Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum sekiranya tidak membayar kupon parking kereta di tempat yang dikenakan bayaran parking?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kamu) kepada golongan ulil amri dari kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya.

Justeru itu, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 4/2360)

Dalam hal ini, sekiranya pemerintah menetapkan suatu perkara yang diharuskan, maka wajib untuk kita mentaatinya, manakala sekiranya ia melibatkan perkara yang maksiat, maka haram untuk ditaati. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ali R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الـمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Tiada ketaatan dalam perkara maksiat, sesungguhnya ketaatan itu hanya pada perkara yang makruf (kebaikan).”

Riwayat al-Bukhari (7257), Muslim (1840), Abu Dawud (2625), al-Nasaie (4205) dan Ahmad (724)

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami katakan sekiranya seseorang itu meletakkan kereta di kawasan parkir berbayar yang telah ditetapkan oleh kerajaaan, maka menjadi kewajipan baginya untuk membayar parkir tersebut. Hal ini kerana polisi bayaran parkir yang ditetapkan oleh pihak kerajaan ini adalah untuk kebaikan bersama yang mana hasil kutipan itu akan digunakan untuk manfaat dan maslahah umum.

Hal ini bertepatan dengan kaedah:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.”

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply