Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami bagaimana Khalid bin al-Walid memeluk Islam dan latar belakangnya serta jasanya kepada Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Khalid Al-Walid ialah salah seorang sahabat Rasulullah SAW dan juga general perang terhebat dalam sejarah Islam yang diberi gelaran “Saifullah Al-Maslul” yang membawa maksud pedang Allah yang terhunus. Beliau terkenal dengan kebijaksanaan dalam peperangan dan mengetuai tentera Islam ketika zaman Nabi Muhammad SAW dan juga zaman khalifah-khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Umar Al-Khattab.

Beliau ialah Abu Sulaiman Khalid bin al-Walid bin al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum bin Yaqazah bin Ka‘ab al-Qurasyi al-Makhzumi al-Makki. Beliau juga ialah anak saudara kepada Ummul Mukminin Maimunah binti al-Harith. Beliau merupakan salah seorang pemuka Quraisy yang dihormati pada masa Jahiliyyah. Beliau memeluk agama Islam pada tahun 7 Hijrah selepas peperangan Khaibar dan ada juga yang berpendapat pada tahun sebelumnya lagi. Beliau berhijrah sebagai seorang Muslim pada bulan Safar tahun 8 Hijrah. Beliau digelar sebagai pedang Allah (Saifullah). Gelaran tersebut diberikan oleh Nabi SAW kepadanya, sebagaimana sabda Baginda:

إِنَّ خَالِداً سَيْفٌ سَلَّهُ اللهُ عَلَى المُشْرِكِيْنَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Khalid adalah pedang Allah yang dihunuskan kepada orang Musyrikin.”

Beliau menyertai peperangan Mu’tah, dan dalam peperangan tersebut tiga orang panglima lantikan Rasulullah SAW telah terkorban iaitu Zaid, Jaafar dan Ibn Rawahah, lalu tinggallah tentera Islam dalam keadaan tiada panglima untuk memimpin mereka. Dengan serta-merta, Khalid mengambil alih sebagai panglima yang memimpin mereka, mengambil panji, lalu menyerang musuh, dan tentera Islam telah memperoleh kemenangan. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/366).

Sehinggakan Abu Bakar al-Siddiq pernah menyentuh perihal kehebatan Khalid bin al-Walid:

وَاللَّهِ لأُنْسِيَنَّ الرُّومَ وَسَاوِسَ الشَّيْطَانِ بِخَالِدِ بْنِ الْوَلِيدِ

Maksudnya: “Demi Allah, Rom akan dilupakan, mereka dihantui kesangsian dengan kelibat Khalid al-Walid.” (Lihat Tarikh al-Tabari, 3/408)

‘Amr bin al-’As menceritakan bahawa tatkala Allah SWT memasukkan Islam ke dalam hatinya, dia pergi bertemu Rasulullah SAW untuk masuk Islam di hadapannya. Ketika itu, ‘Amr R.A berkata: “Aku bertemu Khalid bin al-Walid R.A beberapa ketika sebelum peristiwa pembukaan kota Makkah. Ketika itu, dia datang dari arah Makkah. Lalu aku bertanya: ‘Hendak ke mana wahai Abu Sulaiman?’ Dia menjawab: ‘Demi Allah, telah jelaslah kini jalan itu. Orang itu (Nabi Muhammad SAW) sungguh seorang Nabi. Demi Allah, aku akan pergi dan masuk Islam. Jika tidak, bilakah lagi?’ Lalu aku berkata: ‘Demi Allah, aku juga tidak datang melainkan untuk masuk Islam.’ Lalu kami berdua datang ke Madinah untuk menemui Rasulullah SAW. Khalid al-Walid terlebih dahulu maju, lalu masuk Islam dan berbai‘ah. Kemudian aku mendekati dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku berbai‘ah kepadamu. Semoga diampunkan dosaku yang telah lalu.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Wahai ‘Amr, berbai‘ahlah! Sesungguhnya Islam itu menghapuskan apa yang sebelumnya, dan sesungguhnya hijrah menghapuskan apa yang sebelumnya.’ Lalu aku berbai‘ah kepadanya, dan kemudian memohon diri.” (Riwayat Imam Ahmad dalam al-Musnad, 4/198; al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, 9/123; al-Hakim dalam al-Mustadrak, 3/454. Dinilai sebagai hasan dalam Irwa’ al-Ghalil, 5/122)

Al-Zahabi menyebut, beliau hidup selama 60 tahun. Beliau telah membunuh sekumpulan pahlawan, tetapi beliau meninggal dunia di atas tempat tidurnya, Maka tidak tenanglah mata orang-orang yang pengecut (kerana kematian tetap boleh sampai kepada mereka di mana sahaja). Khalid R.A meninggal dunia di kota Hims pada tahun 21 Hijrah. Namun, ada yang berpendapat, beliau meninggal dunia di Madinah Munawwarah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/366-367; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 2/215). (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 162)

Khalid bin Walid dilahirkan pada tahun 585 masihi di Mekah kepada pasangan bernama Walid bin al-Mughira, seorang ketua dari bani Makhzum (bangsa Quraisy) dan ibunya bernama Lubabah binti al-Harith. Beliau mempunyai pertalian yang agak rapat dengan Nabi Muhammad SAW kerana ibunya dan isteri Rasulullah SAW, Maimunah binti al-Harith merupakan saudara kandung. Beliau juga merupakan sepupu kepada Saidina Umar bin Khattab dan kedua-dua mereka mempunyai wajah yang mirip. Tubuh beliau sangat tinggi, badan yang kuat, bahu yang lebar dan berjanggut tebal di wajahnya.

Selepas dilahirkan, beliau dihantar kepada suku Badui, sebagai tradisi kaum Quraisy ketika itu. Pada usia 6 tahun beliau kembali semula ke Mekah. Sejak kecil lagi Saidina Khalid sudah menunjukkan kekuatannya, seperti contoh dalam bergusti. Beliau pernah bergusti dengan Saidina Umar sehingga mematahkan kaki sepupunya itu.

Berasal dari Bani Makhzum, satu kaum yang pandai dalam peperangan dan merupakan antara penunggang kuda yang mahir dan terhebat di Semenanjung Arab. Ketika masih kecil beliau sudah mempelajari cara menunggang kuda dan merperkasa kemahiran bersenjata seperti tombak, lembing busur dan juga pedang.

Pada tahun 628, sebuah perjanjian telah dimeterai oleh orang Islam dan kaum Quraiys Makkah yang diberi nama Perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian itu adalah untuk mendamaikan kedua-dua pihak serta mengisytihar gencatan senjata selama 10 tahun. Hati Saidina Khalid dari awal tidak menyukai perbuatan menyembah berhala dan oleh kerana otaknya yang bijak, beliau menganggap perbuatan itu tidak masuk akal.

Nabi Muhammad yang amat sukakan Khalid kerana kepintaran dan ketangkasannya dalam peperangan menginginkan beliau untuk memeluk Islam. Ketika Nabi Muhammad SAW bersama Walid Bin Walid iaitu abang kepada Saidina Khalid, baginda berkata kepada Walid : “Seseorang seperti Khalid tidak boleh lari lama daripada Islam, dia pasti akan tertarik pada Islam”. Abangnya yang menyimpan apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW kemudiannya mengutuskan sepucuk surat kepada Khalid dan mengajaknya untuk memeluk Islam sepertinya.

Membaca surat itu, Khalid mengajak teman semasa kecilnya Ikrimah bin Abu Jahal untuk berbicara mengenai hal itu, namun ditentang niatnya. Kemudian Abu Sufyan pula mengancam Khalid dengan mahu menyerangnya dengan penuh berang namun dihalang oleh Ikrimah seraya berkata “Sabar wahai Abu Sufyan, kemarahanmu ini mungkin akan mendorong aku juga untuk bersama-sama Muhammad. Khalid bebas untuk memilih apa jua agama yang diingininya,”. Lalu Khalid menjawab “Demi Allah sama ada orang suka atau tidak, sesungguhnya dia adalah benar.”

Pada tahun 629 M, Khalid al-Walid yang dalam perjalanannya ke Madinah bertemu dengan Amru al-As dan Uthman bin Talha yang juga menuju ke Madinah untuk memeluk Islam. 31 Mei 629, mereka tiba di Madinah dan lantas terus menuju ke rumah Nabi Muhammad SAW dan Khalid disambut oleh abangnya Walid bin Walid dan memeluk Islam.

Pencapaian terbesar beliau dalam kariernya sebagai seorang panglima perang adalah apabila beliau berjaya mengalahkan pasukan Rom dan Parsi dalam masa tiga tahun sahaja. Dalam Peperangan Yarmuk yang bermula daripada cebisan dan sambungan daripada peperangan Mu’tah, yang diterajui oleh Khalid al-Walid, tentera Islam berjaya mengalahkan tentera Kerajaan Romawi Timur (Byzantine-Rom) yang merupakan sebuah kerajaan yang tersangat kuat ketika itu.

Peperangan berat sebelah yang mana tentera Romawi memiliki senjata yang lengkap dan tentera yang terlalu besar bezanya dengan jumlah tentera Islam. Menurut sumber Islam, tentera Muslimin ketika itu hanya berjumlah 45,000 orang berbanding tentera Romawi yang berjumlah lebih kurang 240,000 orang, nisbah 1:5. Namun, walaupun dengan kelengkapan yang cukup, pengalaman perang yang hebat serta tentera yang ramai, kemenangan tetap berpihak kepada tentera Islam dengan izin Allah S.W.T yang dipimpin oleh Khalid al-Walid.

Menurut beberapa sejarawan, pertempuran ini dianggap sebagai salah satu pertempuran terpenting dalam sejara dunia kerana ia menandakan sebuah gelombang pertama penaklukan kerajaan Islam di luar Arab. Dengan penaklukan ini, empayar Islam masuk dengan laju sekali ke Palestin, Syria, dan Mesopotamia yang mana rakyatnya beragama Kristian.

Pada tahun 21 Hijrah, Khalid Al Walid telah jatuh sakit. Panglima terulung yang hebat ini menangis ketika terbaring di katilnya kerana hajatnya untuk mati syahid di medan perang tidak kesampaian. Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 55 tahun. Beliau hanya meninggalkan seekor kuda dan pedang yang pernah digunakannya di medan perang.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply