#3246: Status Wuduk Setelah Menyentuh Kemaluan Ketika Mandi Wajib

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada kemusykilan. Adakah seseorang wajib berwudhuk selepas mandi wajib walaupun menyentuh kemaluan semasa mandi wajib? Tujuan menyentuh kemaluan untuk meratakan air.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

Surah al-Nisa’ (43)

Tatacara Mandi Wajib

Sepertimana diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ، بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي المَاءِ، فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ، ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ يُفِيضُ المَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya.”

Riwayat Bukhari (248)

 Berdasarkan hadith di atas, dapat kita fahami:

Rukun mandi wajib ada tiga:

  • Niat mandi wajib

Niat umum:

نَوَيْتُ رَفْعَ الْحَدَثِ الْأَكْبَرِ للهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala.

  • Menghilangkan kotoran atau najis di badan.
  • Meratakan air ke seluruh tubuh badan yang zahir.

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan berwuduk sebelum mandi wajib adalah disunatkan. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Abu Syuja’:

وَسُنَنُهُ خَمْسَةُ أَشْيَاءَ: التَّسْمِيَةُ وَالْوُضُوءُ قَبْلَهُ وَإِمْرَارُ الْيَدِ عَلَى الْجَسَدِ وَالْمُوَالَاةِ وَتَقْدِيمُ الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى.

Maksudnya: Sunat bagi mandi wajib pula ada lima perkara: membaca bismillahi rahmani rahim, mengambil wuduk sebelum mandi, meratakan air dengan tangan ke seluruh badan, berturutan dan mendahulukan anggota bahagian kanan berbanding kiri. (Rujuk Matan Abi Syuja’, hlm. 4)

Dalam isu batal wudhuk, sekiranya seseorang yang telah berwuduk sebelum/selepas selesai mandi wajib kemudian menyentuh kemaluannya, maka dia perlu mengulangi wudhuknya kerana dia telah melakukan perbuatan yang membatalkan wudhuk iaitu menyentuh kemaluan dengan tapak tangan. Sabda Nabi SAW:

مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwudhu’lah

Riwayat Abu Dawud (181), al-Nasaie (163), Ibn Majah (479)

Semoga jawapan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita berkenaan dengan agama kita. Amin.

 اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *