Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Isteri saya curang terhadap saya. Curang menerusi alam maya dengan bekas kekasihnya. 10 tahun lamanya mereka berhubungan. Saya marah, saya kecewa. Isteri saya dan kekasihnya itu tidak lagi berhubungan selepas saya mengetahui perkara ini.
Saya cakap kepada lelaki tersebut bahawa saya tidak mengacau dia dan keluarganya dengan alasan, dia buat jahat kepada saya, saya tidak balas dengan kekerasan dan melepaskan dia pergi dengan damai, tapi dengan syarat dia membayar kepada saya wang sebanyak 50K dan dia membayar wang tersebut. Saya katakan bahawa saya tidak redha akan perbuatannya dan isteri saya itu. Wang ini sebagai balasan saya tidak merosakkan hubungan dia dengan keluarga dia dan tidak mengambil tindakan untuk memukul dia.
Dia bayar dengan berikrar bahawa wang ini sebagai hadiah kepada saya, setelah saya menolak pemberian wang tersebut, saya katakan wang ini adalah rezeki keluarganya, wang sedekahnya, dan wang zakatnya, tetapi dia tetap berkeras untuk memberikan wang itu kepada saya dengan alasan saya teruk mengalami gangguan jiwa.
Ya, untuk saya mengharungi perkara ini, memang saya mengalami gangguan jiwa yang berat, banyak ustaz yang saya jumpa, kaunseling, berubat cara kampung, akhirnya saya dapat menelan perkara ini dengan berlapang dada, perkara ini telah setahun berlalu, wangnya ada di tangan saya, bolehkah saya pakai wang tersebut?
Selama 10 tahun hubungan berlangsung, isteri saya seolah-olah tidak langsung memikirkan masa depan, duit dibelanja dengan sewenang-wenangnya. Hutangnya sudah mencecah 400K, duit simpanan anak kami dihabiskan.
Mohon pandangan ustaz. Sekian, terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan menyebutkan sedikit sebanyak mengenai matlamat sebuah perkahwinan dalam Islam. Perkahwinan merupakan Sunnah Rasulullah SAW yang dianjurkan berdasarkan nas al-Quran dan hadith. Inilah fitrah yang dilalui oleh manusia dalam membina kehidupan dengan sempurna dan bahagia. Perkahwinan adalah suatu ibadah yang mempunyai tujuan-tujuan dan hikmahnya yang tertentu.
Di antaranya adalah bagi menyahut seruan fitrah. Sesungguhnya Allah SWT menciptakan manusia dengan fitrahnya untuk berpasangan. Maka syariat menganjurkan supaya manusia itu berkahwin dengan tujuan untuk meraikan fitrah manusiawi. Bahkan telah sabit beberapa larangan ke atas perbuatan tidak mahu berkahwin. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Samurah bin Jundub R.A beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ التَّبَتُّلِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Baginda melarang daripada perbuatan al-Tabattul (memutuskan diri daripada wanita dan meninggalkan berkahwin).”
Riwayat al-Nasa’i (3214)
Selain itu, sebuah perkahwinan juga adalah bertujuan bagi mewujudkan ketenangan jiwa dan kestabilan roh. Tidak dinafikan bahawa fungsi sebuah pernikahan adalah untuk memberikan ketenangan dan keselesaan jiwa bagi seseorang. Inilah yang disebutkan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Nya) adalah Dia menciptakan buat kamu isteri-isteri yang berasal dari diri kamu sendiri, supaya kamu berasa tenang kepada mereka. Dan dia menjadikan di antara kamu perasaan mawadah (kasih sayang) dan juga rahmah (belas kasihan). Sesungguhnya pada yang demikian itu merupakan tanda-tanda (kebesaran) bagi kaum yang sentiasa berfikir.”
(Surah al-Rum: 21)
Berdasarkan ayat di atas, secara jelas disebutkan berkenaan hikmah dan tujuan pernikahan, iaitu supaya kita berasa tenang kepada pasangan. Di samping Allah SWT memberikan perasaan mawaddah kepada pasangan yang halal, Dia juga turut mengurniakan perasaan rahmah (kasih sayang) sesama pasangan dalam perkahwinan.
Imam al-Qurtubi menyatakan dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah al-mawaddah dan al-rahmah adalah, perasaan yang menghubungkan di antara satu sama lain (suami dan isteri). Ibn Abbas R.Anhuma menafsirkan al-mawaddah sebagai perasaan cinta seorang suami kepada isterinya. Manakala al-rahmah pula bererti perasaan belas ihsan seorang lelaki daripada mendatangkan keburukan kepada isterinya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/14).
Justeru, kita perlu memahami bahawa asas-asas terbinanya sesebuah perkahwinan adalah bertujuan untuk memanifestasikan tujuan dan hikmah tersebut sebagaimana yang kami telah kongsikan sebahagiannya di atas.
Selain itu juga isteri tidak boleh melakukan sesuatu yang suami tidak suka. Ia bukanlah sifat seorang isteri yang solehah. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW pernah bersabda:
الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”
Riwayat Muslim (715)
Imam al-Qurtubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas adalah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ
Maksudnya: “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”
Riwayat Abu Daud (1664)
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah R.A, Nabi SAW bersabda:
مَا اسْتَفَادَ الْمُؤْمِنُ بَعْدَ تَقْوَى اللهِ خَيْرًا لَهُ مِنْ زَوْجَةٍ صَالِحَةٍ ، إِنْ أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ ، وَإِنْ نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ ، وَإِنْ أَقْسَمَ عَلَيْهَا أَبَرَّتْهُ ، وَإِنْ غَابَ عَنْهَا نَصَحَتْهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ
Maksudnya: “Seseorang lelaki yang beriman itu tidak akan mendapat manfaat dan faedah – selepas takwanya kepada Allah SWT – lebih daripada isteri yang solehah. Jika disuruh oleh suami, dia taat, jika suaminya melihat kepadanya, dia menyenangkannya. Jika bersumpah, nescaya dia dapat membuktikannya dan jika ditinggalkan oleh suaminya, dia menjaga diri dan menjaga hartanya.”
Riwayat Ibn Majah (1857)
Antara ciri-ciri seorang isteri yang solehah juga ialah:
- Segera menyahut dan hadir apabila dipanggil oleh suami. Rasulullah SAW bersabda, yang maksudnya: “Jika seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu isteri itu menolak. Kemudian, suami itu bermalam dalam keadaan marah, maka isterinya itu dilaknat oleh para malaikat sehingga waktu pagi.”
- Tidak membantah perintah suami selagi tidak bertentangan dengan syariat.
- Tidak bermasam muka terhadap suami.
- Sentiasa menuturkan kalimah yang baik-baik.
- Tidak membebankan suami dengan permintaan di luar kemampuan suami.
- Keluar rumah hanya dengan izin suami.
- Berhias hanya untuk suami.
- Menghargai pengorbanan suami.
- Tidak membenarkan orang yang tidak diizinkan suami masuk ke dalam rumah.
- Menerima tunjuk ajar daripada suami.
- Menghormati mertua serta kaum keluarga suami.
- Sentiasa berada dalam keadaan kemas dan bersih.
- Menjadi penenang dan penyeri rumahtangga. (Lihat Rumahku Syurgaku oleh Dr. Zulkifli al-Bakri, hlm. 78).
Seterusnya, berkenaan tindakan saudara meminta wang daripada lelaki tersebut sebagai bayaran kerana tidak membalas dengan kekerasan dan melepaskan dia pergi dengan damai, menurut pandangan kami tindakan saudara itu adalah kurang tepat kerana ia boleh membawa kepada maksud dan implikasi yang lain.
Namun saudara sudah menyesalinya dan menolak untuk menerima pemberian wang tersebut, maka kami katakan kesilapan atau kesalahan yang pernah dilakukan terdahulu termasuk dalam perkara yang dimaafkan. Firman Allah SWT:
عَفَا اللَّـهُ عَمَّا سَلَفَ
Maksudnya: “Allah maafkan apa yang telah lalu.”
(Surah al-Ma’idah: 95)
Perbanyakkanlah beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Nur: 31)
Ibn Kathir menyebutkan, yakni lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu daripada sifat-sifat yang indah dan akhlak-akhlak yang mulia. Tinggalkanlah kebiasaan kaum Jahiliyyah yang memiliki akhlak dan sifat yang tercela, kerana kejayaan hanya dapat dicapai dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/225)
Adapun wang pemberian tersebut (yang tetap diterima setelah dipaksa), tidak ada masalah untuk saudara menggunakannya dan mungkin ia boleh digunakan untuk melangsaikan hutang isteri dan seumpamanya.
Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan kepada saudara, sebaik-baiknya binalah hubungan semula dengan isteri. Ambillah yang jernih dan buang yang keruh. Ubahlah gaya hidup ke arah lebih baik. Rajin-rajin ke masjid untuk solat berjemaah, mendengar kuliah-kuliah agama dengan membawa isteri dan keluarga bersama. Jika ada lebihan harta, boleh bawa isteri atau keluarga ke Makkah bagi menunaikan umrah dan berdoa di sana. Semoga kesemua usaha itu akan menjadikan kita lebih baik dan seterusnya menjadikan keluarga kita diberkati oleh Allah SWT lalu diturunkan perasaan mawaddah dan rahmah.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445