#3353: Perempuan Iddah Berjumpa Bakal Besan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak bertanya pasal hukum iddah. Bakal mak mertua saya baru kehilangan suami baru-baru ini dan dalam tempoh iddah. Bakal isteri saya hendak melangsungkan pernikahan bulan depan. Mak saya hendak jumpa melawat untuk hal ini tetapi ditegah untuk jumpa oleh akak ipar sebab iddah lagi. Bagaimana ya Dato’ sebab saya nak cepat nikah? Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

‘Iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61)

Sekiranya seseorang wanita itu kematian suami, maka dia perlu beriddah dalam empat bulan sepuluh hari sebagaimana firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Baqarah: 234)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan tidak mengapa untuk ibu mertua saudara berjumpa dengan ibu saudara dalam tempoh iddah kerana tidak menjadi masalah untuk perempuan yang dalam keadaan iddah untuk berjumpa orang. Bahkan, jika melakukan perjumpaan diluar juga dibenarkan dengan syarat menepati batas yang telah ditetapkan oleh syarak.

Di sini kami nyatakan kewajipan bagi perempuan iddah:

  • Berkabung atas kematian suaminya dengan tidak berhias dan mengenakan bau-bauan seperti bersolek, memakai baju berwarna terang, memakai barang kemas dan selainnya. Namun tidak bermakna tidak perlu menjaga aspek kebersihan. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.Anha:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُحِدَّ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجِهَا أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.”

Riwayat al-Bukhari (5339)

  • Wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh ‘iddah. Isteri juga tidak dibenarkan keluar melainkan sekiranya ada keperluan dan hajat. Ini seperti membeli keperluan makanan, bekerja sekiranya tidak membenarkannya untuk tinggal di rumahnya secara berterusan sepanjang tempoh ‘iddahnya dan isteri terpaksa menghilangkan kesunyian dengan berbual-bual bersama jiran. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/71-73)
  • Diharuskan keluar rumah kerana keperluan seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA:

طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan dan dia ingin memetik buah tamarnya, tetapi seorang lelaki telah menegahnya keluar. Lalu, dia pergi menemui Nabi SAW. Lantas Baginda bersabda: “Ya, keluarlah dan petiklah buah tamar itu. Mudah-mudahan engkau akan bersedekah ataupun melakukan kebaikan.”

Riwayat Muslim (1483)

Imam al-Nawawi menyatakan dalam syarahnya: “Hadith ini adalah dalil membolehkan wanita beriddah bain untuk keluar bagi suatu hajat keperluan. Pendapat mazhab Malik, al-Thauri, al-Laits, al-Syafie, Ahmad dan lain-lain ulama bahawa dibenarkan wanita beriddah ba’in itu keluar pada hari siang bagi suatu hajat. Mereka juga mengharuskan juga keluar bagi wanita yang kematian suami dan dalam hal ini dipersetujui juga oleh Abu Hanifah sekalipun dalam kes talak bain beliau berkata tidak boleh keluar, sama ada malam atau pun siang. Hadith ini juga adalah dalil bahawa digalakkan bersedekah dengan tamar apabila tiba masa menuainya, begitu juga dengan memberinya sebagai hadiah. Digalakkan juga agar pemilik tamar itu sendiri yang melakukan serta mengingatkan perkara yang makruf dan kebaikan. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/108)

Imam al-Ramli di dalam kitabnya menyatakan, keharusan ini terikat dengan satu syarat iaitu hendaklah wanita ber’iddah hanya keluar pada waktu siang dan mesti balik bermalam di rumah tempat ‘iddahnya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 7/156)

Akhir kalam, semoga Allah permudahkan segala urusan perkahwinan saudara bersama pasangan dan diberi kebahagiaan hingga ke syurga.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *