#3382: Menikah di Thailand

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah nikah di Thailand? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, Islam menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perbuatan itu merupakan Sunnah Nabi SAW. Selain itu, perkahwinan juga mempunyai pelbagai kebaikan dan faedah, sama ada kepada individu mahupun masyarakat. Hal ini seperti yang disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ: الْحَيَاءُ، وَالتَّعَطُّرُ، وَالسِّوَاكُ، وَالنِّكَاحُ

Maksudnya: “Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul, iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.”

Riwayat al-Tirmizi (1080) dan Ahmad (23628)

Dalam menjawab soalan di atas, rukun-rukun nikah ada lima yakni adanya bakal suami, bakal isteri, wali, dua orang saksi dan lafaz (ijab dan qabul). Justeru, kami nyatakan bahawa selama mana rukun-rukun dan syarat-syarat nikah dipenuhi maka pernikahan tersebut adalah dianggap sah. Selain itu, perkara yang perlu diperhalusi juga adalah sekiranya ia melibatkan wali hakim, maka wali hakim itu hendaklah yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan.

Hal ini adalah selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI), pada tahun 2002 yang telah membincangkan mengenai Kahwin Lari Di Selatan Thailand. Mereka telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat:

  • Pernikahan itu mengikut rukun nikah.
  • Pernikahan itu melebihi dua marhalah.
  • Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin di atas alasan syarak di tempat dia bermustautin.
  • Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.[1]

Begitu juga Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI), pada tahun 2002, telah memutuskan bahawa perkahwinan yang dilakukan oleh jurunikah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut mazhab al-Syafi‘i.[2]

Selain itu, kami juga mengambil kesempatan di sini mengingatkan bahawa seboleh-bolehnya elakanlah daripada menggunakan perkhidmatan nikah sindiket, yang tidak ada dokumen atau meragukan kerana ia akan menyusahkan di kemudian hari. Ini kerana kegagalan dalam mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan, bukan sahaja dikhuatiri akan menimbulkan masalah apabila hendak mendaftarkan perkahwinan tersebut di negeri sendiri kerana tidak diiktiraf, bahkan akan menimbulkan pelbagai masalah pada masa akan datang seperti pendaftaran kesahan taraf anak, perkahwinan si anak, urusan pembahagian harta kelak dan seumpamanya.

Sukalah untuk kami nyatakan juga dari segi akhlak. Alangkah baiknya urusan nikah yang mulia ini dilakukan dengan kebenaran, keikhlasan dan penuh amanah. Hal ini perlulah dijaga kerana asas pembinaan rumah tangga apabila benar-benar jujur dan ikhlas bermula daripada akad nikahnya lagi akan menatijahkan pelbagai bentuk kebaikan dan juga kebahagiaan. Isunya, bukan semata-mata boleh atau tidak, tetapi keberkatan dalam perkahwinan sebagaimana yang kita diajar untuk berdoa kepada pasangan yang berkahwin:

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ وَأَسْأَلُ اللهَ العَظِيمَ أَن يُدِيَم عَلَيْكُمَا السَعَادَةَ وَالْمَوَدَّةَ وَالرَّحْمَة وَالمحَبَّةَ

Maksudnya: “Semoga Allah memberi keberkatan kepadamu dan ke atas kamu (dalam masa senang dan susah), serta semoga kamu berdua disatukan dalam kebaikan. Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung agar mengekalkan kebahagiaan, kasih sayang, rahmat dan mahabbah (cinta) kepada kamu berdua.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15265. Diakses pada 2 Oktober 2023.

[2] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15266. Diakses pada 2 Oktober 2023.

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *