Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami bagaimana Rasulullah SAW diracun dalam peristiwa Khaibar?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Setelah Rasulullah SAW selesai menakluki Khaibar dan keadaan kembali tenteram, seorang wanita bernama Zainab bin al-Harith menghadiahkan daging kambing yang dipanggang kepada Rasulullah SAW. Zainab merupakan isteri Sallam bin Misykam. Sebelum itu, dia bertanya orang tentang bahagian kambing yang paling disukai oleh Rasulullah SAW. Lalu diberitahu kepadanya bahawa Rasulullah SAW menyukai bahagian paha kambing.
Zainab meletakkan racun yang banyak pada bahagian paha daging kambing itu dan melumurkan racun di seluruh bahagian daging yang lain. Kemudian dia pergi membawa daging itu dan meletakkannya di hadapan Rasulullah SAW. Baginda SAW lalu mencapai paha kambing dan menjamahnya dengan satu kunyahan, tetapi tidak menelannya, sebaliknya Baginda terus meludahnya. Kemudian Rasulullah SAW berkata:
إِنَّ هَذَا الْعَظْمَ لَيُخْبِرُنِي أَنَّهُ مَسْمُومٌ
Maksudnya: “Tulang ini memberitahuku bahawa ia dibubuh racun.”
Setelah Zainab dipanggil, dia pun mengaku meletakkan racun pada daging kambing itu. Rasulullah SAW bertanya, “Mengapa engkau melakukan begitu?” Zainab menjawab, “Saya berbicara sendiri sebelum melakukan perbuatan ini, bahawa jika dia (Nabi) ialah seorang raja, dapatlah saya berlapang diri daripadanya. Dan jika dia seorang Nabi, tentulah dia akan diberitahu.” Lalu Rasulullah SAW memaafkannya.
Ketika itu, yang duduk bersama-sama Rasulullah SAW ialah Bisyr bin al-Barra’ bin Ma’rur. Dia sempat memakan daging kambing itu, lalu meninggal dunia disebabkannya. Terdapat perbezaan riwayat sama ada Rasulullah SAW memaafkan Zainab atau membunuhnya. Namun, kesemua riwayat itu bersetuju mengatakan bahawa pada awalnya, Rasulullah SAW memaafkan Zainab. Namun, apabila Bisyr meninggal dunia kerana memakan daging kambing itu, maka wanita itu dibunuh sebagai pembalasan qisas terhadapnya. (Lihat Zad al-Ma’ad, 2/139; Fath al-Bari, 7/497; al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/337; seperti dalam al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 558-559)
Rasulullah SAW wafat tiga tahun selepas peristiwa Baginda SAW memakan daging kambing yang telah diracun itu. Perkara ini disebutkan Ibn al-Qayyim, katanya: “Bahawa sesungguhnya Nabi SAW memakan daging (yang diracun) tersebut dan Baginda SAW hidup selama tiga tahun (selepas peristiwa tersebut) sehingga Baginda SAW sakit dan wafat disebabkannya.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 3/298)
Di dalam hadith ada diceritakan berkaitan kesakitan yang dirasai oleh Nabi SAW apabila Baginda SAW hampir wafat iaitu seakan-akan urat Baginda SAW terputus Hal ini berdasarkan kepada riwayat daripada Aisyah R.anha, beliau berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي مَرَضِهِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ: يَا عَائِشَةُ مَا أَزَالُ أَجِدُ أَلَمَ الطَّعَامِ الَّذِي أَكَلْتُ بِخَيْبَرَ، فَهَذَا أَوَانُ وَجَدْتُ انْقِطَاعَ أَبْهَرِي مِنْ ذَلِكَ السُّمِّ
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW pernah bersabda di saat berada dalam kesakitan yang menyebabkan Baginda SAW wafat: ‘Wahai Aisyah! Aku masih berasa sakit akibat makanan yang aku makan di Khaibar. Maka kali ini aku merasakan seolah-olah uratku terpotong disebabkan racun tersebut.’”
Riwayat al-Bukhari (4428)
25 Rasulullah SAW mengetahui bahawa membiarkan Madinah tanpa pertahanan sama sekali selepas selesainya bulan-bulan haram bukanlah satu perkara yang dapat menjamin keselamatan Madinah dan penduduknya. Lebih-lebih lagi, pada ketika itu, masih ada orang Arab yang tinggal di sekitar Madinah yang mengambil kesempatan daripada sikap leka orang Islam, dan menjalankan kerja-kerja merompak dan menyamun.
Disebabkan itu, pasukan di bawah pimpinan Aban bin Sa‘id ini diutus oleh Rasulullah SAW ke Najd bagi menakutkan orang Arab, sementara Baginda pula menuju ke Khaibar. Setelah Aban selesai menjalankan tugasnya, beliau pun kembali dan bergabung dengan Baginda di Khaibar. Akan tetapi ketika beliau sampai kepada Baginda SAW, Khaibar telah pun berjaya ditakluki. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 168)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445