Soalan

Adakah jatuh talak jika suami menjatuhkan talak melalui aplikasi whatsapp atau melalui media sosial yang lain seperti messenger, instagram dan seumpamanya.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami. [1]

Firman Allah SWT :

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya:” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

Surah al-Baqarah :229

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam syarahnya: Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

Para ulama membahagikan talak dari segi kejelasan lafaz talak kepada dua, iaitu sorih yang bermakna jelas dan kinayah iaitu yang berkemungkinan membawa maksud talak atau tidak. Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Contoh lafaz sorih ialah ‘aku lepaskan engkau’ , ‘engkau tertalak’ atau ‘aku lepaskan engkau’. Jika lafaz-lafaz ini disebutkan oleh si suami maka jatuhlah talak bagi si isteri Contoh bagi lafaz kinayah pula ialah ‘pergilah ke ahli keluarga engkau’ , ‘jauhkan diri dari aku’ dan lain-lain lagi. Cumanya, lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat si suami. Jika dia berniat mentalakkan maka jatuhlah talak. (Lihat al-Fiqh al-Minhaji, 4/123)

Talak akan jatuh jika dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih (jelas), sekalipun tanpa niat dan juga secara kinayah (samar-samar) jika disertakan dengan niat. Tiada pengecualian di dalam syara’ jika talak berkenaan disebutkan ketika waktu normal, bergaduh mahupun bergurau-senda. Ini berdasarkan sebuah hadith:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk.”

Riwayat Abu Dawud (2194), al-Tirmizi (1184) dan Ibnu Majah (2039)

Sebagaimana yang kami nyatakan di atas, lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu sarih (jelas) dan kinayah (samar-samar). Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas. Kata Imam al-Baijuri :

“Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat.Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak dihtimal kepada selain daripada talak.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263)

Manakala lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami. Kata Ibnu al-Qasim al-Ghazzi:

“Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.” (Lihat Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264)

Berdasarkan soalan di atas, kami katakan bahawa lafaz cerai tersebut termasuk di dalam bahagian kinayah bukannya sarih. Ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59, talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e-mel dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ianya adalah sah sekiranya disertai dengan niat. Semua penceraian hendaklah dikemukakan kepada mahkamah syariah untuk menthabitkan talak tersebut. Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah penceraian yang tidak menepati adab penceraian yang digariskan oleh syarak.

Hukum penceraian melalui Whatsapp adalah sah dan jatuh talaknya sekiranya ia memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Pengirim Whatsapp itu adalah daripada suami
  2. Penerima Whatsapp adalah isteri
  3. Whatsappitu dibaca oleh penerima iaitu isteri
  4. Suami memang berniat untuk menceraikan isteri

Tambahan pula, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan hal yang sama iaitu talak yang diucapkan melalui pesanan ringkas (sms) atau sebagainya termasuk di dalam talak secara kinayah. Talak seperti ini tidak akan berlaku melainkan apabila si suami memang berniat untuk menceraikan isterinya. Ini kerana, pesanan ringkas ini termasuk di dalam khabar (berita) yang boleh jadi ia benar dan boleh jadi ia dusta. Apabila berlaku perkara seperti ini, si suami akan ditanya akan niatnya. Jika dia memang berniat untuk menceraikan isterinya, maka ia dikira (jatuh talak tersebut). Jika sebaliknya, maka ia tidak akan dikira.[2]

Justeru, kami nyatakan bahawa talak tidak jatuh atau berlaku jika suami tidak berniat menceraikan isteri ketika mengirimkan pesanan tersebut. Akan tetapi, sekiranya suami berniat untuk menceraikan, maka jatuhlah talak tersebut kepada isterinya. Namun begitu, Perkara sebegini harus dirujuk kepada mahkamah syariah untuk mengesahkan penceraian tersebut adakah dengan niat lafaz cerai atau sebaliknya. Sekiranya si suami itu mengaku di hadapan hakim, baharulah dikira jatuh talak dan cerai tersebut adalah sah.

Semoga Allah SWT memberi kita semua kebahagiaan di dalam rumahtangga dan menjauhkan kita daripada keruntuhan rumah tangga. Amin.

Wallahua’lam

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=talak

[2] Lihat https://www.dar-alifta.org/Home/ViewFatwa?ID=14255&title=الطلاق%20بواسطة%20رسالة%20بالهاتف%20المحمول%20-%20أمانة%20الفتوى

0 thoughts on “#336 Talak Melalui Whatsapp

Leave a Reply