakim dan Ibn Hibban

  1. Hendaklah disembelih pada leher, iaitu pada uratnya dengan sebab memotong binatang itu akan terus mati atau ditarikkan pisau pada urat pernafasan yang akan menyebabkan mati kerananya.

Lebih sempurna dalam penyembelihan ialah dengan memotong kerongkong dan saluran yang menjadi tempat laluan makanan dan minuman dari kerongkongnya serta dua urat tebal di kedua belah urat lehernya iaitu wadajan dalam bahasa Arabnya.

Maka akan terangkat syarat ini apabila timbul kesukaran untuk menyembelihnya pada tempatnya yang khusus itu. Misalnya jika binatang itu tersungkur ke dalam perigi dan terbenam kepalanya ke dalam perigi itu, sehingga sukar untuk menyembelih di kerongkongnya atau urat pernafasannya. Atau binatang menggelepar dan memberontak tidak seperti tabiatnya yang jinak lagi. Sebab itu, memadailah dengan melukakannya dengan benda yang tajam pada mana-mana tempat pada tubuhnya yang dapat dicapai kepadanya.

Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim sebuah riwayat daripada Rafi’ bin Khadij, katanya:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم فِي سَفَرِهِ فَنَدَّ بَعِيرٌ مِن إِبِلِ القَومِ وَلَ يَكُن مَعَهُم خَيلُ، فَرَمَاهُ رَجُلٌ بِسَهِم فَحَبَسَهُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : إِنَّ هَذِهِ البَهَائِمِ أَوَابِدَ كَأَوَابِدِ الوَحْشِ، فَمَا فَعَلَ مِنْهَا هَذَا فَافْعَلُوا بِهِ هَكَذَا

Maksudnya: “Pernah kami bersama-sama Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan, kemudian dengan tiba-tiba seekor unta seorang daripada kami melarikan diri, sedang mereka tidak mempunyai kuda (untuk mengawal unta itu), lalu datang seorang lelaki melemparkan panahnya pada unta itu, lalu unta itu rebah dan mati. Maka Rasulullah SAW bersabda: Bahawa unta ini mempunyai sifat liarnya seperti binatang-binatang liar yang lain. Sekiranya di lain kali berlaku seperti ini maka lakukanlah seperti ini.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

  1. Hendaklah dia tidak menyebut selain dari nama Allah SWT. Hukum ini disepakati oleh semua ulama mazhab. Sebabnya golongan jahiliyah biasanya mendekatkan diri mereka kepada tuhan-tuhan mereka dan berhala mereka dengan menyembelih kerana tuhan dan berhala mereka. Sama ada disebutkan nama tuhan atau berhala ketika menyembelihnya atau dengan menyembelihnya pada tuhan atau berhala yang dimaksudkannya. Maka al-Quran al-Karim telah mengharamkan semua itu, sebagaimana yang telah kami sebutkan sebelum ini.

Firman Allah SWT

وَمَا أُهِلَّ لِغَير الله بِهِ … وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ

Maksudnya: “Dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah SWT… Dan yang disembelih atas nama berhala.”

(Surah al-Maidah: 3)

  1. Hendaklah dia menyebut nama Allah SWT ke atas sembelihan itu”. Inilah nas yang zahir dari semua nas-nas yang ada, kerana al-Quran al-Karim menegaskan:

فكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كُنتُم بِشَايَتِهِ، مُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Maka makanlah dari (sembelihan binatang. binatang halal) yang disebut nama Allah SWT ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayat-Nya.”

(Surah al-An’am: 118)

Firman Allah SWT

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرٍ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah SWT ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa).”

(Surah al-An’am: 121)

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-48 pada 3 April 2000 memutuskan bahawa:

i Pengendali pisau mekanikal hendaklah seorang Muslim. Pengendali hendaklah membaca bismillah sebelum menutup suis pisau mekanikal dan hendaklah memerhati kepada binatang yang disembelih.

  1. Penyembelih Muslim yang memetik suis pisau mekanikal tidak boleh meninggalkan tempat sembelihan semasa penyembelihan sedang dijalankan dan tidak boleh membuat kerja-kerja yang mengganggu tumpuan.

Rasulullah SAW bersabda:

مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ، فَكُلُوهُ

Maksudnya: “Apa sahaja yang dapat mengalirkan darah dan disebutkan padanya nama Allah SWT, maka makanlah ia!”

Riwayat al-Bukhari dan lain-lainnya.

Hal ini dapat diperkuatkan lagi dengan adanya syarat yang tersebut pada beberapa hadis yang sahih tentang penyertaan menyebut nama Allah SWT ketika berburu, ketika melemparkan panah kepada binatang buruan atau ketika menghantarkan anjing buruan yang telah dilatih sebagaimana yang akan diterangkan nanti.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa menyebut nama Allah SWT itu adalah perlu, tetapi tidaklah semestinya menyebut nama Allah SWT ketika hendak menyembelih. Bahkan cukup menyebut nama Allah SWT ketika hendak memakan dagingnya sahaja. Apabila dia menyebut nama Allah SWT ke atas apa sahaja yang dimakannya, tidak lagi makanan itu menjadi makanan yang tidak menyebut nama Allah SWT ke atasnya.

Dalam Sahih Bukhari daripada Aisyah R.Anha bahawa ada suatu kaum yang baru sahaja memeluk Islam sesudah berada lama dalam jahiliyah, mereka berkata kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya adakalanya orang-orang yang datang kepada kami membawa daging yang kami sendiri tidak mengetahui apakah mereka menyebut nama Allah SWT padanya atau tidak?”

Lantas Rasulullah SAW bersabda

اذْكُرُوا اسْمَ اللهِ وَكُلُوا

Maksudnya: “Sebutlah nama Allah SWT pada makanan itu dan makanlah.”

Riwayat al-Bukhari

(Lihat Halal dan Haram dalam Islam hlm. 92-97)

Semoga kita diberi kefahaman dalam agama, ilmu serta rezeki yang halal.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply