Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Halimah menghantar Rasulullah SAW kepada ibunya selepas usia 4 tahun?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami katakan Ibn Ishaq menyebut bahawa Halimah menceritakan pengalamannya semasa menyusukan Rasulullah SAW, katanya setelah beliau menyusukan Rasulullah SAW: “Kami terus mendapat tambahan dan keberkatan daripada Allah sehinggalah usia Rasulullah SAW berlalu dua tahun dan berhenti menyusu. Rasulullah SAW membesar dengan cepat, tidak seperti kanak- kanak lain. Tidak sampai dua tahun, Rasulullah SAW telah menjadi seorang kanak-kanak yang berhenti menyusu. Setelah itu, kami pun membawanya kepada ibunya sedangkan kami sangat ingin agar Rasulullah SAW terus menetap bersama sama kami disebabkan kami melihat sendiri keberkatannya. Lalu kami sampaikan hasrat kami kepada ibunya. Aku berkata, “Tinggalkanlah anak ini dengan saya sehingga dia besar, kerana saya bimbang nanti dia ditimpa wabak penyakit di Makkah Kami terus memujuk ibunya sehingga akhir beliau bersetuju untuk mengembalikan anak itu kepada kami. (Lihat al-Sirah al- Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/162-164; al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 67-68)

Nabi Muhammad SAW tinggal di perkampungan Bani Sa’ad selama lima tahun. Dalam tempoh itu, tubuh Baginda sihat dan membesar dengan baik. (Lihat Fiqh al-Sirah oleh al-Ghazali, hlm. 77)

Bersama Baginda SAW, Halimah juga menyusukan sepupunya yang bernama Abu Sufyan bin al-Harith bin Abd al-Muttalib. Beliau pada awalnya merupakan seorang yang sangat kuat permusuhannya dengan Nabi SAW. Kemudian beliau masuk Islam ketika peristiwa pembukaan kota Makkah dan melaksanakan ajaran Islam dengan baik. (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/85) Inilah pendapat kebanyakan penulis sirah, tetapi menurut konteks periwayatan Ibn Ishaq, peristiwa ini berlaku pada tahun ketiga kelahiran baginda. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/164)

Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata:

أَتَاهُ جِبْرِيلُ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ يَلْعَبُ مَعَ الْغِلْمَانِ فَأَخَذَهُ فَصَرَعَهُ فَشَقَّ عَنْ قَلْبِهِ فَاسْتَخْرَجَ الْقَلْبَ فَاسْتَخْرَجَ مِنْهُ عَلَقَةً فَقَالَ هَذَا حَظُّ الشَّيْطَانِ مِنْكَ ‏.‏ ثُمَّ غَسَلَهُ فِي طَسْتٍ مِنْ ذَهَبٍ بِمَاءِ زَمْزَمَ ثُمَّ لأَمَهُ ثُمَّ أَعَادَهُ فِي مَكَانِهِ وَجَاءَ الْغِلْمَانُ يَسْعَوْنَ إِلَى أُمِّهِ – يَعْنِي ظِئْرَهُ – فَقَالُوا إِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ قُتِلَ ‏.‏ فَاسْتَقْبَلُوهُ وَهُوَ مُنْتَقَعُ اللَّوْنِ ‏.‏ قَالَ أَنَسٌ وَقَدْ كُنْتُ أَرَى أَثَرَ ذَلِكَ الْمِخْيَطِ فِي صَدْرِهِ ‏.‏

Maksudnya: Rasulullah SAW telah didatangi oleh malaikat Jibril AS ketika baginda SAW sedang bermain-main bersama budak-budak kecil yang lain. Maka, Jibril AS telah mengambil baginda SAW lalu merebahkan baginda SAW. Kemudian, Jibril As telah membelah dada baginda SAW dengan mengeluarkan segumpal darah daripada jantung hati baginda SAW sambil berkata “Ini adalah bahagian syaitan yang terdapat di dalam dirimu”. Kemudian Jibril AS menyucikannya di dalam sebuah bekas yang diperbuat daripada emas dengan menggunakan air zamzam. Setelah itu, Jibril AS menjahitnya kembali dan mengembalikan baginda SAW di tempat permainannya tadi. Budak-budak kecil yang bermain bersama baginda SAW tadi pergi mengadu kepada ibunya dengan mengatakan bahawa: “Muhammad telah dibunuh. Orang ramai menyambut baginda SAW yang dalam keadaan pucat kerana baginda masih di dalam ketakutan. Anas berkata: “Aku telah melihat kesan jahitan tersebut di dada baginda SAW.

Riwayat Muslim (162)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply