#3385: Batasan Aurat Antara Anak Susuan dengan Bapa Susuannya yang Telah Bercerai

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bapa saudara saya berkahwin dan mengambil anak angkat perempuan dan isterinya menyusukan anak itu secukupnya. Tetapi kemudian, mereka bercerai. Jadi, bagaimanakah aurat antara bapa saudara saya dengan anak angkatnya itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Penyusuan ataupun dalam bahasa Arabnya al-Rada‘ (الرّضَاع)  menurut al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah ialah perbuatan mengalirkan susu bagi seseorang perempuan ke dalam perut seorang bayi dengan syarat-syarat yang tertentu. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/238).  Manakala menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, al-Rada‘ ialah susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi. (Lihat al-Fiqh al- Manhaji, 3/119).

Pada asasnya, penyusuan yang memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan akan menyebabkan terjadinya hubungan kekeluargaan. Firman Allah SWT:

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya:Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu”

(Surah al-Nisa’: 23)

Oleh itu, kesan daripada penyusuan akan menyebabkan anak susuan itu haram untuk dikahwini seperti mana anak yang dilahirkannya. Hal ini seperti mana hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda kepada anak Hamzah R.A:

لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: “Dia tidak halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.”

Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1447)

Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الرَّضَاعَةُ تُحَرِّمُ مَا تُحَرِّمُ الوِلاَدَةُ

Maksudnya:Persusuan mengharamkan perkara yang diharamkan kerana nasab kelahiran.”

Riwayat al-Bukhari (5099)

Imam al-Nawawi menyebutkan, penyusuan merupakan perkara yang menyebabkan kepada pengharaman bagi anak susuan berkahwin dengan ibu susuannya selama-lamanya — yakni mahram muabbad. Oleh itu, halal bagi anak susuan untuk melihat ibu susuannya, tinggal bersamanya di rumah, bermusafir dengannya seperti mana keadaan ibu kandungnya sendiri. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/23).

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji ada dijelaskan dengan lebih lanjut mengenai kesan penyusuan terhadap hubungan kekeluargaan. Jika seorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya, bayi itu menjadi anak susuannya dan suaminya pula menjadi bapa susuan anak tersebut. Kesan penyusuan ini kepada hubungan kekeluargaan adalah sebagaimana berikut:

  1. Anak susuan haram berkahwin dengan ibu susuan dan keturunannya, seperti keturunan ibu sendiri. Keturunan ibu susuan yang haram dikahwini adalah seperti berikut:
  • Saudara perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah ibu saudara sebelah ibu susuan.
  • Anak perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah saudara susuan.
  • Cucu perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah anak perempuan kepada saudara susuan.
  • Ibu kepada ibu susuan kerana dia ialah nenek susuan.

Seperti keturunan bapa sendiri, keturunan bapa susuan yang haram dikahwini adalah seperti berikut:

  • Saudara perempuan kepada bapa susuan kerana mereka ialah ibu saudara sebelah bapa susuan.
  • Anak perempuan kepada bapa susuan, sekalipun dengan isteri yang lain kerana mereka ialah saudara susuan.
  • Cucu perempuan kepada bapa susuan, kerana mereka ialah anak perempuan kepada saudara susuan.
  • Ibu kepada bapa susuan, kerana dia ialah nenek susuan.
  1. Ibu susuan dan keturunannya haram berkahwin dengan anak susuan dan keturunannya. Ini kerana jika ibu susuan diandaikan sebagai ibu sendiri kepada anak susuan, sudah tentu mereka semua merupakan keturunan yang haram dikahwini.

Sebagaimana anak susuan tidak boleh berkahwin dengan anak perempuan ibu susuan kerana dia merupakan saudara susuannya. Begitu juga cucu lelaki susuan daripada anak perempuan ibu susuan bapanya kerana dia merupakan ibu saudara susuan sebelah bapa dan begitulah seterusnya.

  • Ibu susuan dan keturunannya harus berkahwin dengan ahli keluarga anak susuannya, seperti saudara lelaki, bapa dan bapa saudara sebelah bapa kerana mereka ialah orang asing daripada ibu susuan dan keturunannya.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah bahawa hubungannya tetap sama iaitu sebagai anak susuan dan bapa susuan sekalipun bapa susuan dan ibu susuannya itu telah bercerai. Justeru batasan aurat antara mereka adalah sebagaimana batasan aurat dengan mahramnya. Iaitu terpakai hukum hakam mahram seperti boleh bersalaman, diharuskan tinggal bersendirian dengannya, diharamkan berkahwin dengannya dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *