Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Islam memerintahkan kita untuk menyebut bismillah semasa atau ketika sembelih?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami telah karyakan dalam buku kami berkenaan dengan nama Allah.

Syeikh al-Sya’rawi berkata: Kami mulakan bacaan al-Quran dengan bismillah (بِسْمِ اللَّهِ) kerana Allah SWT yang menurunkannya kepada kami. Memudahkan bagi kami bagi mengenali dan membacanya. Justeru, segalanya bagi Allah, Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan bacalah firman Allah SWT:

قُل لَّوْ شَاءَ اللَّهُ مَا تَلَوْتُهُ عَلَيْكُمْ وَلَا أَدْرَاكُم بِهِ ۖ فَقَدْ لَبِثْتُ فِيكُمْ عُمُرًا مِّن قَبْلِهِ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al-Quran ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Ia tidak memberitahu kamu akan Al-Quran ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan kamu pula mengenal aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya Al-Quran ini; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?”

(Surah Yunus: 16)

Adakah kita disuruh memulakan dengan bismillah (بِسْمِ اللَّهِ) semata-mata membaca al-Quran sahaja? Jawapannya tidak, tetapi semua amalan dengan bismillah (بِسْمِ اللَّهِ). Ini kerana kita sepatutnya memuliakan kurniaan Allah dalam hidup ini. Ketika kita bercucuk tanam, kita mulakan dengan bismillah (بِسْمِ اللَّهِ) kerana kita tidak menciptakan pohon kayu tetapi yang menumbuhkannya adalah Allah. Begitulah seterusnya. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 1/38-39)

Adapun tuntutan menyebut nama Allah SWT (Bismillah) ketika menyembelih itu ada rahsianya yang sepatutnya diperhatikan dan direnungkan dengan sebaik-baiknya:

Pertama: Melakukan sedemikian untuk membezakan amalan yang biasanya dilakukan oleh penyembah berhala yang selalunya menyebut nama- nama tuhan mereka yang ditujukannya ketika penyembelihan Jika si musyrik iaitu orang kafir menyebut nama tuhannya atau sembahannya pada ketika penyembelihannya, mengapa tidak pula orang mukmin menyebut nama Allah SWT ketika penyembelihan itu?

Kedua: Semua binatang ini adalah sama dengan manusia, ianya adalah salah satu makhluk Allah SWT dan ianya juga termasuk yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai makhluk yang bernyawa. Maka apa sebabnya manusia diberikan kuasa untuk membuat sesuatu ke atasnya serta mencabut nyawanya, kalau tidak dengan izin dan kebenaran daripada Penciptanya, iaitu Allah SWT yang telah menciptakan segala sesuatu di atas muka bumi ini semata-mata kerana makhluk manusia itu. Justeru, dengan menyebut nama Allah SWT, adalah merupakan pengisytiharan kepada ramai tentang keizinan Tuhan Pencipta.

Seolah-olah manusia itu mengatakan: “Sesungguhnya aku tidak berbuat begitu kerana memusuhi atau mahu menganiayai terhadap makhluk Allah SWT ini, dan tidak juga kerana mempersendakannya, akan tetapi aku membuatnya dengan menyebut nama Allah SWT yang membenarkanku untuk menyembelihnya dan dengan menyebut nama Allah SWT yang membenarkanku memburunya dan dengan nama Allah SWT juga yang membenarkanku memakan dagingnya.” (Lihat Halal dan Haram dalam Islam hlm. 99-100)

Kami akhiri dengan doa:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply