Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Sekiranya si suami pernah berkata kepada isterinya, “kalau saya dapat tahu awak ada lelaki lain (scandal), saya tinggalkan awak”. Dan selepas beberapa tahun perkara itu pun terjadi yang mana si isteri turut mengaku bahawa si isteri ada lelaki lain. Apakah jatuh talak yang pernah dilafazkan si suami suatu ketika dahulu? Si suami tiada sebut “cerai”, cuma sebut “tinggalkan”. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertama, kami menyatakan bahawa majoriti fuqaha’ bersepakat berkenaan talak kinayah (kiasan) yang hanya akan terjatuh jika disertakan dengan niat menceraikan isteri.
Kedua, berlaku perbezaan pendapat dikalangan fuqaha’ mazhab berkenaan lafaz talak yang berbentuk kinayah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/137)
Pertama: Mazhab Hanafi
Lafaz kinayah adalah semua lafaz yang boleh membawa maksud ‘cerai’ dan selainnya. Contohnya, “Kamu ba’in (tidak boleh dirujuk semula)” atau “Kamu haram untuk aku” atau “Kamu telah terlepas (dari ikatan pernikahan)” atau “Kamu telah bebas (dari ikatan pernikahan)”. Tidak akan terjatuh talak menggunakan lafaz-lafaz tersebut melainkan disertakan dengan niat.
Jika seseorang melafazkan lafaz kinayah tersebut kerana; berada dalam perbincangan ‘bab talak’, atau sedang bertanya tentang talak, atau berada dalam keadaan marah dan pertengkaran. Maka dia perlu bersumpah tentang niatnya semasa sedang marah dan bertengkar tersebut, dan talak akan terjatuh mengikut keputusan qadi. (Lihat Bada’i‘ al-Sana’i‘, 3/107)
Kedua: Mazhab Maliki
Mereka membahagikan lafaz kinayah kepada dua:
- Kinayah Zahirah (Kiasan yang jelas): Lafaz ini menurut Mazhab maliki seperti lafaz sorih (jelas), maka terjatuh talak dengan lafaz ini kerana ia mengandungi makna ‘talak’ yang jelas. Contohnya kata lelaki pada isterinya: “Kamu selamanya (terputus akad daripada aku)!” atau “Kamu ditalak satu yang boleh dirujuk!” atau “Kamu ibarat telah mati!” atau selainnya.
- Kinayah Khafiyyah (Kiasan yang tersembunyi): Lafaz ini pula tidak mengandungi makna ‘talak’ yang jelas. Contohnya kata lelaki pada isterinya: “Masuklah kamu (ke dalam rumah)!” atau “Pergilah kamu!” atau “Beredarlah kamu!” atau selainnya. Jika dia berniat menceraikan isterinya dengan lafaz-lafaz tersebut, jatuh talak mengikut bilangan yang diniatkan, dan terjatuh talak tiga jika dia tidak menetapkan bilangan talak. (Lihat Hashiyah al-Sawi ‘ala al-Syarh al-Kabir, 1/458.)
Ketiga: Mazhab al-Syafi’i
Lafaz kinayah ialah lafaz yang mengandungi makna talak dan selainnya. Contohnya seperti kata lelaki pada isterinya: “Kamu bebas daripada aku!” atau “Pergilah ke ahli keluarga engkau” dan selainnya. Jika dia berniat menceraikan isterinya dengan lafaz-lafaz tersebut, jatuh talak mengikut bilangan yang diniatkan, dan terjatuh talak satu jika dia tidak menetapkan bilangan talak. Ulama’ Syafie juga meletakkan syarat untuk terjatuhnya talak dengan lafaz kinayah adalah lafaz tersebut mestilah berserta niat, bukan sebelum lafaz atau selepas lafaz. (Lihat Mughni Al-Muhtaj, 4/456, 462)
Keempat: Mazhab Hanbali
Lafaz Kinayah terbahagi kepada dua:
- Kinayah Zahirah (Kiasan yang jelas): Lafaz yang membawa masuk Ba’in (talak yang tidak boleh dirujuk). Contohnya, “Kamu bebas daripada aku!” atau “Kamu selamanya (terputus akad daripada aku)!” atau “Kamu ba’in (tidak boleh dirujuk)!” atau selainnya.
- Kinayah Khafiyyah (Kiasan yang tersembunyi): Lafaz ini pula tidak mengandungi makna ‘talak’ yang jelas, ia mengandungi maksud talak satu. Seperti kata lelaki pada isterinya: “Keluarlah kamu!” atau “Pergilah kamu!” atau “kamu bukan isteri aku!” atau selainnya.
Ulama’ Hanbali berpendapat, talak tidak jatuh dengan kedua-dua lafaz di atas kecuali jika disertakan dengan niat. Mereka juga turut mensyaratkan untuk jatuhnya talak dengan lafaz kinayah tersebut mestilah diiringi niat, atau lafaz tersebut diungkapkan ketika marah dan bertengkar. Hal yang demikian kerana keadaan marah dan bertengkar itu diibaratkan seperti niat.
Jika dia mendakwa tidak berniat untuk menceraikan isterinya ketika marah, dia perlu bersumpah kerana berkemungkinan dia memang tidak berniat untuk menceraikan isterinya. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 5/251)
Kami menyimpulkan daripada perbahasan lafaz kinayah di atas bahawa talak hanya akan terjatuh jika lafaz kinayah diiringi dengan niat dan kehendak suami untuk menceraikan isterinya.
Ini adalah berdasarkan peristiwa yang berlaku Ka‘ab bin Malik ketika mana beliau tidak menyertai perang Tabuk. Rasulullah saw memerintahkan beliau untuk menjauhi isterinya. Lalu Ka‘ab berkata :
أُطَلِّقُهَا أَمْ مَاذَا أَفْعَلُ
Maksudnya: “Adakah perlu aku menceraikannya atau bagaimana patut aku lakukan?”
Rasulullah SAW menjawab:
لَا بَلْ اعْتَزِلْهَا وَلَا تَقْرَبْهَا
Maksudnya: “Tidak perlu sampai begitu, hanya jauhi dia dan jangan dekatinya.”
Lalu Ka’ab mengkhabarkan perkara tersebut kepada sahabatnya yang tidak pergi ke perang Tabuk bersama beliau. Kemudian beliau (Ka’ab) berkata kepada isterinya :
الْحَقِي بِأَهْلِكِ
Maksudnya: “Pergilah ke ahli keluarga engkau.” Apabila Allah menerima taubatnya, beliau kembali ke isterinya. Tidak pula beliau diperintahkan untuk berakad dengan akad yang baru.
Riwayat al-Bukhari (4419)
Manakala bilangan talak yang berlaku pula, kami cenderung memilih pandangan ulama’ Syafi’i kerana setiap perbuatan atau kata-kata seseorang bergantung kepada niatnya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin Al-Khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niatkan. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.”
Riwayat Al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa sekiranya suami menyatakan dengan lafaz “saya tinggalkan awak” tanpa disertakan niat, maka tidak jatuhlah talak, tetapi sekiranya ia disertakan dengan niat cerai, maka jatuhlah talak tersebut. Hal ini kerana lafaz “tinggalkan” itu termasuk dalam talak kinayah.
Justeru dalam hal ini, kami menasihatkan sebagai langkah berjaga-jaga untuk merujuk kepada Mahkamah Syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Ini adalah satu usaha untuk membuktikan adakah lafaz di atas dikira sebagai lafaz kinayah dan sama ada si suami berniat untuk mentalakkan atau tidak.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445