#3384: Mengekalkan Nama Christine Selepas Memeluk Islam

Soalan:

ِAssalamualaikum Dato Seri, saya ada satu soalan iaitu kalau nama asal seorang muallaf itu ialah Christine, perlu atau tidak dia menukar nama bila memeluk Islam sebab nama tersebut dilihat mempunyai unsur agama Kristian.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam Islam, tatkala anak dilahirkan, ibu bapa hendaklah menamakan anaknya dengan nama yang baik dan bukannya nama yang buruk mahupun mengandungi unsur syirik. Bahkan menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏”Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

Riwayat Abu Daud (4948)

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَحَبَّ أَسْمَائِكُمْ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ ، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ

Maksudnya: Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abd al-Rahman.

Riwayat Muslim (6/169), Abu Daud (2/307), al-Tirmizi (4/29), al-Nasa’ie (2/119), Ibn Majah (2/404), al-Darimi (2/294), Ahmad (4774) dan al-Hakim (4/274)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan dalam Islam, pentingnya pemilihan nama yang baik dapat dilihat dari sejarah dan tradisi agama ini. Nama yang dipilih untuk seseorang hendaklah mengandungi makna yang baik, bermakna, dan sesuai dengan nilai-nilai Islam. Ia adalah satu tanggungjawab penting yang perlu diambil serius oleh ibu bapa atau individu yang memilihnya.

Para ulama bersepakat bahawa diwajibkan menukar nama sekiranya mengandungi unsur syirik seperti nama dewa atau berhala dan sebagainya. Oleh yang demikian adalah amat penting untuk memastikan nama tidak mengandungi makna yang bercanggah dengan agama islam. Diriwayatkan  daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.AW bersabda:

 إِنَّ أَخْنَعَ اسمٍ عِنْدَ اللهِ رَجُلٌ تُسَمَّى مَلِكَ الأَمْلَاكِ

Maksudnya: “Sesungguhnya sehina-hina nama di sisi Allah ialah seorang lelaki yang bernama Malik al-Amlak (Raja segala raja).”

Riwayat al-Bukhari (1385)

Dalam isu ini, kami ingin menyatakan bahawa nama Christine membawa makna lembut dan juga bermaksud pengikut Kristus. Kristus dalam kepercayaan agama Kristian adalah anak Tuhan. Oleh itu, walaupun nama Christine membawa makna yang baik, kami berpendapat ia tidak sesuai untuk dikekalkan setelah memeluk Islam kerana ia juga mengandungi makna yang berunsurkan kepercayaan agama selain Islam. Oleh itu, kami menasihati supaya menukar nama yang sesuai dengan nilai-nilai agama Islam yang membawa makna yang baik serta tidak mengandungi unsur-unsur syirik.

Da’irah al-Ifta’ Urduniyyah menyatakan:  Tidak ada masalah dalam memberikan nama-nama bukan Arab, tetapi dengan syarat-syarat berikut:

  • Nama asing tersebut tidak boleh mempunyai unsur agama orang bukan Islam.
  • Niat dan tujuan dalam memberikan nama bukan Arab bukanlah untuk mengikuti budaya atau menyerap pemikiran Barat.
  • Nama tersebut tidak boleh mempunyai makna yang buruk.[1]

Sebagai kesimpulannya kami katakan pemilihan nama hendaklah dari nama-nama yang membawa makna yang baik, menghormati nilai-nilai agama, dan tidak memilih nama yang khusus bagi Allah SWT serta tidak mengandung unsur syirik atau penyelewengan dari ajaran Islam. Semoga nama yang dipilih membawa berkat dan kebahagiaan dalam kehidupan

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

[1] https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2265#: -Diakses pada 3 Oktober 2023

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *